Sunday, March 29, 2009

MBA




MBA ialah singkatan Muhamad bin Ali. Muhamad Ali peninju terkenal tu ke? bukan, bukan yang itu. Nama saya pula Mohd Azemi bin Ali, jadi MABA jika gunakan akronim yang sama. Adakah mereka bersaudara? Jawapannya ya. MBA dan Azemi Ali adalah adik beradik.
MBA ialah seorang penulis separuh masa. Buku pertama beliau ialah Kerjaya Dalam Bidang ICT dan buku kedua bakal terbit 01 April 2009 berjudul Buat Duit Dengan Foto.
Sementara tiga lagi buku menunggu masa yang sesuai untuk diterbitkan. Sungguh prolifik menghasilkan banyak buku dalam masa yang singkat.
Syabas! Abang atas terbitnya buku kedua ini. Cerita lanjut mengenai MBA di www.mba2u.blogspot.com
P/S : Sarah cakap dia nak buku free siap dengan autograf. Nak cari idea untuk buat duit tambahan katanya.

Mimie Afinie / Nani Safwan




Saya telah lama mengenali Puan Wan Rosnani atau lebih dikenali sebagai kak wan. Kurang lebih 5 tahun yang lalu apabila pertama kali saya berkunjung ke Pusat Sumber tempat saya bekerja. Siapa sangka Kak Wan telah menghasilkan 10 novel iaitu novel dewasa dan novel awal remaja. Saya baru mengenali Mimie Afinie dan Nani Safwan lebih kurang sebulan yang lalu. Siapa sangka mereka hanyalah nama pena kak wan yang telah lama saya kenali. Kisah kejayaan kak wan yang telah menulis banyak novel memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan penulisan buku pertama saya, "Sederhaha Tetapi Kaya".
Saya telah membaca novel kak wan iaitu Hai Kitti. Saya telah meminjam buku ini daripada Pusat Sumber setelah diberitahu siapa penulisnya. Banyak yang saya boleh belajar daripada novel ini terutama formatnya. Sasaran pembaca ialah mereka yang berumur 9 hingga 15 tahun. Anak saya yang berumur 8 tahun juga suka membaca novel ini tetapi tidak sempat dihabiskan kerana novel tersebut terpaksa dipulangkan selepas tempoh pinjaman tamat. Saya sarankan novel ini dan Supermanku untuk dibeli oleh para ibubapa untuk dihadiahkan kepada anak-anak mereka. membaca novel dan buku cerita yang baik akan memupuk minat membaca di kalangan anak-anak.
Syabas! kak wan kerana menulis banyak novel dalam masa yang singkat. Cerita lanjut mengenai Mimi Afinie di www.mimie-afinie.blogspot.com

Modul Kursus Haji

Kursus haji bersiri mempunyai 17 modul / siri.Modul-modul tersebut ialah :

1. Adab-adab sebelum menunaikan haji
2. Pengenalan Tanah Suci
3. Pengertian haji dan umrah dan syarat-syarat haji dan umrah
4. Rukun Umrah
5. Rukun Haji
6. Rukun Haji
7. Rukun Haji
8. Wajib Haji
9. Wajib Haji
10. Dam
11. Cara Mengerjakan Ibadat Haji
12. Kesihatan
13. Kesempurnaan Taharah dan Solat
14. Permasalahan wanita / Ulangkaji
15. Ziarah Madinah
16. Pengurusan haji
17. Latihan Amali.

Kursus haji bersiri boleh disertai oleh semua umat islam tetapi kursus haji intensif / kursus haji perdana akan hanya dihadiri oleh jemaah haji yang telah mendapat surat jemputan haji drpd TH.

Sunday, March 22, 2009

Cerita Motivasi Haji

Guru saya telah menunaikan fardhu haji pada tahun 90-an. Ketika itu beliau pergi bersama ibu dan isterinya. Ketika itu beliau baru bersara dan mengeluarkan semua wang simpanannya melebihi RM30,000 untuk menunaikan haji. Pencen bulanan yang diterimanya ialah sebanyak RM500.00 dan beliau tinggal di bandaraya Kuala Lumpur. Isterinya tidak bekerja.Bagaimana beliau akan menampung hidup dengan pencen sebanyak itu.

