Tuesday, September 30, 2008

AIDIL FITRI

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin

Esok saya beraya di Ajil, Terengganu dan InsyaAllah akan bertolak ke PD pada 2 Syawal dan bekerja pada 3 Syawal.

Semoga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.
Semoga Ramadhan kali ini membawa kita ke arah takwa.

Monday, September 22, 2008

Shamsuddin Kadir




Hari ini Shamsuddin Kadir penulis, trainer, motivator dan pernah muncul di kaca TV hadir ke pejabat saya. Bukan hanya hadir bertanya khabar tapi membawa ole-ole. Dua buah buku dibawa bersama. Buta Duit dengan Rumah dan Biskut Ajaib. Saya telah membeli 3 buku pertama beliau. Kali ni saja je tunggu kalau dia nak bagi percuma. Memang rezeki, dapat free hehehe.

Saya telah mengenali Shamsuddin kadir lebih kurang 14 tahun lalu di UiTM Terengganu dan kemudian satu kelas di UiTM Shah Alam. Yang uniknya saya dan Tuan Shamsuddin pernah mendapat GPA dan CGPA yang sama buat beberapa semester pada masa Universiti dulu.

Laman web beliau www.shamsuddinkadir.com selalu saya kunjungi. Walaupun kerjaya saya sebagai akauntan yang urusan utama ialah mengenai wang tetapi banyak saya belajar mengenai pengurusan wang dari buku dan laman web beliau.

Terima kasih Din.Selamat maju jaya, selamat menulis lagi. Selamat menanam pokok-pokok getah dan menjadi kebun getah yang luas. Dan kemudian menghasilkan susu getah yang banyak. La ni getah mahal harganya - bak pepatah tamil tulisan SifuPTS - Sebatang pokok getah tidak menjadikan estet.

Saturday, September 20, 2008

MALAM INI LAILATUL QADR?

Ceramah Penerapan Nilai Islam (CPNI)
19 September 2008
Ustaz Norazan

Tahun 2008/1429 Hijrah - Tahun ini 1 Ramadhan di seluruh dunia disambut pada 1 September 2008. Fenomena ini terjadi setiap 33 tahun sekali. (Sama dengan umurku sekarang, sekali lagi akan terjadi pada usiaku 66 tahun itupun jika masih hidup.)

Mengikut kiraan ilmu falak Sheikh Daud Fatani (Diriwayatkan beliau tidak pernah ketinggalan beribadat pada Lailatul Qadr sepanjang hayatnya), Lailatul Qadr (LQ)adalah seperti berikut :

Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu - LQ adalah pada malam 29 Ramadhan
Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat - LQ adalah pada malam 27 Ramadhan
Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Khamis - LQ adalah pada malam 25 Ramadhan
Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Sabtu - LQ adalah pada malam 23 Ramadhan
Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari ISNIN - LQ adalah pada malam 21 Ramadhan
Ramadhan tahun ini bermula pada hari isnin bersamaan 1 Sep 2008, Adakah Malam ini Lailatul Qadr? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Cuma kita boleh mengambil kesempatan untuk beribadat sepanajang malam ini kerana malam ini malam minggu, esok cuti.

Tanda Tanda LQ
Tak sejuk, tak panas, tenang, tidak kendegaran lolongan anjing, tidak nampak kerlipan bintang di langit kerana langit cerah. Keesokannya matahari tidak terik.

Strategi LQ
1. Azam dan kesungguhan. Tanamkan azam dan kesungguhan untuk mencari dan beribata pada LQ.
2. Bila ada azam akan timbul perancangan. Dimana nak beriktikaf? Apakah jenis ibadah yang hendak dibuat pada malam itu? Ibadah yang afdhal :
Baca Al-Quran, Zikir, Solat Sunat - Tahajud, Tasbih, taubat, Hajat, Witir dll, Doa - doa yang baik "Ya Allah engkau tuhan yang maha pemaaf, berikan aku kemaafanMu".
Ibadat yang paling sedikit ialah Solat Isyak berjemaah, Solat Terawih berjemaah dan Solat Subuh berjemaah di masjid /surau.
3. Cari teman / keluarga yang soleh untuk beribadat bersama-sama.
4. Ambil cuti pada 10 hari akhir Ramadhan jik boleh. Di Arab Saudi, jordan, Palestin dan banyak negara Arab lain , 10 akhir Ramadhan adalah cuti umum untk membeolehkan rakyatnya mencari LQ. Mereka akan mula bekerja pada 3 Syawal.
5. Persiapan raya hendaklah dilakukan awal sebelum 10 akhir Ramadhan untuk menumpukan hanya pada ibadat pada 10 hari terakhir.

