Monday, November 16, 2009

Hujan


Gambar Masjidil Haram ketika hujan. Oktober 2009. Gambar diambil daripada  blog saudara Azli.

Ketika posting ini ditulis, hujan turun mencurah-curah. Hujan adalah rahmat dari Allah SWT. Allah menurunkan rezeki melalui hujan. Selepas hujan suasana amat nyaman. Hujan turun membersihkan alam.

Di dalam buku Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin menulis mengenai seorang saintis membuat kajian mengenai jumlah hujan yang turun di seluruh dunia.  Saintis ini mendapati jumlah hujan yang turun adalah konsisten setiap tahun. Ini adalah selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 11.

"Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dengan sukatan tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itu pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur "
Cuma yang berbeza ialah tempat diturunkan hujan itu. Sesebuah tempat ada yang diturunkan banyak hujan dan ada juga yang sedikit.

 "Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakkiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, mereka serta merta bergembira" Surah ar-Rum ayat 48.

Menerusi blog seorang sahabat iaitu saudar Azli yang bekerja di kota suci Mekah saya mendapati sudah 3 kali hujan turun pada musim haji tahun ini. Hujan amat jarang turun di Mekah. Di sana tiada longkang kerana ianya tidak perlu sebab hujan amat jarang turun. Jika hujan lebat turun banjir boleh berlaku di Mekah kerana tiada longkang yang mengalirkan air.

Tahun ini kita dikejutkan dengan wabak H1N1. Saya ada terbaca di akhbar yang haji tahun ini akan dibatalkan kerana wabak H1N1. Mungkin yang menulis itu bukan seorang Islam. Suasana di Mekah juga sedikit berhabuk kerana kerja-kerja pembinaan hotel-hotel baru giat dijalankan. Kerja hanya berhenti bila musim haji bermula.

Para jemaah haji adalah tetamu Allah SWT. Allah SWT akan menyambut para tetamunya dengan cara yang terbaik.  Hujan adalah rahmat dari Allah SWT. Allah menurunkan rezeki melalui hujan. Selepas hujan suasana amat nyaman. Hujan turun membersihkan alam. Saya terfikir, Allah SWT menurunkan hujan di Mekah untuk membersihkan habuk-habuk pembinaan dan juga menghapuskan virus H1N1 di sana agar para tetamuNya dapat beribadah dan ditarbiah sebaik mungkin.

Mungkin ada yang berfikir tidak logik hujan boleh menghapuskan H1N1. Namun saya amat yakin Allah Maha Berkuasa.

Saturday, November 14, 2009

Bagaimana saya berjanggut ?

Sudah beberapa ketika blog ini tidak dikemaskini. Ada beberapa idea dan maklumat yang ingin dikongsi tetapi keutamaan dan masa ditumpukan kepada perkara yang lebih penting. Ada yang lebih penting dari blogging.

Catatan dibawah adalah siaran ulangan bagi posting -posting terdahulu blog ini. Mungkin belum dibaca oleh kawan-kawan di Facebook.

Moga ada manfaat.

................................

"Mi, kau nampak lainlah.." ujar kawan saya..
"lain sikit saja" balas saya

"Wah, janggut makin panjanglah.." usik kawan yang lain
"Ada kelebihannya" jawab saya dengan ringkas

"Adik aku ni dah jadi macam orang dakwahlah" ucap kakak saya ketika bertemu di Kajang tempoh hari.
Saya cuma tersenyum.

Semua perbualan di atas adalah kerana saya baru berjanggut. Baru menyimpan janggut. Kurang lebih 3 bulan.

Bagaimana akhirnya saya berjanggut? Simpan janggut - satu Sunnah.

Pulang dari tanah suci Jun lepas, saya terlintas untuk mencukur misai yang agak tebal (lebih belasan tahun disimpan dan ditrim) dan menyimpan janggut. Lalu saya berbuat demikian.

Alhamdulillah, Allah telah temukan saya satu kelebihan menyimpan janggut. Saya mengidap "mild sinusitis" - belum resdung lagi. Setiap pagi biasanya terbersin beberapa kali dan hidung selalu tersumbat. Dan disebelah malam hidung merasa sesak, tersumbat dan lebih-lebih lagi ketika cuaca sejuk terasa agak sukar untuk bernafas dengan nyaman.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Setelah menyimpan janggut dan mencukur misai, masalah "sinusitis" saya telah hilang sama sekali. Kini tiada lagi bersin di sebelah pagi dan hidung tersumbat. Boleh bernafas dengan nyaman.

Mungkin itu salah satu dari banyak kebaikan berjanggut atau melakukan perkara sunat yang lain. Selain mendapat pahala ia juga satu rahmat kepada umat Islam.

Saya terbaca sepotong hadis yang disebutkan oleh Ibnu Umar R.A., Rasulullah S.A.W bersabda,
"Janganlah kalian menyamai orang-orang musyrik. Panjangkan janggut dan cukurlah misai." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya yakin setiap apa yang diwajibkan, disunatkan, diharuskan mahupun diharamkan dalam Islam itu ada kelebihannya untuk umat Islam.

Sama-samalah kita mencari...  mencari keredhaanNya.
Related Posts with Thumbnails