Friday, November 28, 2008

Golden Dreams

Pada pertengahan tahun 90-an hingga awal millenium ada suatu rancangan TV iaitu Benson & Hedges Golden Dreams. Saya beberapa kali mencuba untuk memasuki rancangan ini. Cubaan pertama saya hanya berjaya dapat surat penghargaan dari penganjur. Pada masa itu kononnya golden dreams ialah untuk mengelilingi Malaysia dengan berbasikal.
Cubaan kedua pula semakin berjaya apabila mendapat temuduga melalui telefon. Impiannya ialah untuk berlatih bersama-sama skuad pemanah Korea Selatan. Pada masa tersebut saya belajar di UiTM Terengganu dan aktif dalam sukan memanah.
Kemudian pada cubaan ketiga saya dapat temuduga dan screen test untuk rancangan ini. Pada masa tersebut saya berganding dengan sahabat baik, Azuan Ghazali. Impian kami pada masa tersebut ialah untuk menyertai pertandingan Bowling di Reno, Las Vegas. Pada masa tersebut kami memang benar-benar kemaruk Bowling. Pernah pada suatu Hari Raya Aidil Adha kami bermain bowling di Sunway Bowl. Pusing kiri kanan pada masa tersebut dan mendapati hanya kami orang Melayu yang bermain Bowling. Kami juga selalu menjuarai pertanding bowling College Open di Sunway Bowl. Sering juga bermain di lane sebelah pemain-pemain bowling negara seperti Shalin Zulkifli dan KN Lai.
Kami hampir-hampir diberi peluang tersebut dan muncul di kaca TV. Akhirnya penemuduga tidak yakin ini adalah impian keemasan kami. Penemuduga dari Amerika itu berkata jika ianya betul-betul impian keemasan pastinya kami akan betul-betul bermimpi mengenainya dan mempunyai perancangan rapi untuk merealisasikannya. Meraka hanya menolong merealisasikan impian tersebut. Hakikatnya kami hanya mahu ke luar negara secara percuma dan muncul di kaca TV.
Sekarang saya sudah ada impian keemasan yang sebenarnya. Saya mempunyai perancangan yang rapi untuk mencapainya. Sampai termimpi-mimpi. Saya dan isteri berhasrat untuk menunaikan Haji pada masa terdekat. Minggu lepas ketika menghantar emel kepada staf dan cc kepada bos mengenai peraturan baru Pesuruhjaya Sumpah. Dengan yakin setelah menyemak emel tersebut saya menghantarnya. Selang beberapa minit bos menjawab emel tersebut dengan pertanyaan " Ni Pesuruhjaya Sumpah ke Pesuruhjaya Haji?". Saya menyemak balik emel asal saya. Tajuknya ialah Pesuruhjaya haji. Alamak! Tersasul lah bos, saya balas balik emel itu dan menyatakan itu mungkin tanda-tanda nak pergi haji..hehehe..Ini baru Golden Dreams..

