Thursday, April 30, 2009

Part Time Job


Sebentar tadi saya singgah di stesen servis Petronas, Saujana Impian. Saya masuk ke dalam Kedai Mesra dan tercari-cari kaunter isian semula Touch N Go.
"Selamat datang Encik" kedengaran suara lunak seorang gadis juruwang menyapa dengan mesra sambil tersenyum manis.
"Ada reload Touch N Go" tanya saya.
"Ada, berapa encik nak reload" tanya gadis juruwang itu.
Saya memesan RM100.00 reload dan petrol sebanyak RM80.00. Setelah mengisi minyak, saya dapati tangki minyak sudah penuh ketika meter menunjukkan RM74.30. Saya berjalan ke kaunter dan gadis tadi terus menghulurkan resit bersama wang tunai RM5.70 tanpa perlu saya meminta.

Berbeza sungguh layanan kedai Mesra Petronas kali ini. Layanan boleh dikatakan kelas pertama. Pada telahan saya gadis ini mungkin berpendidikan tinggi dan cuma bekerja sementara di sini. Mungkin sedang becuti dari IPT atau sedang menunggu untuk melanjutkan pelajaran.

Teringat kisah saya semasa masih menuntut di UiTM Shah Alam. Saya pernah bekerja lebih kurang tiga minggu sebagai juruwang di kedai serbaneka 7-11, seksyen 2 , Shah Alam. Waktu itu usia saya sekitar 22 tahun. Tujuan saya bekerja adalah untuk mencari pengalaman. Gajinya tidak seberapa, cuma RM3 satu jam.

Di 7-11 ada tiga syif iaitu shif pagi - 7 pagi hingga 3 petang. Syif petang - 3 petang hingga 11 malam. Saya ditugaskan untuk bekerja pada syif malam iaitu bermula jam 11 malam hingga 7 pagi. Pagi hari-hari pertama bertugas saya merasa pelik, kerana perlu tidur pada pagi hari selepas pulang kerja. Terasa agak susah untuk menyesuaikan diri atau acclimatise dengan keadaan ini. Saya terfikir, bagaimana agaknya para pekerja kilang yang bertugas syif malam menyesuaikan diri.

Antara kenangan yang masih saya ingat ketika bertugas ialah beberapa kali bertemu Allahyarham bekas Mufti Selangor iaitu Dato' Haji Ishak Baharom. Sedekahkan Alfatihah kepada beliau. [Nota - buku terakhir beliau yang terbit selepas beliau meninggal dunia berjudul Solat dan Keajaibannya terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd sesuai dibaca oleh orang yang ingin mendalami ilmu solat]. Selepas solat subuh di Masjid Negeri beliau akan singgah di 7-11 untuk membeli roti Gardenia dan akhbar harian. Beliau memandu Mercedes Benz berwarna biru muda. Wajahnya bersih dan tenang. Tidak banyak bercakap.

Saya juga teringat sepasang suami isteri mat saleh yang menunggang motorsikal BMW akan singgah di tempat saya bekerja setiap malam minggu untuk membeli rokok dan air mineral. Dan yang paling tidak lupa ialah setiap malam, beberapa remaja melayu datang membeli arak yang dijual di situ. Remaja melayu Shah Alam ini tidak segan silu membeli dan meminum arak secara terang-terangan di luar kedai. Biasanya mereka akan datang sekitar jam 2-3 pagi. Mereka datang bermotorsikal dan ada juga yang berjalan kaki. Menurut rakan sekerja saya, rumah mereka berdekatan. Wajah mereka nampak kusam dan hambar. Mereka banyak bercakap yang bukan-bukan. Mungkin sudah mabuk.

Setelah bekerja hampir tiga minggu. Pada satu malam seorang lelaki berumur sekitar 30-an menyapa saya ketika beliau ingin membuat bayaran.
Kata beliau " adik ni masih belajar? Saya mengiakannya.
"Kenapa kerja di sini? tanya beliau.
Belum sempat saya menjawab, beliau menambah " Dekat sini ada jual arak. Sesiapa yang minum arak, menjual, membeli, menyimpan, memeram anggur untuk dibuat arak dapat dosa sama macam orang minum arak. Lebih kurang begitulah kata-kata beliau.