"Ya Allah aku ingin beribadat kepada Mu pada Lailatul Qadr"

LAILATUL QADR

Tazkirah Terawih - Surau Jenaris
Ustaz Zulkarnain Hamzah al Hafiz (Hos Kalam Suci)
18 Sep 2008

Laliatul Qadr itu :
1. Ganjaran - Ganjaran bagi mereka yang beribadat padanya dengan ganjaran seperti beribadat selama 1000 bulan.
2. Sempit - Pada malam itu dunia terlalu sempit kerana berbondong-bondong (berbillion-billion )malaikat turun ke bumi. Sesudah subuh malaikat-malaikat ini naik ke langit hingga pancaran matahari terlindung dan tidak memancar terik kerana terhalang oleh sayap-sayap malaikat.
3. Ketentuan - Pada malam Al-Qadr akan dituliskan ketentuan semua manusia dari Ramadhan ini hingga Ramadhan yang akan datang. Semua ketentuan mengenai manusia, baik atau buruk, ajal maut, jodoh pertemuan akan ditulis pada malam ini.

Friday, September 19, 2008

Peringatan

Sekembali dari umrah Mei lalu saya diberi satu peringatan dari Allah. Uban saya semakin banyak. Hampir sepuluh helai. Peringatan : mati semakin hampir.
Pernah diriwayatkan bahawa pada masa Rasulullah (Selawat dan salam ke atasnya , keluarganya dan para sahabat) wafat, rambut putih dikepala Rasulullah tidak sampai 20helai pun.
Masa semakin suntuk. Bersediakah aku?

Bonus

Musim bonus tiba kembali.Kerajaan telah mengumumkan bonus begitu juga syarikat swasta. Terkenang kisah isteri saya mengenai bonus tahun lepas.
Ketika itu di tempat kerja isteri saya, bossnya telah berjanji akan memberi bonus besar. Beliau begitu percaya dengan janji itu. Bonus besar menjadi impian.
Bila tiba hari bonus, beliau amat kecewa kerana janji hanya tinggal janji. Bonus besar tidak diberi.Sudahlah janji tidak ditepati, bonus beliau terima juga paling rendah dalam history. Pegawai lain dapat bonus besar seperti dijanji.Beliau amat kecewa, sedih, tertekan, bersangka buruk, menyalahkan nasib dan fikiran bercelaru. Hari menjadi kelam, rasa kecewa dan marah menyelubungi keadaan.Kalau ikutkan pengiraan bonusnya kurang RM8,000.00.

Hari itu beliau sempat juga ke kuliah zohor. Seorang Ustaz mengajarkan sepotong doa yang diamalkan oleh Ummu Salamah ketika kematian suaminya, yang bermaksud :
"Ya Allah Ya Tuhanku, Kurniakanlah kepadaku ketabahan di atas musibah yang menimpa ke atas diriku dan gantikanlah yang terbaik bagiku selepas ini".
Beliau membaca doa itu saban hari dan waktu untuk menenangkan fikiran. Namun rasa kecewa dan marah masih menguasai diri. Hampir sebulan perasaan kecewa dan marah ini menghuni sanubari. Saban waktu di rumah dan pejabat topik bonus menjadi rungutan.
Hingga suatu hari di satu kuliah zohor yang lain, seorang Ustaz bercerita mengenai kisah semut dan Nabi Sulaiman A.S. Semut pun tidak percayakan janji manusia kerana semut yakin rezeki bukan ditentukan manusia tetapi ditentukan Allah.
Isteri saya tersedar. Rezeki bukan boss yang tentukan tetapi semuanya ditentukan Allah.Kini dia redha dengan ketentuanNya.

Masa berlalu. Lebih kurang tujuh bulan kemudian, isteri saya menerima satu emel dari syarikat. Satu kejutan. Tak disangka-sangka. Beliau mendapat kad jemputan menjadi tetamu Allah (umrah)bernilai RM8,000.00. Beliau memenangi satu kempen promosi.Hasil usaha beliau mempromosi produk syarikat tahun lalu. Kalau ikutkan logik akal agak sukar untuk menang kempen ini kerana saingan yang amat sengit.Namun rezeki ditentukan Allah.

