Wednesday, July 29, 2009

Durian, Manggis dan Rambutan





Hari jumaat lepas saya sekeluarga sempat pulang ke kampung di Ajil, Terengganu. Kami pulang untuk menziarahi emak dan juga menikmati musim buah-buahan. Sempatlah makan buah durian, rambutan, manggis dan dokong dari dusun sendiri.
Sampai sahaja di sana lebih kurang pukul 9 malam. Beberapa biji buah durian kelihatan di atas beranda. Kami menikmati buah durian yang baru gugur sebagai pembuka selera makan malam. Biasanya cuaca pada waktu malam di sana sangat sejuk dan berkabus. Kipas tidak perlu dipasang. Kedinginan malam beserta bunyi unggas membuatkan fikiran begitu tenang sekali.
“Panaslah malam ini, tidak seperti selalu” saya memberitahu isteri.
“Saya rasa sejuk macam selalulah, bang” isteri saya memberi jawapan.
Rupa-rupanya saya terlebih makan durian dan terlupa meminum air dari pangsanya. Sebab itu dirasakan badan panas sedikit.
Keesokan harinya seawal jam 7.00 pagi, anak-anak telah bangun. Mereka begitu teruja untuk memungut buah durian yang baru gugur berhampiran rumah. Pengalaman begini tidak dirasai oleh warga kota. Begitu seronok melihat anak-anak memungut durian walaupun hanya beberapa biji. Teringat kembali nostalgia semasa saya masih di sekolah rendah di sekitar tahun 1980-an. Bila tiba musim durian, saya begitu teruja untuk memungut durian yang gugur setiap pagi. Kadang kala saya bersama arwah ayah akan pergi memungut durian pada sebelah malam sekitar 11-12 malam. Jika dibiarkan hingga pagi ada orang lain yang memungutnya.Itulah pencuri musim buah yang aktif ketika buah durian gugur. Arwah ayah pernah juga membina ran iaitu rumah atas pokok untuk menjaga durian dari dicuri oleh manusia atau dimakan binatang. Biasanya ran dibina di atas pokok rambutan yang berhampiran dengan pokok durian.
“ Di sana ada sebiji, di sana ada 3 biji, di dalam semak itu ada dua biji lagi, “ Saya kan membilang berapa durian yang dapat dipungut pada setiap hari. Kadang kala kami perlu membelek rumput yang panjang untuk mencari durian, ada masanya durian gugur dan masuk ke tempat berlopak. Biasanya setiap hari kami dapat memungut durian sebanyak 30-40 biji. Penuh sebuah kereta tolak . Saya lebih teruja untuk menjualnya. Harganya pada masa itu paling mahal tiga biji sepuluh ringgit. Harga sekarang jika musim kurang buah boleh mencecah tiga puluh ringgit sebiji. Hasil jualan durian ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan kami sekeluarga. Musim durian tidak lama. Waktu paling banyak buah gugur hanya 3-4 minggu sahaja. Tetapi ada orang kampung kami mengatakan musim durian ialah 40 hari sahaja dari buah pertama gugur hingga buah yang terakhir.
Pada masa itu ada beberapa batang pokok durian klon setaraf dengan D24. Isinya kuning dan tebal, rasanya sungguh sedap. Kini pokok –pokok durian itu tidak berbuah lagi. Usianya sudah lebih 50 tahun. Sudah mencapai usia pencen. Sudah bersara wajib. Sekarang ada pokok durian baru yang sudah berbuah. Ada beberapa batang, tetapi isinya tidak dapat menandingi durian klon.
Selepas memungut durian dan mengumpulkan di beranda, kami anak beranak pergi memetik rambutan pula. Ada beberapa dahan yang rendah boleh dicapai dengan tangan. Rambutan spesis anak sekolah dan jarum emas. Rambutan anak sekolah memang terkenal. Biasanya di lembah kelang jenis rambutan ini yang paling banyak terjual. Di tahun 80-an dulu rambutan dijual dengan dikira kuantitinya. Seratus biji rambutan baru berharga RM1. Pada masa itu ada lebih 50 pokok rambutan. Semasa musim rambutan saya sungguh seronok memetik dan mengira buah rambutan. Setiap seratus biji rambutan yang dikira akan ditanda dengan sebiji buah rambutan. Ia dinamakan gundar. Semasa musim banyak buah, peraih akan datang dengan lori kecil dan membeli buah dari penduduk kampung. Biasanya kami dapat memungut hingga 5,000 hingga 10,000 biji rambutan sehari. Pada pertengahan tahun 80-an, sistem timbangan metrik diperkenalkan iaitu kilo menggantikan kati. Sekilo rambutan adalah sekitar 30 biji sahaja. Tetapi penduduk kampong masih selesa menjual rambutan dengan mengira biji.