Kata-kata beliau membuatkan saya teringat balik mengenai hadis tentang dosa arak ini. Seketika itu saya lalai. Terima kasih kerana mengingatkan saya. Dua hari kemudian saya berhenti kerja. Saya tidak sanggup menanggung dosa-dosa mereka. Saya memohon keampunan dari Nya.

Wednesday, April 29, 2009

Nasi Lemak Bonda



Novel di atas dijadikan silibus untuk bengkel menulis novel awal remaja : siri usahawan cilik. Pra syarat untuk menghadiri bengkel ini ialah membeli novel dan membacanya. Saya tidak membeli tapi dapat percuma dari MBA. Untung jadi adik penulis ni. Saya sudah khatam membacanya. Hanya ambil masa kurang lebih 2 jam untuk khatam novel setebal 203 muka suart ini kerana ia disasarkan untuk umur 9 - 15 tahun. Bahasa dan jalan ceritanya mudah.

Saya telah mendaftarkan diri untuk bengkel tersebut tetapi tidak dapat hadir kerana akan pulang ke Terengganu bagi meraikan majlis perkahwinan anak saudara yang ke-3. Keluarga lebih diutamakan. Mungkin tiada rezeki kali ini.

Teringat semasa bengkel penulisan yang saya hadiri Januari lalu.
"Saudara ini sudah banyak hadir bengkel, tapi bukunya mana? soal penceramah yang juga merangkap penulis terkenal dan pengerusi syarikat tersebut.
"Mana ada banyak kali datang puan, baru kali ke-3 sahaja" jawab saya dalam hati.
Kemudian beliau datang lagi " baguslah, akauntan nak jadi penulis.." lalu beliau memberitahu beberapa nama akauntan yang menulis. Ternyata beliau mengingati profil saya walaupun berjumpa hanya beberapa kali sahaja.Rasa segan juga bila bertemu beliau dan buku masih belum siap. Rasa segan ini dikongsi oleh beberapa rakan yang saya kenali di bengkel penulisan tersebut.

Walaupun tidak dapat hadir bengkel terbaru ini, saya serba sedikit sudah dapat mengagak kandungan bengkel tersebut. Plot novel bagaimana yang dimahukan dan jalan ceritanya. Wataknya juga.

Mungkin kawan-kawan yang dapat hadir ke sana 2 Mei nanti dapat berkongsi dengan saya. Terima kasih.

Tuesday, April 28, 2009

Selsema Babi

Sekarang ini heboh tentang selsema babi. Punca merebak penyakit ini ialah kerana orang bukan Islam memakan babi yang telah diharamkan. Saya paparkan di sini emel berkenaan kenapa babi diharam yang saya dapat dari emel seorang rakan.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."

Hal ini penting untuk diketahui, terutama oleh pemuda-pemuda kita yang sering pergi ke negara-negara Eropah dan Amerika di mana daging babi adalah makanan asas dalam hidangan mereka. Dalam kesempatan ini, saya fikir kembali kejadian yang berlangsung ketika Imam Muhammad Abduh mengunjungi Perancis.

Mereka bertanya kepadanya mengenai rahsia diharamkannya babi dalam Islam. Mereka bertanya kepada Imam, "Kalian (umat Islam) mengatakan bahwa babi haram,kerana ia memakan sampah yang mengandung cacing pita, mikroba-mikroba dan bakteria-bakteria lainnya. Hal itu sekarang ini sudah tidak ada.Kerana babi diternak dalam peternakan modern, dengan kebersihan terjamin, dan proses sterilisasi yang mencukupi.

Bagaimana mungkin babi-babi itu terjangkit cacing pita atau bakteria dan mikroba lainnya.? "Imam Muhammad Abduh tidak langsung menjawab pertanyaan itu, dan dengan kecerdikannya beliau meminta mereka untuk menghadirkan dua ekor ayam jantan beserta satu ayam betina, dan dua ekor babi jantan beserta satu babi betina mengetahui hal itu, mereka bertanya, " Untuk apa semua ini?" Beliau menjawab, " Penuhi apa yang saya pinta, maka akan saya perlihatkan suatu rahsia.

" Mereka memenuhi apa yang beliau pinta. Kemudian beliau memerintahkan agar melepas dua ekor ayam jantan bersama satu ekor ayam betina dalam satu kandang. Kedua ayam jantan itu berkelahi dan saling membunuh, untuk mendapatkan ayam betina bagi dirinya sendiri, hingga salah satu dari keduanya hampir tewas. Beliau lalu memerintahkan agar mengurung kedua ayam tersebut.