Beliau mengajar Al-Quran tetapi tidak pernah mengenakan bayaran. Ada pelajarnya yang memberi sumbangan ikhlas dan ada juga yang tidak. Beliau hanya mengharapkan keredhaan Allah. Rezeki setiap makhluk telah ditentukan oleh Allah.Saya pernah membaca sepotong hadis yang sedikit sebanyak berbunyi " Sesiapa yang mengejar akhirat, maka dunia akan mengejarnya".

Sejak kali pertama menjejakkan kaki di tanah suci, beliau telah kembali lagi ke sana lebih 10 kali untuk menunaikan umrah dan juga haji. Kalau tak silap beliau telah 8 kali menunaikan umrah dan 3 kali haji. Selalunya beliau ditaja oleh orang lain termasuk anak-anak muridnya. Siapa yang menggerakkan mereka untuk menaja beliau jika bukan Allah s.w.t. Allah s.w.t melimpahkan rahmat dan kurnianya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Pada masa kali pertama beliau ingin ke tanah suci, beliau bertawakkal kepada Allah. Walaupun wang simpanannya habis dan berpencen kecil, beliau yakin Allah Ar-Rahim dan Ar-Rahman. Walaupun pencen belaiu kecil, beliau dapat menampung keluarganya dengan sempurna dan dapat ke tanah suci berbelas kali.

Saturday, March 21, 2009

Kempen Pendaftaran Haji

Saya membuat pendaftaran haji pada Sep 2008 dan tahun giliran haji ialah 2022.
Jiran saya membuat pendaftaran pada Feb 2009 dan tahun giliran haji ialah 2024.
Jika membuat pendaftaran bulan ini tahun giliran ialah 2025.
Jika usia anda tahun ini ialah 50 maka pada tahun 2025, usia anda 66 tahun.
Jika usia anda tahun ini ialah 40 maka pada tahun 2025, usia anda 56 tahun.
Moga-moga masih sihat pada masa tersebut.
Semakin lambat mendaftar semakin lambat boleh pergi haji. Ada yang berpendapat daftar lambat pun tak apa sebab ramai orang daftar tapi duit belum cukup. Namun hakikatnya orang yang sudah cukup duit pun dah ramai. Saya juga agak terkilan kerana membuat pendaftaran lambat. Tapi apa nak buat, kena tunggu dan usaha lebihlah.
Sekarang saya giat berkempen kepada kawan-kawan supaya membuat pendaftaran haji.
"Perlu simpanan sebanyak RM1,300.00 sahaja di TH" ujar saya. " Daftar lah sekarang walau tak berhajat untuk pergi haji lagi" tambah saya lagi.
"Saya daftar lambat pun tak apa sebab saya ada orang dalam, boleh pergi cepat" jawab seorang jiran.
Orang kita memang hebat, nak masuk sekolah ternama ada orang dalam, nak masuk u pun pakai cable, nak minta kerja pun ada orang dalam sampai nak buat ibadat pun pakai orang dalam.
Namun saya meneruskan kempen ini dan Alhamdulillah sudah ada beberapa kawan yang mendaftar. Mari kita berkempen!

Wednesday, March 18, 2009

Kursus Haji

Ahad lepas kami sekeluarga mula kursus haji di Masjid Jamek Kajang. Ramai betul yang hadir sampai penuh dewan solat utama dan dewan solat muslimah dan melimpah ke luar. Mungkin bilangannya lebih 600 orang. Begitu ramai yang ingin menunaikan haji. Antara mereka mungkin sudah menerima surat panggilan haji, ada yang standby dan mungkin ada juga yang seperti kami yang dalam proses rayuan.

Bayaran untuk kursus haji ialah RM60.00 seorang untuk 17 siri / minggu. Maka kos seminggu ialah RM3.50. Itu pun termasuk minum pagi. Buku panduan pula dijual dengan harga RM20.00 senaskah. Kami rasa senaskah buku sudah memadai kerana di rumah sudah ada beberapa buku panduan haji. Kursus di masjid ini bermula 15 Mac dan akan berakhir 5 Julai. Setiap ahad jam 9.30 - 11.30 pagi bagi 17 minggu tanpa henti.Saya ke Yan, Kedah pada 16 Mac dan solat di surau kaki gunung jerai dan terpampang banner kursus haji bermula 06 Mac - 31 Julai. Mungkin kursus haji di situ lebih 20 minggu.

