Sunday, November 9, 2008

KAYA

Nota untuk diri.
Dulu saya bercita-cita untuk menjadi kaya. Datang dari keluarga yang sederhana, menjadi kaya adalah matlamat hidup ketika itu. Setelah menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan, keinginan untuk menjadi kaya semakin memuncak.
"Macam mana nak jadi kaya?" tanya saya kepada kawan baik.
"Itu senang, hari-hari makanlah roti dengan sekaya" jawab kawan baik saya dengan bergurau.
"Ha ha ha..." kami sama-sama ketawa.
Dalam proses untuk menjadi kaya saya pernah menyertai satu syarikat MLM. Bermodalkan RM50.00, mereka yang menyertai syarikat ini masing-masing ingin menjadi kaya. Ingin menjadi jutawan seperti yang digambarkan oleh mereka-mereka yang kononnya telah menjadi jutawan. Jutawan-jutawan ini berkereta besar dan digembar-gemburkan mempunyai rumah besar dan disebut-sebut mempunyai aset yang banyak. Saya menyertai mereka. Menjadi usahawan juga seperti mereka. Siang malam berusaha untuk merealisasikan impian untuk menjadi kaya.
Saya tidaklah gagal dalam perniagaan ini dan tidaklah berjaya sepenuhnya. Saya sempat mendapat pakej percutian percuma di luar negara. Tetapi selepas itu cita-cita saya untuk menjadi kaya agak pudar. Saya perhatikan mereka ini terlalu kuat bekerja. Mereka bekerja sehingga 18 jam atau lebih sehari dan kurang menumpukan perhatian kepada keluarga dan juga agak lalai dalam meyempurnakan suruhan agama. Saya mengingatkan diri sendiri supaya menjadi orang yang lebih seimbang antara kerja dan keluarga dan antara dunia dan akhirat.
Tanpa saya sedari, selama ini saya adalah orang yang kaya. Mengikut Imam syafie, orang yang kaya ialah mereka yang dapat menjamin boleh memberi makan kepada diri sendiri dan keluarga selama 3 hari yang akan datang. Jika seseorang itu dapat berbuat demikian, maka beliau adalah kaya dan wajib membayar zakat fitrah. Manakala mereka yang tidak dapat berbuat demikian tidak wajib membayar zakat fitrah dan boleh dikategorikan sebagai orang miskin atau fakir.
Saya lebih bahagia hidup dengan keadaan yang sederhana. Cukup semua keperluan untuk keluarga dan dapat membantu mereka yang memerlukan. Saya pernah terbaca dalam buku Sakratul Maut karangan Dr. Aidh Al Qarni yang menyebut orang-orang fakir akan masuk syurga 500 tahun terlebih dahulu daripada orang-orang kaya. 500 tahun akhirat. 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia. Bayangkan itulah harganya menjadi kaya di dunia. Astaghfirullahalazim.

No comments:

Related Posts with Thumbnails