Rupa-rupanya rezekinya memang ada. Cuma Allah simpan seketika. Jikalau RM8,000.00 itu diterima 7 bulan sebelumnya pasti LCD TV dan Home Theatre menjadi sasaran.Itulah yang diangan-angankannya apabila boss membuat janji. Namun Allah itu Maha Pengasih lagi maha Penyayang, RM8,000.00 itu menjadi perantaraan untuk pengajaran yang tak terperi di bumi Ilahi. Hasil perjalanan Umrah itu masih terasa hingga kini. Kami dijemput menjadi tetamu Allah walaupun wang simpanan dan ilmu memang tidak mencukupi.

Kini musim bonus datang lagi, kali ini beliau redha. Tidak mengharapkan janji manusia, kerana manusia memang suka berjanji dan suka pula memungkiri. Rezeki kecil atau besar semuanya Allah yang tentukan.

Monday, September 15, 2008

3 Golongan Ketika Ramadhan

Ceramah Penerapan Nilai Islam (CPNI)
Datuk Hassan Din Al Hafiz
Jalan Duta
05 Sep 2008

Ada 3 golongan umat Islam ketika Ramadhan
1. Orang yang berpuasa dan bersolat
2. Orang yang tak berpuasa dan tak bersolat
3. Orang yang berpuasa tapi tak solat

Tidak ada orang solat tetapi tidak puasa.
Kesilapan ibubapa pada masa kini ialah memaksa / memberi ganjaran kepada anaknya untuk berpuasa tetapi tidak pernah memaksa/memberi ganjaran bagi anaknya bersolat. Akhirnya anak-anak ini bila dewasa akan menjadi golongan yang ke-3.

Sepatutnya ibubapa menyuruh anaknya solat ketika usia 7 tahun dan merotan/memeukul anaknya jika tidak solat ketika usia 10 tahun. Tidak perlu paksa puasa. Puasa secara natural akan dibuat oleh anak yang dididik untuk solat. InsyaAllah anak-anak ini akan menjadi golongan no. 1.

Salam

Ceramah Penerapan Nilai Islam (CPNI)
Datuk Hassan Din Al Hafiz
Jalan Duta
05 Sep 2008

Satu satunya perkara sunat yang lebih baik daripada perkara wajib ialah memberi salam. Memberi salam itu sunat tetapi menjawab salam ialah wajib. Umat Islam adalah digalakkan memberi salam terlebih dahulu bila berjumpa sesama Islam. Memberi salam itu adalah menegakkan syiar Islam. Namun ada 4 ketika salam tidak perlu dijawab.
1. Salam orang yang solat
2. Orang bukan Islam memberi salam.
3. Orang bercakap terlebih dahulu kemudian memberi salam
4. Orang yang memberi salam dengan tujuan untuk mempermainkannya.

Syurga Rindu 4 Golongan

Kuliah Dhuha
Datuk Ismail Kamus
Surau Saujana Impian
14 Sep 2008

Syurga rindukan 4 golongan
1. Ahli Al-Quran
2. Orang yang memelihara lidahnya
3. Orang yang memberi makan orang yang berbuka puasa
4. Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan

