Thursday, April 30, 2009

Part Time Job


Sebentar tadi saya singgah di stesen servis Petronas, Saujana Impian. Saya masuk ke dalam Kedai Mesra dan tercari-cari kaunter isian semula Touch N Go.
"Selamat datang Encik" kedengaran suara lunak seorang gadis juruwang menyapa dengan mesra sambil tersenyum manis.
"Ada reload Touch N Go" tanya saya.
"Ada, berapa encik nak reload" tanya gadis juruwang itu.
Saya memesan RM100.00 reload dan petrol sebanyak RM80.00. Setelah mengisi minyak, saya dapati tangki minyak sudah penuh ketika meter menunjukkan RM74.30. Saya berjalan ke kaunter dan gadis tadi terus menghulurkan resit bersama wang tunai RM5.70 tanpa perlu saya meminta.

Berbeza sungguh layanan kedai Mesra Petronas kali ini. Layanan boleh dikatakan kelas pertama. Pada telahan saya gadis ini mungkin berpendidikan tinggi dan cuma bekerja sementara di sini. Mungkin sedang becuti dari IPT atau sedang menunggu untuk melanjutkan pelajaran.

Teringat kisah saya semasa masih menuntut di UiTM Shah Alam. Saya pernah bekerja lebih kurang tiga minggu sebagai juruwang di kedai serbaneka 7-11, seksyen 2 , Shah Alam. Waktu itu usia saya sekitar 22 tahun. Tujuan saya bekerja adalah untuk mencari pengalaman. Gajinya tidak seberapa, cuma RM3 satu jam.

Di 7-11 ada tiga syif iaitu shif pagi - 7 pagi hingga 3 petang. Syif petang - 3 petang hingga 11 malam. Saya ditugaskan untuk bekerja pada syif malam iaitu bermula jam 11 malam hingga 7 pagi. Pagi hari-hari pertama bertugas saya merasa pelik, kerana perlu tidur pada pagi hari selepas pulang kerja. Terasa agak susah untuk menyesuaikan diri atau acclimatise dengan keadaan ini. Saya terfikir, bagaimana agaknya para pekerja kilang yang bertugas syif malam menyesuaikan diri.

Antara kenangan yang masih saya ingat ketika bertugas ialah beberapa kali bertemu Allahyarham bekas Mufti Selangor iaitu Dato' Haji Ishak Baharom. Sedekahkan Alfatihah kepada beliau. [Nota - buku terakhir beliau yang terbit selepas beliau meninggal dunia berjudul Solat dan Keajaibannya terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd sesuai dibaca oleh orang yang ingin mendalami ilmu solat]. Selepas solat subuh di Masjid Negeri beliau akan singgah di 7-11 untuk membeli roti Gardenia dan akhbar harian. Beliau memandu Mercedes Benz berwarna biru muda. Wajahnya bersih dan tenang. Tidak banyak bercakap.

Saya juga teringat sepasang suami isteri mat saleh yang menunggang motorsikal BMW akan singgah di tempat saya bekerja setiap malam minggu untuk membeli rokok dan air mineral. Dan yang paling tidak lupa ialah setiap malam, beberapa remaja melayu datang membeli arak yang dijual di situ. Remaja melayu Shah Alam ini tidak segan silu membeli dan meminum arak secara terang-terangan di luar kedai. Biasanya mereka akan datang sekitar jam 2-3 pagi. Mereka datang bermotorsikal dan ada juga yang berjalan kaki. Menurut rakan sekerja saya, rumah mereka berdekatan. Wajah mereka nampak kusam dan hambar. Mereka banyak bercakap yang bukan-bukan. Mungkin sudah mabuk.

Setelah bekerja hampir tiga minggu. Pada satu malam seorang lelaki berumur sekitar 30-an menyapa saya ketika beliau ingin membuat bayaran.
Kata beliau " adik ni masih belajar? Saya mengiakannya.
"Kenapa kerja di sini? tanya beliau.
Belum sempat saya menjawab, beliau menambah " Dekat sini ada jual arak. Sesiapa yang minum arak, menjual, membeli, menyimpan, memeram anggur untuk dibuat arak dapat dosa sama macam orang minum arak. Lebih kurang begitulah kata-kata beliau.

Kata-kata beliau membuatkan saya teringat balik mengenai hadis tentang dosa arak ini. Seketika itu saya lalai. Terima kasih kerana mengingatkan saya. Dua hari kemudian saya berhenti kerja. Saya tidak sanggup menanggung dosa-dosa mereka. Saya memohon keampunan dari Nya.

7 comments:

cikgu mas said...

salam en mie..Astafiruaallah..cerita ni membawa ingatan saya ketika bercuti semester semasa tahun 3 di UM.masa tu saya n kawan2 xmahu balik kg sbb nk kerja kat Rothmans PJ,kilang buat rokok,kerja dari 7 pg-7mlm or 7mlm-7pg.Gajinya lumayan boleh dapat rm 1500+++ zmn tu sgt kaya la tu lagikan student mcm loan setahun byknya pas tolak yuran kolej.Masa tu pas gaji dapat lg bonus rokok 2 kotak ,saya jual kat kedai boleh dapat rm 50.Pikir-pikir balik patutlah duitnya entah ke mana,keja tempat mcm tu...

Azemi Ali said...

Salam cikgu Mas,
Nampaknya antara kita ada kisah masing-masing. Bak tajuk blog puan "Hidup Ini Sementara".Moga mendapat keampunanNya.

Shafek said...

Salam Bro. Azemi,
Begitulah kehidupan. Kadang-kadang hidayah datang secara berperingkat. Terima kasih, cerita yang menarik untuk muhasabah diri saya yang lupa.

YorieMorie said...

salam... Ya Allah,, terok betul rmaja kite..em sy pown rmaja dan harap d jauhkan dpd sume sifat mzmumah tu... hmm,, sy skarg form 6 dkat skolah men seksen 2 2la... n tiap pg sggah 7E bli air milo n kat dlm tu still ader air2 keras ni la.. tp akk cashier yg bertudung x nmpak mcm nk benty..patot smua contohi sdare..moga sdare dpt terus mnulis kesah2 yg nyk m'beri pgjaran dan kesedaran..lg2 buat rmaja mcm sy.. tq

Azemi Ali said...

Salam bro. Shafek,

Terima kasih sudi jenguk sini.
Tujuan saya menulis blog adalah untuk peringatan diri saya yang sentiasa lupa dan juga sesiapa saja yang sudi mengambil iktibar daripada kisah yang saya paparkan.
Satu usaha kecil, umpama burung pipit yang cuba memadamkan api yang membakar nabi Ibrahim Alaihissalam. Terima kasih.

Salam ukhwah.

Azemi Ali said...

Salam Sis YorieMorie,

Tak semua remaja kita teruk. Ramai lagi yang baik. Ramai lagi yang sentiasa mengingati Allah s.w.t.

Bersamalah kita ingat-mengingati antara satu sama lain.

Salam Ukhwah

BAGAK said...

kerja apa2 menyalahi peraturan yang ditetapkan Islam

Related Posts with Thumbnails