Kursus

Saya baru balik dari Persidangan Akauntan Kebangsaan (NAC 2008) di Pusat konvensyen Kuala Lumpur. Di sinilah bersidangnya akauntan-akauntan Malaysia setiap tahun. Berjumpa kawan lama dan baru. Membina networking. Mendapat pendedahan isu-isu baru dalam bidang perakaunan. Belajar ilmu-ilmu baru.
Sedar tak sedar tahun 2008 sudah sampai penghujung. Tahun 2009 bakal menjelma. Organisasi tempat saya bekerja mewajibkan setiap pekerja untuk menghadiri sekurang-kurangnya 40 jam kursus setiap tahun. Manakala sebagai Chartered Accountant perlu mengumpulkan 40 CPE (Continous Professional Education) setiap tahun untuk memantapkan tahap professional ahli MIA.
Imbas kembali, banyak juga kursus yang saya hadiri sepanjang tahun 2008.
Antara kursus yang pertama dihadiri ialah kursus Umrah. Persiapan ringkas sebelum menghadiri umrah.
Kemudian saya hadiri kursus ISO 9001:2000 di Shah Alam. Belajar mengenai ISO kerana saya akan terlibat dalam pelaksanaan ISO tahun hadapan. Saya masih ingat penceramah tersebut bernama En. Suhaimi menyapa mengenai janggut saya dan beliau juga berhasrat untuk mengerjakan haji tidak lama lagi.
Kemudian saya hadiri kursus Coaching. Teknik terbaru untuk melatih staf dan juga boleh digunakan untuk melatih pasangan dan anak-anak. Teknik Coaching masih baru di Malaysia. Baru 2-3 tahun diperkenalkan di Malaysia. Tahun ini saya mengikuti dua sesi kursus coaching. Coach Aziz yang melatih saya telah berangkat mengerjakan haji 24 Nov lalu.
Minggu lepas saya berpeluang untuk menghadiri kursus penulisan KJ Method anjuran PTS. Sifu Ainon Mohd yang menjadi penceramah. Banyak ilmu-ilmu dan teknik penulisan saya belajar dari beliau. Dan yang paling hebat ianya ialah kursus percuma. Sayang saya tidak berpeluang untuk hadir kursus Bahasa Melayu Tinggi yang diajar oleh Prof. Abdullah Hasan. Mungkin saya dapat menghadirinya pada masa hadapan. InsyaAllah hujung minggu ini saya akan menghadiri kursus Teori Surah Yusuf. Satu lagi sesi kendalian Sifu Ainon.
Alhamdulillah organisasi tempat saya bekerja membenarkan kami menghadiri kursus (kuliah) mingguan untuk mengumpul CPE untuk akhirat. CPE akhirat lebih tinggi nilainya kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa seseorang yang menghadiri majlis ilmu itu adalah lebih baik daripada melakukan 1,000 rakaat solat sunat.
Untuk tahun 2009, saya sedang menunggu untuk belajar Bahasa Arab asas di Kolej Komuniti Kajang yang sedang dibina. Kursus ini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 dan diadakan selama 4 Sabtu.
Saya juga bercadang untuk mengikuti pengajian Talaqi pada tahun hadapan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai. Kursus ini adalah ilmu untuk mendalami Al-Quran. Mempunyai empat modul asas iaitu Sejarah Al-Quran, Tajwid, Qiraat dan Talaqi. Yurannya hanya RM500.00 untuk 13 minggu. Kelas pada hari Sabtu selama 4 jam. Satu jam setiap modul. Saya sudah terlepas sesi tahun ini.
Namun hanya ada satu kursus yang saya tunggu-tunggu untuk tahun 2009. Kursusnya ialah kursus haji bersiri. Kebiasaannya kursus bermula pada Feb atau Mac setiap tahun. Dan biasanya ada 13 siri. InsyaAllah saya dan isteri akan mendalami ilmu haji sebagai persiapan mengerjakan rukun Islam yang ke 5.

Sunday, November 16, 2008

Alhamdulillah

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Puji amat penting dalam kehidupan. Manusia secara fitrahnya suka dipuji. Rasulullah juga pernah berdakwah dengan pujian.
Ketika Islam sudah kuat dan Rasul serta orang Islam kembali ke Mekah daripada Madinah, Nabi bersabda :
"Barangsiapa yang memasuki Masjidil Haram dia selamat, dan barangsiapa yang memasuki rumah Abu Sufian dia selamat."
Abu Sufian begitu berbesar hati kerana mendapat pujian tersebut. Tidak pernah ada orang yang berkata demikian. Abu Sufian beranggapan rumahnya sama taraf dengan Masjidil Haram. Lalu dia memeluk Islam kerana pujian tersebut.