Bagi saya rambutan yang paling sedap ialah rambutan gula batu. Sayangnya pokok rambutan gula batu berhampiran rumah kami sudah mati. Agaknya rambutan jenis ini sudah pupus di Terengganu. Rasanya rambutan gula batu sesuai dengan namanya, memang manis macam gula dan lekang. Warna kulitnya kuning tetapi tidak sekuning rambutan gading. Rambutan yang tidak dipandang orang pula ialah rambutan rakyat. Isinya tidak lekang dan masam. Ianya Cuma digemari oleh wanita hamil. Rambutan Perak juga tidak digemari, walaupun lekang dan besar dan tebal isinya tetapi rasanya agak tawar.
Selepas makan rambutan, kami beralih pula ke pokok manggis. Ada beberapa batang pokok manggis di kawasan rumah. Pokok yang paling besar terletak betul-betul ditepi rumah. Daunnya rendang, usianya sudah lebih 50 tahun tetapi masih berbuah tetapi tidak selebat dua puluh tahun lalu. Semasa kecil saya sering memanjat poko manggis ini. Sekarang agak sukar memanjatnya kerana banyak dahan yang patah dan juga usia saya sendiri yang telah meningkat. Dah tua rupanya diri ini.
Cara terbaik memetik manggis adalah dengan memanjat. Jika dijolok dan jatuh ia akan pecah atau isinya menjadi keras. Satu cara lagi ialah dengan menjolok dan menadah kain dibawah supaya tidak jatuh ke tanah. Pada masa saya kecil hanya ada sebatang pokok manggis. Seingat saya manggis jarang dijual. Ia untuk dimakan sendiri dan diberi kepada saudara mara dan jiran-jiran.
Semasa ke kebun yang jauh sedikit dari rumah, saya terserempak dengan seorang jiran. Beliau dikenali oleh orang kampong dengan nama Mak Long. Suaminya Pak Long. Mak Long bukanlah saudara saya tetapi jiran sekampung. Umur Mak Long dan Pak Long sudah lanjut, saya rasa sudah lebih 80 tahun.
“Mie, bila balik?” Tanya Mak Long.
“Baru tiba malam tadi” jawab saya. “Mak Long apa khabar?” Tanya saya pula.
“Mak long sihat, jawab beliau. “ Di rumah ada beberapa biji durian, singgahlah bila nak balik nanti” tabah beliau lagi.
Selepas pulang dari kebun, saya singgah di rumah Mak Long. Beliau memberi beberapa biji durian yang baru gugur. Beliau ada memelihara angsa. Semasa saya kecil, beliau sudah memelihara angsa. Anak-anak saya teruja melihat angsa. Angsa sangat efektif untuk menjaga rumah kerana ia akan mengejar orang yang tidak dikenali. Angsa-angsa Mak Long sudah tua. Hanya tinggal dua ekor sahaja. Ia tidak bertelur lagi.
“Entahlah bila boleh berjumpa lagi, Mak Long dan Pak Long sudah tua. Tidak berapa kuat lagi” ujar Mak Long. Matanya agak sayu.
“InsyaAllah kami akan pulang hari raya nanti. InsyaAllah boleh jumpa lagi”, jawab saya dengan doa supaya Mak Long dan Pak Long dipanjangkan usia.
Pada hari ahad kami pulang ke Kajang. Kami pulang dengan dua guni rambutan anak sekolah, seguni manggis dan juga 60 biji durian. Ianya untuk diagihkan kepada abang, anak saudara, guru, ipar, kawan dan jiran-jiran.
Nostalgia tahun 1980-an saya tinggalkan. Terasa baru semalam saya ianya berlaku. Masa begitu cepat berlalu. Ramai jiran-jiran emak sudah tiada. Kami perlu lebih kerap pulang ke kampung untuk menghabiskan masa berharga bersama beliau. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang sempurna.