Kemudian beliau memerintahkan mereka untuk melepas dua ekor babi jantan bersama dengan satu babi betina. Kali ini mereka menyaksikan keanehan. Babi jantan yang satu membantu temannya sesama jantan untuk melaksanakan hajat seksualnnya, tanpa rasa cemburu, tanpa harga diri atau keinginan untuk menjaga babi betina dari temannya.

Selanjutnya beliau berkata, "Saudara-saudara, daging babi membunuh ghirah' orang yang memakannya. Itulah yang terjadi pada kalian. Seorang lelaki dari kalian melihat isterinya bersama lelaki lain, dan membiarkannya tanpa rasa cemburu, dan seorang bapak di antara kalian melihat anak perempuannya bersama lelaki asing, dan kalian membiarkannya tanpa rasa cemburu, dan was-was, kerana daging babi itu menularkan sifat-sifatnya pada orang yang memakannya

Sunday, April 26, 2009

Panggilan Haji


"Panggilan Haji, telah tiba lagi.."
"Menunaikan Ibadah di Tanah Suci Mekah"
"Ya Mekah Mukarramah.."

Girangnya hati apabila menerima surat daripada tabung haji. Surat panggilan haji.
Surat itu dibelek-belek.. Surat panggilan haji ditujukan kepada Ibu Mertuaku. Wah! beliau terpilih untuk menunaikan haji tahun ini. Alhamdulillah! syukur beliau menjadi tetamu Allah. Beliau sudah berumur hampir 70 tahun. Beliau dapat panggilan tanpa ditemani mahram.

Kriteria yang diutamakan untuk membuat rayuan haji ialah :
1. Warga emas iaitu jemaah yang berumur lebih 70 tahun.
2. Menemani mahram - Contohnya isteri dapat panggilan haji tetapi suami tidak. Jadi suami boleh memohon untuk menemani isterinya.

Wah! bolehlah kami buat rayuan untuk menemani ibu mertua pergi haji.

"Abang ni kuat berangan betullah.." sergah isteri saya.
"Ya lah..berangan.." jawab saya.

Ibu mertuaku sudah lama sakit. Kena serangan stroke kali pertama 7 tahun dulu. Lumpuh sebelah badan. Sebelah kiri. Tiga tahun kemudian beliau sekali lagi di serang stroke. Akibatnya beliau lumpuh seluruh badan. Tidak berupaya untuk bergerak. Tidak boleh bercakap. Tidak boleh makan. Tidak boleh berkomunikasi. Sudah lebih empat tahun beliau berkeadaan begitu.

Beliau dapat panggilan haji tahun ini. Hampir mustahil beliau boleh ke tanah suci. Namun Allah Maha Berkuasa. Allah jua yang mampu mendatangkan keajaiban. Semoga Allah memberi kesihatan yang sempurna kepada ibu mertuaku agar beliau mampu menunaikan haji tahun ini. Amin.

Thursday, April 23, 2009

Pesta Buku 2009




Pesta Buku 2009 tinggal beberapa hari lagi. Akan tamat Ahad ini 26 April 2009. Saya dah kesa na tiga kali. Selasa, Rabu dan Khamis. Baru sempat beli lebih kurang 12 buku dan 5 majalah. Antara buku yang dibeli ialah biografi Imam Syafii, Biografi Hassan Al Banna, 3T, Yakjuj-Makjuj, Siri Cepat Baca, Majalah Solusi, panduan didik anak solat, Tafsir Surah Ar-Rahman dan banyak lagi. Semua pembelian dapat diskaun antara 10% - 40%. Beli buku dan majalah dapat pelepasan cukai sehingga RM1,000.00 setahun. Jadilah gunakan kesempatan sebaiknya di Pesta Buku 2009 ini untuk membeli buku dengan harga diskaun, dapat pelepasan cukai dan juga menambah ilmu.

Di sana jumpa ramai penulis terkenal seperti Ain Maisarah. Beliau tersenyum manis ketika saya menoleh ke arah beliau. Benarlah kata Sifu PTS beliau memang pandai berkawan. Senyumannya lain dari penulis lain. Terserempak juga dengan Faisal Tehrani dengan serban biru gelap di bahunya. Trademark tersendiri. Pada hari pertama nampak Puan Ainon dan Zamri Mohamad. Sempat juga menegur mereka sebentar. Nampak juga Imuda dan Dato' Husam Musa.