Khalid Al Walid R.A. adalah seorang pakar strategi peperangan. Kerana strategi beliau, umat Islam kalah dalam peperangan Uhud. Satu hari Rasulullah memberi serbannya kepada adik Khalid dan berpesan supaya menyampai mesejnya kepada Khalid.
Rasulullah bersabda :
"Beritahu abangmu, beliau adalah seorang yang cerdik, beliau tidak sepatutnya memerangi Islam, sekiranya belaiu menjadi orang Islam beliau akan menjadi lebih cerdik."
Setelah mendengar pujian tersebut, Khalid Al Walid memeluk Islam.

Namun segala pujian adalah bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Friday, November 14, 2008

Ciri Ciri Ahli Syurga

Nota untuk diri.
Dipetik daripada Ceramah Penerapan Nilai Islam (CPNI) Ustazah Zailah

Ciri ciri Ahli Syurga
1. Khusyuk dalam solat
2. Menjauhi perkara-perkara mungkar
3. Kuat bekerja hingga orang lain dapat manfaat seperti zakat dan sedekah.
4. Menjaga maruah diri dan keluarga
5. Memegang Amanah
6. Menepati janji
7. Solat di awal waktu.

Futsal

Saya baru balik dari permainan futsal tadi. Dah lama tak main futsal. Ini dah sesi ke 3 Maplegold FC musim 2008/2009 selepas berehat untuk Ramadhan dan Syawal. Tapi ini perlawanan pertama saya selepas terlepas aksi 2 perlawanan awal. Puas hati juga dengan stamina sendiri, walaupun lama tak main tapi mampu juga untuk menjaringkan gol dan "assist". InsyaAllah minggu depan sesi seterusnya akan terus diadakan.
Teringat kata-kata Ustaz Meor mutawif bertugas untuk rombongan umrah kami di Mekah.
Katanya sesiapa yang nak pergi haji mesti menghadiri kursus haji dan juga melakukan senaman seperti berjogging dan kalau boleh masuk pertandingan marathon.
Haji adalah ujian fizikal. Untuk melakukan Saei jaraknya ialah 3.5km sementara untuk melontar pula 7km bergantung kepada jarak khemah daripada Jamrah.
Sehubungan itu disamping persiapan kewangan dan kerohanian, persiapan fizikal juga adalah sebahagian persiapan untuk menunaikan haji. Kesihatan dan fizikal yang baik akan membantu jemaah haji untuk melakukan ibadat dengan lebih sempurna. Haji adalah sebaik-baiknya dilakukan ketika usia muda kerana pada usia muda kudrat masih mampu mengatasi ujian-ujian fizikal ini.

Sunday, November 9, 2008

Yang Pasti....

Nota untuk diri.
Mengikut kajian :
Manusia jika tidak makan selama 7 hari boleh mati.
Manusia jika tidak minum selama 3 hari juga boleh mati.
Manusia jika tidak mendapat bekalan oksigen untuk beberapa minit juga boleh mati.

Malaikat Izrail mengunjungi manusia sebanyak 60 kali dalam masa sehari semalam. Dalam sehari ada 24 jam atau 1,440 minit. Secara puratanya
malaikat Izrail akan mengunjungi kita setiap 24 minit. Mungkin kunjungan yang lepas hanya untuk melihat. Tetapi akan datang juga kunjungan untuk mencabut nyawa.

Begitu dekatnya manusia dengan kematian. Ketika pulang ke kampung isteri semalam saya dikejutkan dengan berita kematian seseorang yang masih muda. Baru berusia lewat 30-an. Beliau meninggal di dalam kereta ketika bersiap untuk ke kedai.

Tiada perkara yang pasti kecuali mati. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Itu suatu kepastian.