Tuesday, July 28, 2009

Tom Tom Bak


Entry khas untuk Atikah dan peminat kucing yang lain. Tom dah sihat. Dia suka makan friskies. Licin bekas makanannya.

Lepas makan kena buat senaman. Kalau tak nanti perut buncit. Tom tengah buat sit up. 8, 8 lagi. Lapan kali sit up cukuplah..

Lepas makan dan senaman, masa untuk berehat. Tidur atas comforter tu. Mata Tom pun dah layu. Tom beradu dulu.

Lepas bangun tidur, kena buat regangan sikit. Buat regangan kaki. Kaki Tom yang sakit sudah sembuh berkat doa kawan-kawan. Tom juga suka buat senaman.

Lepas stretching masa untuk berposing. Ini posing maut untuk cik Atikah dan peminat Tom yang lain. Tom dah sihat. Alhamdulillah.

Monday, July 27, 2009

HP


Sudah hampir tiga minggu blog ini tidak dikemaskini. Sudah hampir tiga minggu juga saya tidak bercakap menggunakan telefon bimbit (HP). Kali terakhir saya mengunakan HP ialah semasa membuat rawatan susulan di KPMC pada 9 Julai. Pada hari itu saya berjumpa doktor pakar tulang seperti temujanji yang telah ditetapkan seminggu sebelumnya.
Pada hari itu saya merasa sudah sihat tetapi agak mengejutkan bila doktor memberi saya cuti seminggu lagi sehingga 16 Julai. Saya mengelamun memikirkan cuti sakit tersebut. Saya rasa sudah cukup sihat untuk bekerja semula. Saya memikirkan mengenai cuti sakit tersebut dan juga cadangan doktor untuk mengorek tulang kaki saya dan menggatikannya dengan simen. Tanpa disedari HP itu tercicir di KPMC. Ianya hanya disedari bila saya pulang ke rumah. Saya bergegas semula ke KPMC , namun HP itu tidak ditemui. Saya cuba membuat panggilan tetapi panggilan terus dialihkan ke pesanan suara . Mungkin kad sim telah dikeluarkan dari HP.
Selang beberapa hari saya menelefon nombor HP saya. Agak memeranjatkan kerana ada orang yang menjawab telefon saya.
“Hello” Saya menyapa.
“hello, siapa ini ? jawab suara di telefon.
“Awak menggunakan telefon saya , kenapa awak guna telefon saya? Saya terus bertanya kepada suara itu. Sesekali keengan suara seperti orang Bangladesh atau Myanmar.
“Saya tidak menggunakan telefon awak, saya guna telefon sya sendiri, saya Cuma menggunakan kad sim awak” terang suara itu dengan lembut.
“Mana Awak ambil telefon saya” saya bertanya tanpa mengetahui di mana orang itu berada.
“Saya tidak curi, saya jumpa dekat bawah” jawab suara itu lagi.
“Bawah mana? Saya cuba mendapat kepastian.
“bawah dekat lantai”
“Awak jumpa dekat KPMC kah? Saya terus bertanya
“Saya jumpa dekat pintu masuk Plaza Metro Kajang “ suara itu member jawapan.
Saya hilang HP di KPMC tapi dia jumpa kad sim saya di PMK yang jaraknya hampir 1KM.
“Siapa nama awak ? Say terus bertanya
“Tony” jawab beliau. Sekarang suaranya seperti orang cina.
“Awak tinggal di mana?” Tanya saya lagi.
“Semenyih” jawab Tony.
Saya meminta Tony supaya tidak lagi menggunakan sim kad saya. Saya minta beliau musnahkan kad itu. Beliau menyatakan akan berbuat demikian. Saya juga telah menelefon Celcom untuk menyekat nombor tersebut.
Sekarang sudah hampir tiga minggu saya tiada HP. Saya sengaja membuat eksperimen ini k eatas diri saya sendiri. Saya mahu tengok berapa lama saya boleh bertahan tanpa menggunakan HP. Saudara mara dan kawan-kawan masih dapat menghubungi saya melalui telefon pejabat, telefon rumah, HP isteri saya, emel, facebook dan juga blog ini. Saya cuba menahan diri dari menggunakan HP seperti lebih 10 tahun lepas. Tidak pasti berapa lama saya boleh bertahan. Saya harap saya boleh bertahan dari menggunakan HP lebih lama lagi.
Saya ada juga membuat kajian pasaran mengenai HP. HP Nokia yang asas berharga RM99 sudah memadai jika saya ingin membeli HP baru. Itu jika saya anggap HP sebagai keperluan. Namun Nokia E71 yang disertai dengan GPS berharga sekitar RM1,500 sering juga mengamit perhatian saya. Itu lebih kepada kehendak semata-mata. Mungkin juga lebih baik tidak mempunyai HP buat sementara waktu ini.

