Saturday, October 3, 2009

Solat

Blog ini agak kurang terurus kebelakangan ini. Kurang artikel-artikel menarik. Posting juga tidak berapa banyak dan pendek-pendek. Masa dan keutamaan lain adalah faktor utama keadaan ini berlaku. Walaupun idea datang mencurah-curah untuk menulis namun ianya tidak diterbitkan di blog ini. Sebahagian di tulis di tempat lain manakala sebahagiannya pula di catat sebagai idea yang akan dikembangkan kemudian.

Semalam saya bertemu seorang rakan sekerja yang lama tidak ditemui kerana beliau bercuti sakit. Beliau bercuti sakit kerana masalah mata. Kami bersembang dan beliau menerangkan dengan panjang lebar keadaan matanya lengkap dengan penerangan dan lukisan rajah mata. Beliau sudah membuat 3 pembedahan mata dan perlu membuat 2 kali lagi pembedahan. Mendengar cerita dan penerangan beliau sahaja, saya sudah dapat merasa keperitan yang beliau alami. Beliau kelihatan tenang dan redha dengan ketentuan Allah terhadapnya. Saya doakan agar beliau terus tabah menghadapi jian Allah dan semoga sembuh seperti sedia kala. Amin.

Rakan saya ini menerangkan yang beliau perlu berehat setiap 45 minit dan membetulkan postur matanya. Masa selama 15 minit diperlukan untuk membetulkan postur mata agar cecair (minyak) yang ada di dalam matanya boleh beralih tempat di dalam retinanya. kedudukan postur itu seperti orang sedang sujud.  Saya belajar satu ilmu baru hari itu. Saya pernah membaca yang postur sujud baik untuk wanita kerana ia membetulkan kedudukan organ dalaman wanita seperti rahim. Saya pernah membaca yang postur sujud juga menyalurkan darah ke sebahagian otak yang hanya boleh dipenuhi darah ketika sujud. SubhanAllah! Maha Suci Allah! Hari ini saya belajar yang kedudukan sujud membetulkan kedudukan mata. Saya mencadangkan agar beliau solat sunat setiap kali positioning ini perlu dilakukan.

Allah yang mencipta manusia. Allah Maha Mengetahui tentang ciptaanNya itu. Allah telah mencipta satu sistem penyelengaraan untuk manusia. Pembuat kereta contohnya akan membuat satu manual untuk penyelengaraan kereta mengikut jadual-jadual tertentu. Misalnya minyak hitam perlu ditukar setiap 5000km perjalanan, minyak gear setiap 20,000km manakala palam pencucuh setiap 30,000km. Jika jadual selengaraan ini tidak diikuti, kereta akan mudah rosak. Begitu juga dengan manusia, Allah telah menyediakan satu sistem lengkap untuk kehidupan manusia iaitu Al-Quran, setiap keperluan manusia ada di dalam Al Quran.

Setiap hari tempohnya ada 24 jam. Dalam 24 jam orang yang beriman dengan Al-Quran iaitu umat Islam diwajibkan untuk solat 5 kali. Menunaikan solat fardhu adalah wajib bagi umat Islam. Dan solat itu membawa kebaikan yang amat banyak . Waktu-waktu solat ini ditetapkan untuk kebaikan manusia. Pelbagai penemuan sains tentang kehebatan solat telah dibentangkan oleh para saintis Islam mahupun saintis bukan Islam .

Setiap minggu pula ada 7 hari. Setiap minggu para Muslimin di wajibkan solat Jumaat. Minggu -minggu ini membentuk bulan. Setiap bulan Hijrah ada peranannya yang tersendiri untuk kebaikan umat Islam. Dari Muharram hingga Zulhijjah, sistem bulan Islam lengkap untuk kebaikan umat Islam.

Islam itu syumul. Lengkap dan sempurna.

No comments:

Related Posts with Thumbnails