Tuesday, May 5, 2009

Makbul Doa



Hari ini aku ke kelas seperti biasa untuk mengajar murid-murid 3 dan 4 tahun . Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Aku pun merenung anak-anak muridku lalu berkata,
"Habis basahlah baju yang cikgu baru jemur pagi tadi".
Salah seorang anak muridku iaitu Izat berkata "Cikgu baliklah angkat kain dulu".
Aku menjawab "Jauh lah rumah cikgu, kalau cikgu balik pun mesti baju dah basah".

Apa kata kita berdoa kepada Allah agar hujan berhenti. Lalu anak-anak muridku pun menadah tangan ke langit dan berdoa.
"Ya Allah! Kami memohon agar hujan berhenti supaya baju cikgu tidak basah. Amin!. Mereka pun mencium tangan masing-masing. Tidak sampai 2 minit hujan pun berhenti dan matahari pun keluar dengan terang benderang. Hatiku pun berkata, "Alhamdulillah, doa mereka telah dimakbulkan".

Kelas tamat sekitar pukul 11.15 pagi dan aku pun balik ke rumah. Sesampai dirumah aku pun bertanya aunty selang sebuah rumah(yang berketurunan cina)yang sedang menjemur kainnya "Aunty tadi hujan kah ?" Aku bertanya kerana musykil memandang semua baju yang ku jemur tadi telah kering. Beberapa helai baju juga jatuh ke lantai tetapi masih kering.
"Hujan tapi kejap sahaja, Aunty nak angkat tapi pintu pagar berkunci" ujar beliau
Aku sungguh bertuah kerana mempunyai jiran-jiran yang prihatin.

Aku pun termenung terkenangkan anak-anak muridku yang berdoa agar hujan berhenti. Aku teringat kisah yang ustaz ceritakan mengenai Nabi Muhammad s.a.w. Setiap kali beliau merasa tidak sihat, beliau akan memberi sedikit wang kepada kanak-kanak sambil meminta mereka mendoakan agar baginda sihat. Kanak-kanak suci dari dosa dan mereka yang tidak berdosa dimakbulkan doanya. Manakala salah satu keadaan yang makbul doanya bila hujan turun lebat. Aku teringat Ustaz juga ada menyatakan Allah suka kepada mereka yang mencium tangannya selepas berdoa walaupun tangan kita berbau tidak enak. Anak-anak muridku mencium tangan mereka selepas berdoa. Aku pasti doa mereka makbul kerana mereka adalah anak-anak yang suci daripada dosa.

Namun begitu, sekiranya kita berdoa dan doa kita makbul itu tandanya Allah sayang kepada kita. Sekiranya doa kita tidak makbul, tandanya Allah sedang menguji kita untuk meningkatkan iman kita. Yang pasti apa yang baik pada pandangan kita belum tentu ianya baik untuk kita, dan tidak semestinya sesuatu yang tidak baik pada pandangan kita adalah tidak baik untuk kita. Allah pencipta kita pasti Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita selaku hambanya. Bersangka baiklah dengan Allah Rabulallamin.

Disalin daripada www.sarahsamah.blogspot.com

No comments:

Related Posts with Thumbnails