Saturday, September 13, 2008

Accident

Peristiwa ini berlaku sekitar hujung jun 2008. Ketika itu saya sekeluarga pergi ke restoran berhampiran rumah untuk memesan makan malam. Selepas pesan makanan, Saya ke kereta dan bercadang untuk membeli sedikit barang di ke pasaraya berdekatan. Saya hidupkan enjin, buka lampu, tengok belakang "clear" terus reverse ke belakang. Tiba tiba..BANGGGGGG... ada bontot kereta lain kereta menghentam bontot kereta saya.Terkejut kami sekeluarga.Saya telah kemalangan. Ada sebuah kereta yang juga mahu keluar parking melanggar kereta saya.
Saya masukkan kembali kereta ke petak parking. Kereta tadi tidak berganjak pun.Saya pergi ke arah kereta itu. Keluar seorang lelaki lingkungan 50-an, berkopiah, berjanggut dan berkain pelikat.
"Macam mana ko bawa kereta" tengking pakcik itu... Saya menghulurkan tangan untuk bersalam, dia menyambut.
"Macam mana jadi macam ni. Ini bukan salah saya" saya cuba memberi penerangan.
"Bukan salah kau, habis tu ko\au ingat kami yang salah"Tengking pak cik itu lagi
Isterinya juga turut keluar kereta dan memarahi saya..
Kelihatan di dalam kereta tersebut 3 orang anak mereka sekitar usia awal belasan tahun.
Kereta mereka, Proton Saga berusia lebih kurang lima belas tahun. Kemek sedikit di bahagian belakang. Kereta saya tidak kemek sedikit pun.
"Ni mahal ni nak baiki ni.Sekarang ni semua barang mahal" bebel pakcik itu. Mungkin masih terasa tertekan dengan kenaikan harga minyak tempoh hari (awal jun).
Saya tidak mahu bergaduh dengan pakcik ini. Tapi saya tidak bersalah.Saya yakin. Kereta saya mempunyai sensor. Sensor tidak berbunyi kerana kereta pakcik itu menghentam kereta saya dari belah tepi. Kereta pakcik itu tidak berganjak pun selepas kemalangan berlaku. Maknanya saya keluar dahulu dari parking.
"Macam nilah, kalau nak settle ni ko bagilah berapa yang kau ada. Ikhlas!" pinta pakcik itu.
Dalam hati saya berkata, apa nak buat ni.
"Sekejap ya pakcik" saya bergerak ke kereta.
Saya tanya isteri saya, pakcik tu nak duit walaupun kita tak bersalah.
"Orang macam ni kena ajar sikit bang"cadang isteri saya.
Saya lihat di restoran itu ada dua orang saksi kejadian. Saya tanya mereka adakah mereka melihat kemalangan tadi. Mereka kata tak melihat sepenuhnya tapi yakin saya tak bersalah.
"Dari jarak kereta kereta abang dan pakcik tu, memang salah pakcik tu sebab dia baru keluar. Dia patut tengok belakang dan bagi laluan.Pakcik tu juga tak pasang lampu." mereka memberi ulasan.
Saya bertambah yakin saya tak bersalah. Saya ucapkan terima kasih kepada saksi kejadian.
Saya keluarkan beberapa keping duit lima puluh ringgit dan bergerak ke arah pakcik tadi. Saya hulurkan tangan berisi kepada pakcik tersebut. dia menyambut tangan saya. Saya genggam tangannya kuat-kuat. Saya renung matanya dan berkata
"Saya yakin saya tak salah pakcik, tapi pakcik pun kata pakcik tak bersalah. Kalau pakcik nak duit ni pakcik ambilah. Apa-apa hal saya tuntut di akhirat sajalah .."
Pakcik tu semacam tersentak dengan kata kata saya.
"Tak apalah, saya salah..saya salah" cakap pakcik itu, menukar pengakuan dengan serta merta dan menolak duit pemberian saya. Saya masukkan duit tersebut ke dalam poket bajunya tapi sekali lagi dia menolak dan bergegas ke keretanya. Saya menghulurkan salam dan meminta maaf jika saya berbuat silap (Walaupun bukan salah saya). Pakcik itu menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ dengan pantas. Hampir kemalangan lagi dengan kereta lain. Saya cuma mampu menggelengkan kepala.

Sunday, September 7, 2008

Nota Kuliah - Khutbah Jumaat

Khutbah Jumaat
Masjid Wilayah
05 Sep 2008 / 05 Ramadhan 1429

Intipati khutbah jumaat ini ialah membicarakan mengenai :
Ayat 183,Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa"

Umat Islam yang berpuasa dengan sebenar-benarnya dan merebut peluang beribadat di sepanjang sebulan Ramadhan seperti bertarawih dan membaca Al-Quran serta ibadah lain semata-mata mengharapkan keredhaan Allah akan keluar dari bulan Ramadhan ini dan menjadi orang yang bertakwa.

Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang lemah dari kelemahan diri saya sendiri.

Nota Kuliah - Tazkirah Terawih

05 Sep 2008 / 06 ramadhan 1429

Ustaz Ahmad Yahya

Surau Jenaris, Kajang


Syafaat


Antara intipati kuliah ini ialah :

1. Syafaat yang paling besar ialah Syafaat Nabi Muhammad S.A.W ke atas umatnya. Nabi mempunyai lima jenis syafaat dan syafaat yang paling besar ialah Syafaat Uzma.