Petang tadi nampak terserempak kawan baik yang juga saudagar kambing yang bakal terkenal iaitu Megat Mahadir. Beliau akan menjadi saudagar sepenuh masa tidak lama lagi. Syabas!

Esok jika ada masa mungkin sempat pergi sekali lagi.

Sunday, April 19, 2009

Nilai Sebiji Telur

Sepasang suami isteri sedang membeli belah bersama seorang anak mereka. Mereka membeli satu tray telur. Si suami mengambil telur dan meletakkan ke dalam troli. Anak mereka yang baru berumur 2 tahun telah memecahkan sebiji telur ayam tanpa sengaja.

" Yang, letak balik lah tray telur ini, ambil yang lain. Yang tak pecah. Kalau ambil yang ini, rugilah. Lagipun bukannya orang nampak. " Beritahu si suami kepada isterinya.

" Harga satu tray telur ni RM9.00. Ada 30 biji. Maknanya satu biji harganya RM0.30. Kalau sebiji pecah maka cuma rugi RM0.30 je." Si isteri menjawab.

"RM0.30 pun duit juga yang" si suami pantas menjawab.

Si isteri kemudian bercerita kepada suaminya. Saya pernah dengar ustaz ada cerita mengenai hisab. Kesalahan paling kecil akan di adili selama 40 tahun. Itu 40 tahun akhirat. Satu hari di akhirat bersamaan 1,000 tahun di dunia. Bayangkan berapa lamanya hisab jika kesalahan lebih besar.

Teringat juga kisah seorang alim. Pada suatu hari ada seorang tua yang memikul seikat kayu api. Orang tua ini menyerahkan kayu apinya kepada si alim untuk di jaga sekejap kerana beliau ada hal lain. Orang alim itu menjaga kayu api tersebut. Kemudian beliau merasa ada sisa makanan melekat di giginya. Orang alim itu mengambil serpihan kayu api yang dijaganya untuk mencungkil giginya.

Setelah orang alim ini mati. Kawan beliau bermimpi yang beliau diseksa di alam barzakh. Kawannya bermimpi mengenai perkara tersebut beberapa hari. Kawannya bertanya " kenapa kau di seksa, sedangkan kau seorang yang alim ". Orang alim itu menjawab "aku telah mengambil serpihan kayu api dari seorang tua, tetapi aku terlupa untuk minta halal. Kau tolong jumpa orang tua ini dan minta halal kayu apinya bagi pihak aku".

Kawan orang alim ini berjumpa orang tua yang dimaksudkan dan meminta halal bagi pihak si alim. Sejak hari itu beliau tidak lagi bermimpi yang si alim ini diseksa.

"Jika kita meletakkan telur yang pecah ini dan ambil yang baru, sedangkan anak kita yang memecahkannya berapa pula nilai yang kita perlu bayar di akhirat kelak. Sedangkan harganya di dunia cuma tiga puluh sen." si isteri menasihati suaminya.

"Betul kata awak tu, apa sangatlah RM0.30 di dunia ini. Kalau kita tukar telur lain, tak pasal-pasal kena seksa di akhirat."

Pasangan suami-isteri itu pulang ke rumah dengan membeli satu tray telur. Sebiji telur dari tray itu sudah pecah. Mereka akur dengan nilai sebiji telur.

Saturday, April 18, 2009

Ilmu atau Harta

Hadis : Daripada Abu Darda’ r.a. Nabi S.A.W. besabda, “ Sesungguhnya para ulama adalah pewaris nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak dan berguna

Hadis riwayat : Abu Daud, Al-Timizi, Ibnu Majah dan Ibn Hibban.

Nabi Sulaiman A.A. adalah nabi yang paling kaya antara semua nabi. Beliau mempunyai kerajaan yang paling besar. Semua jin dan binatang tunduk kepadanya. Beliau mempunyai istana yang amat besar. Arkitek dan pembuat istana nya ialah daripada golongan jin.

“Golongan jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan tinggi dan patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam dan periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya. – ayat 13, Surah Saba.

Namun, apabila wafatnya Nabi Sulaiman, hartanya lenyap daripada muka bumi. Jika diselidiki di seluruh dunia Arab atau diseluruh dunia sekalipun tidak akan berjumpa tanda-tanda peninggalan harta Nabi Sulaiman yang amat kaya itu.