Wednesday, July 8, 2009

Tom

Tom adalah nama seekor kucing. Sempena nama rancangan kanak-kanak, Tom Tom Bak. Tom adalah kucing yang ditinggalkan oleh jirah yang berpindah. Setelah ditinggalkan, kucing ini mencari makan di rumah jiran-jiran lain. Ia juga tinggal di sebuah rumah selang 5-6 rumah dari rumah kami. Ia baru melahirkan anak kira-kira dua bulan lepas.

Setiap hari Tom akan ke rumah kami. Pagi , petang dan malam. Setiap pagi bila pintu rumah dibuka ia akan berlari-lari ke rumah kami. Mengiau meminta makanan. Kami membeli makanan kucing di pasaraya sebagai makanan Tom dan kucing lain yang meminta makanan. Setiap kali kami pulang ke rumah , kucing ini seolah-olah kenal kereta kami dan akan meluru berlari sama ada untuk meminta makanan atau sekadar bermain-main.


Tom berposing semasa sihat.

Kini kami tidak dapat melihat Tom berlari lagi. Tom Kemalangan. Saya terlanggarnya dengan kereta pagi semalam. Terasa ralat, sedih dan sungguh kesal kerana terlanggar Tom. Tom suka duduk di rumah kami. Biasanya dia akan lari jika ada kereta yang datang. Tapi semalam dia tidak bergerak. Tayar kereta terlanggar Tom. Peha kanannya patah.

Kami membawa Tom ke Mesra Pet Shop di Saujana Impian untuk dapatkan rawatan. Petugas di kedai itu berkata " Doktor hanya datang pada pukul 1 tengah hari, sila tinggalkan kucing ini dan datang kemudian". Kami akur, kami tinggalkan Tom di kedai tersebut.

Pukul 1:30 kami ke sana lagi. Doktor sampai sejurus kami masuk ke kedai tersebut. Dua orang doktor membuat pemeriksaan dan merawat Tom. Mereka mengesahkan kaki Tom patah dan mengesyaki mungkin tulang pinggulnya turut patah. Mereka tidak boleh membuat rawatan kerana tiada mesin x-ray dan tiada peralatan bedah. Doktor hanya memberi suntikan penahan sakit. Mereka menulis surat dan rujuk kes ini ke Klinik Veterinar, UPM. Menurut mereka doktor pakar berada di sana.


Tom sedang dirawat di Mesra Pet Shop oleh dua orang doktor veterinar.

Jam 2.40 petang kami ke UPM. Tidak biasa dengan UPM, kami tersesat di dalam kampus. Kami hanya tiba jam 3.40 petang. Klinik ini dibuka dari pukul 8 pagi hinggan 4 petang dan ditutup pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang. Semasa membuat pendaftaran kami tengok ada beberapa ekor pesakit dan beberapa orang tuan pesakit sedang menunggu. Ada juga seorang artis. Kalau tak salah kami ahli kumpulan Lefthanded. Tempat menunggu dipisahkan kepada dua iaitu satu untuk anjing dan satu lagi untuk kucing dan lain-lain haiwan kesayangan. Ini kali pertama kami ke sini dan juga mana-mana klinik haiwan. Kami tidak pernah memiliki kucing.


Pandangan hadapan klinik.


Pintu masuk.

Setelah lebih kurang setengah jam menunggu, kami dipanggil untuk berjumpa doktor. Doktor membuat pemeriksaan awal dan membuat x-ray.