KAYA

Nota untuk diri.
Dulu saya bercita-cita untuk menjadi kaya. Datang dari keluarga yang sederhana, menjadi kaya adalah matlamat hidup ketika itu. Setelah menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan, keinginan untuk menjadi kaya semakin memuncak.
"Macam mana nak jadi kaya?" tanya saya kepada kawan baik.
"Itu senang, hari-hari makanlah roti dengan sekaya" jawab kawan baik saya dengan bergurau.
"Ha ha ha..." kami sama-sama ketawa.
Dalam proses untuk menjadi kaya saya pernah menyertai satu syarikat MLM. Bermodalkan RM50.00, mereka yang menyertai syarikat ini masing-masing ingin menjadi kaya. Ingin menjadi jutawan seperti yang digambarkan oleh mereka-mereka yang kononnya telah menjadi jutawan. Jutawan-jutawan ini berkereta besar dan digembar-gemburkan mempunyai rumah besar dan disebut-sebut mempunyai aset yang banyak. Saya menyertai mereka. Menjadi usahawan juga seperti mereka. Siang malam berusaha untuk merealisasikan impian untuk menjadi kaya.
Saya tidaklah gagal dalam perniagaan ini dan tidaklah berjaya sepenuhnya. Saya sempat mendapat pakej percutian percuma di luar negara. Tetapi selepas itu cita-cita saya untuk menjadi kaya agak pudar. Saya perhatikan mereka ini terlalu kuat bekerja. Mereka bekerja sehingga 18 jam atau lebih sehari dan kurang menumpukan perhatian kepada keluarga dan juga agak lalai dalam meyempurnakan suruhan agama. Saya mengingatkan diri sendiri supaya menjadi orang yang lebih seimbang antara kerja dan keluarga dan antara dunia dan akhirat.
Tanpa saya sedari, selama ini saya adalah orang yang kaya. Mengikut Imam syafie, orang yang kaya ialah mereka yang dapat menjamin boleh memberi makan kepada diri sendiri dan keluarga selama 3 hari yang akan datang. Jika seseorang itu dapat berbuat demikian, maka beliau adalah kaya dan wajib membayar zakat fitrah. Manakala mereka yang tidak dapat berbuat demikian tidak wajib membayar zakat fitrah dan boleh dikategorikan sebagai orang miskin atau fakir.
Saya lebih bahagia hidup dengan keadaan yang sederhana. Cukup semua keperluan untuk keluarga dan dapat membantu mereka yang memerlukan. Saya pernah terbaca dalam buku Sakratul Maut karangan Dr. Aidh Al Qarni yang menyebut orang-orang fakir akan masuk syurga 500 tahun terlebih dahulu daripada orang-orang kaya. 500 tahun akhirat. 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia. Bayangkan itulah harganya menjadi kaya di dunia. Astaghfirullahalazim.

Sunday, November 2, 2008

Kejar Dunia Untuk Akhirat

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, "Sesiapa yang mengejar dunia dengan tujuan mengelak daripada meminta-minta dan dengan tujuan menjaga anak isterinya daripada memakan harta curi, harat samun dan sebagainya, dan dengan tujuan menjaga hubungan dengan jiran tetangga, dia akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan wajah yang berseri-seri umpama bulan purnama".
Hadis ini disebut dengan tujuan membetulkan fahaman sesetengah umat Islam yang menolak harta dunia, sedangkan tidak semua urusan dunia itu membawa keburukan kepada umat. Jika ianya dilakukan dengan cara yang halal dan dengan niat yang betul, pasti usaha seseorang itu akan diberkati oleh Allah S.W.T.
Jika harta dicari dengan niat supaya mereka tidak perlu meminta-minta daripada sesiapa, Allah S.W.T akan memberkati niatnya itu. Begitu juga jika dia berniat untuk membantu mereka yang memerlukan, pasti Allah akan meredhai usahanya. Namun jika harta dicari dengan niat untk bermegah-megah, laknat Allah akan menantinya di akhirat.
Dipetik daripada : Tundukkan Hati, Rahsia Keihklasan Hidup di Dunia Fana oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Annual Bakri Haron.
Related Posts with Thumbnails