Tiada satu pun diwariskan kepada golongan kemudian. Benarlah nabi tidak mewariskan wang emas dan wang perak.

Sementara itu di dalam al quran juga kita dapat membaca banyak kisah kaum-kaum terdahulu yang dibinasakan oleh Allah. Kaum Thamud, Aad, Saba, Firaun, Haman dan juga Qarun.

Allah berfirman dalam surah Hud , ayat 100 yang bermaksud “ Yang demikian, ialah khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepada kamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya dapat disaksikan) dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).

Di Mesir sekarang ini masih ada piramid peninggalan firaun. Masih ada tasik qarun tempat istana qarun yang diterbalikkan dan ditenggelamkan oleh Allah. Di lembah Petra, Jordan masih ada tinggalan rumah-rumah kaum Thamud yang begitu indah dan tinggi ukirannya.


Gambar The Treasury peninggalan kaum Thamud di Lembah Petra, Jordan

Dapatlah kita simpulkan bahawa ilmu adalah lebih penting daripada harta kerana walaupun Nabi Sulaiman yang kaya itu, tiada satu pun hartanya dapat diwaris oleh orang yang terkemudian. Manakala golongan yang tersesat kerana banyak harta telah diazab oleh Allah dengan kejadian yang dahsyat. Peninggalan mereka masih dapat dilihat sebagai peringatan bagi mereka yang mahu berfikir.

Wednesday, April 15, 2009

Sudilah Memandang

Tiga perkara : apabila melihat nya sahaja sudah dapat ganjaran pahala.

1. Melihat Kaabah - 120 rahmat untuk turun ke atas Kaabah setiap hari
- 60 rahmat untuk orang tawaf
- 40 rahmat untuk orang yang solat
- 20 rahmat untuk orang yang memandang Kaabah




2. Melihat Mashaf Al Quran - Memandang ayat-ayat Al_Quran juga diberikan pahala. Para Hufaz lebih gemar melihat mushaf ketika membaca Al-Quran kerana kelebihan ini.



3. Melihat ibu - bapa dengan kasih sayang. Pulanglah ke rumah ibu-bapa untuk menatap wajah mereka dengan lebih kerap.



Bagi yang masih ada ibu dan bapa, bawalah ibu-bapa anda membaca Al-Quran di hadapan Kaabah. InsyaAllah ganjaran pahala lebih berlipat kali ganda.

Sunday, April 12, 2009

Cerita Mekah



Kaabah dari belah Hijir Ismail.



Kaabah view dari bilik hotel Al Safwah.

Setiap hari saya dapat menatap gambar separa live Masjidil Haram. Terima kasih kepada saudara Azli melalui blognya www.manzlie-makkah.blogspot.com

Tuan Haji Azli amat bertuah kerana bekerja di hotel Al Safwah yang terletak beberapa meter sahaja dari Masjidil Haram. Bilik beliau amat istimewa kerana bila sahaja beliau buka langsir tingkap, akan nampak view Kaabah. Amat istimewa kerana setiap hari dapat menatap Kaabah. Bagi guest hotel yang ingin menatap view sebegitu, harganya ialah SR75,000 bagi sepuluh hari pada bulan Ramadhan. Belum mampu lagilah.

Setiap kali menatap gambar Mekah dan Kaabah saya merasa sayu dan pilu. Rasa ingin berada di sana semula.

Ya Allah permudahkan untuk kami kembali ke sana.

Thursday, April 9, 2009

Prof. Diraja Ungku Aziz

Dua tiga hari lepas, saya terbaca sebuah buku kecil terbitan Pelanduk Publication mengenai Prof. Diraja Ungku Aziz(PDUA). Sebuah biografi ringkas mengenai beliau. PDUA lahir di kotaraya London pada tahun 1920. Ibunya seorang Turki yang memeluk Islam dengan nama Hamidah bt Abdullah manakala bapanya Ungku Abdul Hamid berasal dari Batu Pahat. Ketika usianya 4 tahun ibunya meninggal dunia.

Beliau adalah satu-satunya Prof. Diraja di Malaysia.

Fakta yang menarik minat saya ialah walaupun beliau boleh dianggap sangat pandai atau mungkin genius, beliau hanya mampu membaca pada usia 12 tahun. Ya ke? Betul. Umur 12 tahun. Ini adalah kerana beliau banyak bertukar sekolah dari sekolah Arab, Inggeris, Melayu dan sebagainya.

