Wednesday, October 6, 2010

Musim Haji : Uwais Al Qarni



Musim Haji bakal tiba lagi. Jemaah dari Malaysia bakal ke Tanah Suci beberapa hari lagi. Khabarnya bermula 09 Oktober 2010, pesawat pertama akan berlepas ke sana. Bakal jemaah sekarang sibuk mengadakan kenduri kesyukuran sebelum ke sana. Beberapa orang sahabat kami juga mendapat Jemputan dari Allah SWT untuk ke sana pada tahun ini.

Menulis mengenai kisah haji saya teringat suatu kisah mengenai Uwais Al Qarni. Beliau hidup di zaman Nabi Muhamad SAW tetapi tidak pernah bertemu dengan baginda. Beliau tinggal di Yaman bersama ibunya. Uwais ingin sekali bertemu Rasulullah dan beliau pernah ke Madinah untuk bertemu baginda tetapi tidak sempat bertemu kerana baginda telah meninggalakan Madinah ke medan perang Badar, kalau tak silap saya.

Rasulullah pernah berpesan kepada Saidina Umar Al Khattab agar mencari Uwais di zaman beliau selepas Nabi wafat dan meminta Uwais mendoakan para sahabat. Para Sahabat terkejut dengan pesan Rasulullah ini kerana apakah kelebihan Uwais sehingga Rasulullah meminta sahabat meminta doa dari Uwais.

Pada satu hari beberapa bulan sebelum musim haji, ibu Uwais menyatakan keinginannya untuk menunaikan haji. Oleh kerana kemiskinan, hasrat ibunya itu agak sukar dipenuhi. Uwais tidak mempunyai kenderaan untuk membawa ibunya dari Yaman ke Mekah. Akhirnya Uwais berjaya membeli seekor lembu. Kandang lembu  ini dibina di atas bukit. Setiap pagi dan petang Uwais akan mendukung lembunya dari atas bukit untuk di bawa ke padang untuk meragut dan minum dan kemudian mendukungnya kembali ke atas bukit. Uwais dianggap telah gila kerana perbuatannya itu. selepas beberapa bulan Uwais telah mempunyai otot yang cukup kuat untuk mendukung ibunya yang lemah dari Yaman ke Mekah pada musim haji. Lembu itu dijual untuk perbelanjaan haji mereka. Itulah pengobanan seorang anak yang soleh seperti Uwais Al Qarni.

Di kalangan masyarakat Yaman, Uwais di anggap tidak waras dan berada di kalangan golonga yang miskin dan terpinggir. Namun Uwais amat terkenal di langit. Semasa kematiannya beribu-ribu orang yang tidak dikenali datang untuk menziarahi dan menguruskan jenazah beliau. Mereka bukanlah penduduk Yaman tetapi adalah dari kalangan malaikat. Wallahua'lam.

Sumber - Bacaan dan tazkirah.

No comments:

Related Posts with Thumbnails