Sunday, August 31, 2008

Salam Kemerdekaan, Salam Ramadhan

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hari ini kita menyambut kemerdekaan negara yang ke 51. Kita amat berterima kasih kepada pejuang-pejuang bangsa yang terdahulu yang berkorban untuk memerdekakan Tanah Melayu. Al fatihah kita hadiahkan kepada pejuang kemerdekaan yang muslim. Semoga kita dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya.

InsyaAllah esok kita akan menyambut bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan Syaitan akan dibelenggu. Gunakan bulan ini untuk berjuang melawan hawa nafsu. Gunakan bulan ini untuk membina kekuatan dalaman muslim yang sebenarnya. Gunakan bulan ini untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Gunakan kesempatan di bulan ini dengan sebaik mungkin.

Merdeka! Bebaskan kita dari bisikan dan godaan Syaitan.
Merdeka! Bebaskan diri kita dari sifat malas dan keji.
Merdeka! Bebaskan diri kita kejahilan.

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna. Semoga kita mendapat pengampunan dan rahmat dari Nya. Semoga kita bertemu Lailatul Qadar. Amin.

Selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah yang lain di bulan yang mulia ini.

Tuesday, August 26, 2008

DUIT

Biasanya kita akan berdoa kepada Allah bila tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat jika berlaku sesuatu masalah. Doa bagaikan usaha terakhir kita.

Sepatutnya doa adalah usaha yang pertama dalam melakukan sesuatu perkara.

Konsep DUIT. satu konsep yang bukannya dicipta oleh saya tetapi saya dapat dari orang lain.

Doa
Usaha
Istiqamah
Tawakkal

Konsep DUIT seboleh mungkin saya amalkan dalam setiap tindakan. InsyaAllah untuk mendapat keredhaanNya.

Monday, August 25, 2008

Rindu

Sesekali datang perasaan rindu.

Malam semalam ia datang lagi semasa menonton rancangan Jemputan Umrah di Astro Oasis saluran 106.

Ku merindui Madinah, Ku merindui Mekah. Aku ingin kembali ke sana sebagai tetamu Allah. Ya Allah jemputlah aku lagi ke sana sebagai tetamu Mu.

Baru kini kutahu rasa rindu ini. Bagaikan merindu seorang kekasih yang sudah lama tak ditemui. Bahkan lebih lagi.....

Sunday, August 24, 2008

Iktibar dari Tanah Suci - Keberkatan

Assalamualaikum

Ya Allah rahmatilah pembaca-pembaca blogku yang beragama Islam ini dan seluruh ahli keluarganya. Semoga mereka didatangi dengan kesenangan dan nikmat yang mendadak dari Allah.

Sekadar berkongsi pengalaman yang tidak seberapa.

Dalam penerbangan ke Madinah untuk mengerjakan Umrah saya telah berbincang dengan kawan lama saya (satu sekolah) mengenai duit. Beliau bertugas di bahagian kad kredit di sebuah bank. Beliau menceritakan ada seorang lelaki yang mendapat gaji RM20,000.00 (Wow! besarnya gaji) memohon kad kredit Platinum dari Bank tempat beliau bekerja. Lalu beliau menyemak latar belakang kewangan lelaki tersebut.

Alangkah terkejutnya beliau kerana mendapati lelaki ini mempunyai hutang kredit kad yang banyak. Lelaki itu terpaksa membayar caj minimum (5% daripada jumlah hutang)lebih dari RM20,000.00 sebulan. Atau dengan kata lain jumlah hutang kad kredit yang terkumpul ialah sebanyak RM400,000.00. Ini bermakna jika lelaki ini membayar hutang minimum kad kreditnya, beliau tidak mampu untuk makan dan minum apatah lagi menyara keluarganya. Jika beliau gagal membayarnya pula beliau bakal berdepan pelbagai masalah seperti disaman oleh bank-bank.

Kemudian pada hari kedua di Madinah saya tanpa sengaja telah menemubual seorang tukang sapu yang berasal Bangladesh. Atau di Malaysia dikenali dengan panggilan Mat Bangla.

Ketika itu saya menolong seorang kakak dan makcik yang sesat jalan. Saya disapa oleh oleh tukang sapu Bangla ini dalam bahasa melayu. Setelah kakak dn makcik tadi menemui jalan pulang. Saya menemubual pemuda tersebut.

Beliau menyatakan yang beliau pernah bekerja selama 5 tahun di Malaysia sebab itu beliau boleh berbahasa melayu. Katanya gaji di Malaysia tinggi iaitu RM700.00 sebulan. Gaji di Madinah murah sahaja cuma 250 Riyal sebulan(matawang Arab Saudi :Kadar tukaran pada masa itu = RM220). Beliau baru bekerja selama 18 bulan di Madinah.

"Pernah hantar duit ke kampung?" tanya saya.

"Baru sekali, itupun cuma 10,000.00 Riyal. (ataupun 1.8 juta Taka : matawang Bangladesh.)

Gaji beliau cuma 250 Riyal x 18 bulan bekerja di Madinah= 4,500 Riyal. Bagaimana beliau dapat hantar duit kepada ibunya di kampung melebihi dari pendapatannya?

Saya berfikir kenapa saya mendapat pengalaman ini. Saya bersyukur mendapat pengajaran ini dari Allah. Saya bertambah yakin yang rezeki itu datang dari Allah kepada hambanya. Gaji yang besar tidak semestinya akan kaya. Tidak semestinya gaji kecil itu rezekinya sedikit. Yang penting adalah keberkatan atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Pengalaman ini membuktikan kepada saya yang gaji sebanyak 250 Riyal itu adalah lebih besar dari gaji sebanyak RM20,000.00.
Dalam Islam 1+1 tidak semestinya 2. Mungkin 3, mungkin 5, mungkin 10, mungkin 100 bergantung kepada keberkatan. Mungkin juga 0 atau -10 bergantung ianya berkat atau tidak.