Kita perhatikan trend sekarang ibu bapa mahukan anak mereka membaca pada usia seawal 4 tahun. Jadi ibu bapa di Malaysia sekarang ini tidak perlu risau jika anak anda belum boleh membaca pada usia 4, 5 atau 6 tahun hatta 12 tahun sekalipun. Sebab pada waktu mereka boleh kata mereka lebih dulu boleh membaca berbanding PDUA.

Cuma kehebatan PUDA ialah beliau sangat suka membaca. Beliau membaca dari mula boleh membaca sampai sekarang. Semasa bersekolah, beliau membaca hampir kesemua buku di library sekolah. Beliau membaca dari pagi sampai malam. Ke mana sahaja beliau pergi akan membawa buku bersama.

Umur berapa anda boleh membaca? Tentu anda lebih genius daripada PDUA. Teruskan membaca blog saya. Terima kasih.

Tuesday, April 7, 2009

Q Haji

Tengah hari tadi saya ke pejabat TH. Di pintu depan pejabat TH terpampang :

"Jika anda membuat pendaftaran haji sekarang. Tahun mengerjakan haji ialah 2025".

Maknanya penantian selama 16 tahun. Fuh! Lamanya.

Setiap tahun kuota jemaah haji Malaysia ialah 26,000 orang iaitu 0.1% daripada 26 juta penduduk Malaysia.

16 tahun x 26,000 = 416,000 bakal jemaah haji yang sedang menunggu giliran.

Ramainya. Alhamdulillah! sejak akhir-akhir ini begitu ramai yang membuat pendaftaran haji. Kami membuat pendaftaran haji pada Sep 2008 dan diberikan tahun 2022. Sekarang bulan Apr 2009 tahun giliran ialah 2025. Dalam masa 6 bulan sudah ada anggaran 78,000bakal jemaah yang mendaftar (26,000 x 3 tahun).

78,000 jemaah / 6 bulan = ada 13,000 jemaah baru sebulan
13,000 jemaah / 22 hari (jumlah hari bekerja TH sebulan) = 591
Jadi pada anggaran saya, ada lebih kurang 600 jemaah baru yang mendaftar setiap hari.
Jika anda lambat sehari membuat pendaftaran maka ada 600 jemaah lain akan mendahului anda pergi haji. Jangan berlengah lagi. Daftar haji sekarang.

Mengikut kiraan saya jika anda mendaftar haji pada :
bulan Jun 2009 ini, tahun giliran haji ialah 2026.
bulan Ogos 2009 ini, tahun giliran haji ialah 2027.
bulan Okt 2009 ini, tahun giliran haji ialah 2028.
bulan Dis 2009 ini, tahun giliran haji ialah 2029.

Kira sendirilah berapa umur anda ketika itu.

Penantian satu perjalanan yang panjang.

Monday, April 6, 2009

Kambing



"Salam. Megat, Dah terima agreement yang aku pos? " Saya SMS Megat.
"Dah. Aku kat Australia ni. Balik nanti aku stamping dan pos kat ko" SMS Megat.

Siapa Megat ? Dia ni kawan sama Diploma dan Degree dulu. Sekarang ni dia dah jadi saudagar kambing. Saudagar kambing? Wow! macam Rahim Lempoyang saudagar unta dalam cerita tiga Abdul.

Si Megat ni dah 4-5 tahun jadi saudagar kambing ni. Sekarang bisnes dia dah besar. Import kambing dari Down Under. Tiap-tiap minggu ada shipment dari sana. Dia jadi pembekal untuk penternak lain. Dengar khabar ada projek besar sekarang ni.

Saya promote si Megat ni bukan apa. Saya pun ada invest sikit-sikit dekat ladang dia ni. Dan sesiapa berminat untuk invest boleh lawat www.boersaanen.blogspot.com. Tapi sekarang ni pun banyak ladang/orang nak cari investor yang boleh menyumbang modal untuk projek kambing. Saya pun tak akan invest kalau tak kenal tuan punya ladang. Dalam surat khabar banyak orang yang kena tipu pasal projek kambing ni.

Cerita pasal kambing ini. Kalau orang Melayu ternak kambing kita kira pakai ekor. Kalau orang India kira pakai kandang dan kalau orang Arab atau Aussie kira pakai padang. Berapa ekor kambing kau ada? Berapa kandang kambing kau ada? Berapa padang kambing kau ada? Lebih kurang bergitulah lebih kurang skripnya.