Tom dibawa untuk x-ray.


Tom disuntik antibiotik dan ubat tahan sakit.


Berdebar-debar menanti keputusan x-ray Tom.


Doktor mengesahkan tulang peha Tom patah. Tiada tulang lain yang patah.

Namun agak mengecewakan doktor seperti tidak mahu membuat rawatan lanjut kepada Tom. "Kami tidak boleh buat pembedahan, kami kena refer out..err appointment minggu ini sudah penuh" Doktor yang bertugas memberi alasan.

"Kami boleh tunggu untuk appointment" saya memberi cadangan.

"Tak boleh nanti tulangnya akan tumbuh dan pembedahan agak sukar" jawab doktor tersebut. Kami akur.

Semasa pulang kami singgah di klinik haiwan ini.



Mereka terkejut kerana UPM tidak mahu membuat rawatan. Semua doktor pakar haiwan dan kelengkapan canggih ada di sana. Setelah menilai x-ray, empat orang doktor yang juga pemilik klinik itu berbincang dan menyatakan ada beberapa pilihan yang boleh dibuat.
1. Membuat pembedahan dan memasukkan wayar dan clip di tempat patah tetapi kemungkinan besar akan berlaku komplikasi yang teruk. Akan ada risiko jangkitan yang tinggi dan kucing boleh mati kerana itu.
2. Potong kaki. Kata mereka kucing boleh hidup berkaki tiga. Sila rujuk internet kata mereka lagi.

Kami tidak sanggup membuat pembedahan yang berisiko tinggi yang akhirnya lebih membawa mudarat kepada Tom. Kami juga tidak sanggup memotong kaki Tom.

Kami akan selalu bacakan doa Patah Tulang dari Darul Syifa. Semoga Tom cepat sembuh dan boleh berlari kembali. Teringin juga membawa Tom ke bomoh patah tapi mereka kata tak pernah ada orang bawa kucing. Teringin juga kami bawa Tom ke Darul Syifa tapi setahu kami tiada haiwan dirawat di sana.

Kami bercadang untuk memelihara Tom ke akhir hayatnya atau ke akhir hayat kami jika kami pergi dahulu. Doakan Tom cepat sembuh..

Tuesday, July 7, 2009

Bulan



"Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya". - Surah An - Nahl (Lebah), ayat 12.

Friday, July 3, 2009

Tulang



Inilah koleksi gambar terbaru saya. Gambar x ray tulang dalam berbagai pose dan shot. Ada pandangan sisi dan juga atas. Teknologi x ray dan lebih canggih CT Scan membantu para doktor menilai tahap kecederaan atau penyakit seseorang pesakit. Berdasarkan gambar x ray ini doktor pakar tulang, Dr. Liew Nyok San telah memberi saya cuti sakit sehingga 9 Julai 2009.

Mari kita tengok di dalam Al-Quran apa yang diceritakan mengenai tulang.

"Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?" (Yaasin : 78)

"Katakanlah : "Tulang-tulang Yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan ia Maha mengetahui akan Segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); (Yassin :79).

"Dan lihatlah kepada tulang-tulang itu, Bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya Dengan daging. Maka apabila telah jelas kepadaNya (Apa yang berlaku itu), berkatalah dia: sekarang Aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Al-Baqarah : 259).

"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai Bahawa Sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda Yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda Yang hidup, maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Al-Anbiya' : 30)

Gabungan ayat 78 & 79, Surah Yaasin, Ayat 259, Surah Al-Baqarah dan ayat 30 Surah Al-Anbiya' sebelumnya dibaca Al-Fatihah dan Selawat Syifa digunakan bagi merawat tulang patah. Doa ini dipetik dari buku Ikhtiar Penyembuhan Penyakit, dengan ayat-ayat dan doa-doa mustajab oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din, pengasas dan penasihat Darussyifa'.

Al-Quran adalah salah satu mukjizat Nabi Muhammad S.A.W dan ia adalah mukjizat sepanjang zaman dan boleh digunakan oleh seluruh umat Islam. Di dalamnya terkandung panduan hidup muslim. Sesiapa yang di dalam hidupnya berpandukan Al-Quran dan Al-Hadis tidak akan sesat selama-lamanya.
Related Posts with Thumbnails