SOLAT : Satu Anugerah

Assalamualaikum

Semoga pembaca blog ini sekeluarga sentiasa dirahmati Allah.

Sekadar ingin berkongsi sedikit pengalaman yang tak seberapa.

Saya terbaca suatu buku bertajuk Membongkar Fakta-fakta Saintifik di sebalik SOLAT - Kebaikan Dari Perspektif Sains karya Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok terbitan Universiti Malaya.

Dalam buku turut menyatakan kebaikan solat ke atas otak.

Dinyatakan gelombang otak itu ada 5 :
1.Gamma - tahap memproses aktiviti
2. Beta - tahap sedar
3. Alpha - tahap rehat
4. Theta - tahap mengantuk, separa sedar
5. Delta - tidur nyenyak

Gelombang otak ini diukur menggunakan alat yang dipanggil EEG - Elektroensefalogram.

Buku ini menyatakan alat EEG dipasang kepada seorang sukarelawan yang sedang solat - didapati bacaan EEG semasa rukuk ialah pada tahap alpha yang kurang jelas dan semasa rukuk gelombang alpha yang jelas muncul.

Saya juga teringat yang seorang ustaz dalam satu ceramah agama yang saya hadiri memberitahu yang solat berjemaah itu akan menyatukan umat Islam. Baru sekarang saya tahu bagaimana. Pada masa solat jemaah, gelombang otak para jemaah adalah pada frekuensi yang sama. Ini membolehkan para jemaah lebih "attach" dan mempunyai "sense of belonging" antara sesama jemaah kerana otak mereka di tahap frekuensi yang sama. Lebih lama sesuatu jemaah itu solat bersama maka lebih lagi "attachment"nya. Hasilnya silaturrahim dan ukhwah sesama jemaah semakin kukuh.


Dalam buku ini juga kajian dibuat ke atas sekumpulan sukarelawan, hasilnya :

-didapati orang yang solat lima waktu lebih sihat daripada orang yang solat tidak cukup 5 waktu.

-orang yang solat dan memahami maksud bacaannya adalah lebih sihat berbanding yang tidak memahaminya.

-orang yang solat berjemaah lebih sihat daripada solat bersendirian

SOLAT juga memberi kebaikan dari segi komposisi badan, denyutan jantung, sakit pinggang, otot, dan otak spt di atas dan lebih memeranjatkan saya ialah SOLAT berupaya mencegah disfungsi ereksi lelaki. SubhanAllah!

Kesimpulannya SOLAT adalah anugerah ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhamad S.A.W yang terlalu tinggi nilainya. Ia memberi kebaikan yang amat banyak kepada kita.

Saturday, August 23, 2008

Bagaimana Akhirnya Saya Berjanggut?

"Mi, kau nampak lainlah.." ujar kawan saya..
"lain sikit saja" balas saya

"Wah, janggut makin panjanglah.." usik kawan yang lain
"Ada kelebihannya" jawab saya dengan ringkas

"Adik aku ni dah jadi macam orang dakwahlah" ucap kakak saya ketika bertemu di Kajang tempoh hari.
Saya cuma tersenyum.

Semua perbualan di atas adalah kerana saya baru berjanggut. Baru menyimpan janggut. Kurang lebih 3 bulan.

Bagaimana akhirnya saya berjanggut? Simpan janggut - satu Sunnah.

Pulang dari tanah suci Jun lepas, saya terlintas untuk mencukur misai yang agak tebal (lebih belasan tahun disimpan dan ditrim) dan menyimpan janggut. Lalu saya berbuat demikian.

Alhamdulillah, Allah telah temukan saya satu kelebihan menyimpan janggut. Saya mengidap "mild sinusitis" - belum resdung lagi. Setiap pagi biasanya terbersin beberapa kali dan hidung selalu tersumbat. Dan disebelah malam hidung merasa sesak, tersumbat dan lebih-lebih lagi ketika cuaca sejuk terasa agak sukar untuk bernafas dengan nyaman.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Setelah menyimpan janggut dan mencukur misai, masalah "sinusitis" saya telah hilang sama sekali. Kini tiada lagi bersin di sebelah pagi dan hidung tersumbat. Boleh bernafas dengan nyaman.

Mungkin itu salah satu dari banyak kebaikan berjanggut atau melakukan perkara sunat yang lain. Selain mendapat pahala ia juga satu rahmat kepada umat Islam.

Saya terbaca sepotong hadis yang disebutkan oleh Ibnu Umar R.A., Rasulullah S.A.W bersabda,
"Janganlah kalian menyamai orang-orang musyrik. Panjangkan janggut dan cukurlah misai." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya yakin setiap apa yang diwajibkan, disunatkan, diharuskan mahupun diharamkan dalam Islam itu ada kelebihannya untuk umat Islam.

Sama-samalah kita mencari...  mencari keredhaanNya.

Kota Mekah Di Masa Akan Datang



Inilah wajah Kota Mekah pada masa akan datang.

Pembinaan sedang giat dijalankan.

Harga Minyak Turun

Pertama kali dalam sejarah Malaysia harga Petrol turun.
Turun 15 sen mulai hari ini.

Apa kesannya nanti - turun ke harga barang lain? kemungkinan besar tidak.

Friday, August 15, 2008

Hari Pertama

Assalamualaikum

Hari ini aku menjadi blogger.

15 Ogos 2008 , Jumaat.
Related Posts with Thumbnails