Kambing ni unik. Takut mandi tapi harga makin tinggi.Sekarang ni baka yang paling top ialah Boer. Seekor baka jantan boleh mencecah RM5,000.00. Fuh! Harga macam sebiji motor kapcai.

Kalau kita perhatikan kisah-kisah para Nabi, boleh dikatakan ramai nabi pernah menjadi gembala kambing. Apakah agaknya rahsia para nabi menjadi gembala kambing ini. Mungkin kambing ini sukar dikawal jadi dengan itu menjadi latihan kepada para nabi. Wallahu'lam.

Sunday, April 5, 2009

Rayuan Haji

Kriteria yang diutamakan untuk membuat rayuan haji ialah :
1. Warga emas iaitu jemaah yang berumur lebih 70 tahun.
2. Menemani mahram - Contohnya isteri dapat panggilan haji tetapi suami tidak. Jadi suami boleh memohon untuk menemani isterinya.
3. Qadha haji - iaitu jemaah sudah menunaikan haji pada tahun lepas tetapi tidak melakukan rukun haji. Haji tidak sah. Maka wajib qadha. Nazar haji tidak termasuk dalam kriteria ini.
4. Ada beberapa lagi kriteria lain yang saya tak berapa ingat.

Kami tidak termasuk langsung dalam kriteria-kriteria di atas untuk membuat rayuan menunaikan haji.

"Cuba sajalah buat rayuan, mana tahu ada rezeki" ucap seorang kakitangan TH.

just DUIT.

Persediaan Fizikal Haji

Pagi semalam kami berempat orang dari Maplegold berbasikal di kawasan Prima Saujana yang belum dibangunkan. Kawasan berbukit yang baru ditebang pokok getah. Agak mencabar. Bukitnya terlalu curam dan jalan tidak rata. Maklumlah off-road pertama saya. Bukit ini dapat ditawan dalam masa setengah jam.

Pagi tadi kami bertiga berbasikal pula di lebuhraya SILK. Jarak jauh yang pertama untuk saya. Lebih kurang 25KM mengikut kiraan CATEYE Tuan Ridhuan. Kawasan berbukit di sini agak mencabar tetapi amat santai bila menuruni bukit. Lebih kurang sejam kayuhan dapat dihabiskan.

Selepas berkayuh kaki terasa agak tegang dan keras. Rasa kaki tegang seperti selepas menamatkan satu umrah. Umrah biasa boleh ditamatkan dalam masa kurang lebih 3 jam. Menaiki bas atau teksi ke Tanaim untuk berniat di Miqat. Solat sunat ehram dan menaiki teksi yang sama balik ke Haram. Tawaf 7 pusingan , solat sunat tawaf, berdoa, minum air zam-zam, saei dari bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali (lebih kurang 3.5km) dan akhir sekali bercukur/bergunting. Semua rukun hendaklah dilakukan dengan tertib mengikut susunannya. Biasa umrah boleh tamat dalam masa 3 jam ketika luar musim haji.

Saya pernah mendengar ada jemaah yang boleh membuat hingga 3 umrah sehari iaitu satu ketika selepas subuh, satu umrah selepas asar dan satu lagi selepas isyak. Saya belum mampu. Lepas satu umrah kaki pun dah cukup tegang dan keras. Paling banyak cuma pernah buat 2 umrah sehari iaitu lepas subuh dan asar. Waktu paling baik ialah selepas subuh kerana waktu yang panjang sebelum zuhur. Lepas asar juga ok keran asar awal kira-kira jam 3:15 ptg dan maghrib jam 7.15 malam. Waktu berbeza mengikut musim sejuk atau musim panas.

Selepas berkayuh saya dan keluarga ke Masjid Jamek Kajang untuk meneruskan kursus haji minggu ke 4. Hari ini sepatutnya belajar mengenai rukun umrah tetapi semua penceramah di jemput oleh TH untuk muzakarah Haji. Slot digantikan dengan ceramah kesihatan. Banyak tips-tips diberi oleh penceramah yang merupakan seorang doktor.
Menurut urusetia ada 577 jemaah yang mengikuti kursus di sini. Tapi masih ramai yang belum mendaftar dan baru mengikuti untuk minggu pertama.