2. Para wali/anbiya'/alim ulamak juga boleh memberi syafaat di akhirat.

3. Para Syuhada juga boleh memberi syafaat. Ada riwayat yang mengatakan para syuhada boleh memberi 70,000 ribu syafaat.

4.Al-Hafiz juga boleh memberi syafaat kepada kaum keluarganya yang beriman kepada Allah.



Umat Islam juga boleh mendapat syafaat dari amalannya iaitu

1. Puasa - Umat Islam yang puasa dengan puasa yang sebenar-benarnya kerana Allah Taala. Puasa dengan seluruh anggotanya. Bukan hanya puasa yang tidak makan dan minum tetapi meliputi hati, mata, kaki,tangan dan seluruh anggota badan. InsyaAllah syafaat puasa ini akan menjelma di Padang Mahsyar memberi syafaat kepada orang yang berpuasa.

2. Syafaat Al-Quran. Al-Quran boleh memberi syafaat tetapi ia mempunyai 3 tuntutan.

i - Tuntutan dengan lidah - iaitu umat Islam hendaklah membaca Al-Quran dengan lidahnya. mempelajari Al-Quran dan senantiasa memperelokkan bacaannya dengan pembelajaran ilmu Al-Quran seperti Tajwid dan Taraanum.

ii - Tuntutan Akal - Selain membaca Al-Quran, umat Islam hendaklah menggunakan akal fikirannya untuk mendalami , menghayati dan mengkaji segala yang terkandung di dalam Al-Quran.

iii - Tuntutan hati - Umat Islam hendaklah menghayati Al-Quran dengan hatinya agar ia menjadi orang-orang yang bertakwa dan melaksanakan segala Suruhan Allah dan menjauhi segala larangan Nya.

Al-Quran akan memberi syafaat di akhirat jika umat Islam melaksanakan ketiga-tiga tuntutan ini.


Mungkin ada kekurangan dalam catatan ini. Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang lemah datang dari kelemahan saya sendiri. Wassalam.

Mukjizat Al-Quran - Burung




Kisah yang ingin dipaparkan ini adalah untuk di ambil iktibar dan pengajaran bagi mereka yang ingin berbuat demikian. Bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau riya', ujub atau takabbur.

Pada pagi satu Ramadhan 1429 (1 Sep 2008) ketika saya sedang membaca Al-Quran. Terbang seekor burung masuk ke dalam rumah ipar saya (ketika itu berada di kampung isteri). Setelah masuk, burung itu gagal mencari jalan keluar. Terbang ke sana ke mari di dalam rumah dan melanggar siling dan dinding. Saya , anak dan anak saudara cuba menghalaunya keluar dengan membuka pintu dan tingkap namun burung ini gagal juga mencari jalan keluar. Fikir saya, jika dibiarkan burung ini akan mati kerana beberapa kali melanggar siling dan dinding. Setelah hampir 15 minit burung ini bertenggek di atas rel langsir.

Saya teringat sepotong ayat Al-Quran yang diajar oleh pegawai seliaan saya, Hajjah Rosnah kepada saya dan yang dipelajarinya daripada Ustazah Fatma Azzahra (Hos Ar Rayyan).

Ayat 18, Surah Al-Baqarah yang bermaksud " Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali"

Menurut Hajjah Rosnah, ayat ini digunakan sebagai pendinding jika menghadapi bahaya seperti binatang buas / liar atau orang yang jahat kerana bila dibacakan ayat ini kepada mereka maka dengan izin Allah mereka akan tuli, bisu dan buta.

Saya bacakan ayat ini kepada burung tersebut (Dengan niat untuk menolongnya) sebanyak 3 kali dan saya naik tangga menuju ke arah burung tersebut dan dengan izin Allah saya berjaya menangkap burung ini dengan tangan sahaja. SubhanAllah!, jika difikirkan logik akal adalah mustahil bagi saya menangkap burung ini menggunakan tangan kosong. Ketika dibacakan ayat ini burung tersebut seolah-olah tidak mendengar dan tidak dapat melihat buat seketika sehingga saya menangkapnya. Setelah dilepaskan burung itu meluncur dengan laju ke udara. Tidak sampai 5 saat, burung ini sudah tidak kelihatan lagi.

Itulah mukjizat Al-Quran. Dengan izin Allah kita berupaya melakukan sesuatu dengan kalimah-kalaimah Allah di dalam Al-Quran. Sama-samalah kita mengambil kesempatan di bulan ramadhan yang mulia ini untuk membaca, mendalami dan mengkaji Al-Quran.
Related Posts with Thumbnails