Persiapan fizikal amat penting untuk menunaikan fardhu haji. Penceramah pagi tadi juga menasihatkan bakal haji supaya berjalan kaki 3-5km selepas subuh 4 kali seminggu sebagai persiapan haji.

Saturday, April 4, 2009

Malam dan Siang

Malam terbaik ialah semasa Lailatul Qadr. Setiap amalan digandakan seribu bulan pada malam tersebut.Malam ini hanya ada pada bulan Ramadhan setiap tahun tanpa mengira tempat. Hanya hambaNya yang bertuah dapat menemui malam ini.

Siang terbaik pula ketika wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Kerana haji itu adalah Arafah. Tiada haji tanpa wukuf. Tetapi siang terbaik ini hanyalah untuk umat islam yang menunaikan haji. Bagi yang tidak menunaikan haji sunat untuk berpuasa pada hari wukuf. Hanya hambaNya yang dijemput dapat merasainya siang terbaik ini.

Jemputlah kami untuk merasai siang dam malam terbaik MU. Amin.

Terbakar


Hari ahad lepas. Malam isnin. Kira-kira jam 10.30 malam. Saya sedang melayari internet dan berkira-kira untuk masuk tidur awal. Tiba-tiba kedengaran suara orang menjerit dan bertempik dari luar rumah. Saya bingkas bangun dari kerusi dan menjenguk di tingkap bilik tidur. Kelihatan api yang marak di hadapan sebuah rumah lot tepi yang belum berpenghuni. Jaraknya hanya beberapa meter di hadapan rumah. Rumah terbakar! hati saya berdetik. Saya mengejutkan isteri yang sudah terlelap semasa menidurkan anak dan memberitahu beliau mengenai kebakaran itu.

Saya keluar rumah dan berjalan ke arah api yang tengah marak. Jiran-jiran telah ramai berkumpul menyaksikan api yang marak. Jelas kelihatan api menjulang membakar sebuah kereta proton tiara. Kami tidak dapat memadamkan api kerana ianya terlalu marak dalam masa yang singkat. Kami menjauhkan diri kerana bimbang kereta akan meletup. Beberapa letupan kecil berlaku.

Bomba telah dipanggil tetapi setelah 15 minit berlalu mereka belum tiba. Keadaaan agak cemas kerana api hampir merebak ke rumah kosong. Pagar rumah kelihatan terbakar. Mujur pagarnya dibuat daripada stainless steel, jadi api tidak dapat merebak dengan cepat. Api terus menjulang hingga lebih kurang 5 meter tinggi.

Kedengaran bunyi siren bomba. Kami agak lega kerana bantuan hampir tiba. Tetapi bantuan yang ditunggu tidak segera datang. Bunyi siren tiba-tiba senyap. Rupa-rupanya bomba tersesat. Habis satu Prima Saujana dipusingnya. Setelah setengah jam panggilan dibuat baru bomba tiba. Adakah bomba tidak menggunakan GPS. Mungkin tidak.
Sekurang-kurangnya gunalah google earth, walaupun percuma perumahan kami boleh dilihat dengan jelas dengan perisian ini.

Jiran-jiran bercerita. Anak tuan punya kereta sedang membaiki kereta tersebut. Tiba-tiba short circuit, percikan api terjadi dan api kecil membakar bahagian enjin. Beliau mengambil sebaldi air dan terus menyimbah api tersebut. Hasilnya bukannya api padam tetapi lebih marak lagi. Dalam sekelip mata kereta terbakar terus.

Bomba mengambil masa 10 minit sahaja untuk memadamkan api. Ketua pasukan bomba itu memberi tips " Kalau berlaku perkara macam ni, ambil tuala tebal, basahkan dan tutup atas percikan api tersebut. Ini akan memadamkan api tersebut. Saya belajar satu ilmu baru malam itu.

Moral of the story.
1. Periksa pendawaian kereta anda. Kereta yang telah rosak pendawaiannya amat mudah terbakar.
2. Bomba perlu ada GPS untuk mengelakkan tersesat. Malam itu tiada kehilangan jiwa berlaku. Jika berlaku kehilangan jiwa pasti lebih tragis jika ianya disebabkan bomba sesat.
3. Kawasan perumahan perlu ada fire extingusher untuk membantu memadam api dengan cepat. Mungkin boleh bekerjasama dengan pihak bomba mengenai perkara ini.
Related Posts with Thumbnails