Rata-rata peserta kursus di masjid jamek ialah golongan 50 tahun ke atas. Golongan muda hanya sekitar 10% sahaja. Mungkin kesedaran untuk menunaikan haji di kalangan muda belum tinggi. Mungkin juga persediaan kewangan mereka belum cukup.

InsyaAllah kami akan istiqamah untuk menimba ilmu haji ini sebagai persediaan awal rukun Islam ke 5 ini.

Saturday, March 14, 2009

Perancangan Kewangan Haji

Ketika saya berhasrat untuk menunaikan haji, simpanan dalam TH hanyalah sebanyak RM400.00.

Kos untuk menunaikan haji Muassasah tahun 2008 ialah lebih kurang RM9,500.00 seorang. Maka kos untuk saya dan isteri ialah sebanyak RM19,000.00. Selain itu dana tambahan hendaklah diperuntukan untuk perbelanjaan di tanah suci dan keluarga yang ditinggalkan. Mengikut kiraan saya RM2,500.00 adalah memadai untuk ditinggalkan bagi penjaga anak-anak kami nanti untuk tempoh 45 hari. Manakala bagi perbelanjaan kami pula termasuk dana dam dan belanja lain ,RM3,500.00 adalah memadai.

Jadi, jumlah yang berpatutan untuk mengerjakan haji pakej Muassasah adalah RM25,000.00 untuk 2 orang. Jumlah ini bolehlah dianggap target simpanan.

Bagaimana mengumpulkan RM25,000.00 ?

Langkah pertama yang saya buat sebelum berhasrat untuk menunaikan haji lagi ialah membuat potongan gaji bulanan ke dalam akaun TH. Ketika itu potongan gaji dibuat untuk menabung semata-mata. Saya membuat potongan sebanyak lebih kurang 10% daripada gaji saya sebulan. Dalam masa setahun setahun sebanyak 20% daripada target telah berjaya dikumpulkan.

Langkah seterusnya ialah menambahkan potongan zakat. Membuat potongan zakat yang cukup adalah amat penting kerana ia akan menyuburkan lagi rezeki yang ada.
Dan jangan lupa berbakti kepada ibubapa jika mereka masih ada. Sedikit sebanyak wang hendaklah dihulurkan untuk keperluan mereka.

Alhamdulillah, saya ada mencarum sejumlah wang setiap bulan untuk perlindungan Takaful. Kelebihan syarikat takaful ini ialah pencarum dapat mengeluarkan sebahagian wang yang terkumpul setelah beberapa tahun. Jadi saya telah mengeluarkan sebahagian wang daripada takaful ini. Pengeluaran ini juga banyak menyumbang untuk mencapai target.

Simpanan-simpanan kecil juga memainkan peranan besar untuk menyimpan. Saya peruntukkan sebanyak RM3-RM5 sehari untuk dimasukkan ke dalam tabung. Dalam masa sebulan sebanyak RM90 – RM150 dapat dikumpulkan. Dalam setahun sebanyak RM1,080 – RM1,800 dapat dikumpulkan.

Untuk mengumpul dana secukupnya saya sanggup berhenti dari membeli akhbar harian. Sejak 10 tahun yang lalu sudah menjadi kebiasaan untuk membaca akhbar The Star setiap hari. Jika satu hari tidak membaca The Star seperti ada satu perkara yang tidak kena dalam hidup. Tidak membaca akhbar tidak bermakna kita tidak peka dengan isu semasa kerana sumber di internet lebih besar dan terkini lagi. Dengan berhenti membeli dan membaca akhbar saya telah jimat RM1.20 sehari atau RM9.00 seminggu (Weekend Star = RM1.50) atau RM468 setahun. Jumlah ini boleh menampung untuk korban di Mekah nanti. InsyaAllah.

Apabila isteri saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, pendapatan keluarga kami berkurangan sebanyak 50%. Namun ianya adalah rahmat. Walaupun pendapatan berkurangan perbelanjaan seperti belanja taska, perbelanjaan makan dan minum, pengangkutan, juga menyusut. Walaupun pendapatan kurang, namun hidup kami makin mewah terutama dalam bab makan. Setiap hari dapat merasa masakan isteri yang pelbagai. Hari ini makan tomyam susu seafood, esok ikan kukus asam boi, lusa makaroni bakar, tulat entah apa lagi menu akan dihidangkan. Setiap hari dapat makan menu berbeza dengan belanja yang minimum. Kalau dulu walaupun pendapatan banyak, tapi cuma makan di kedai dan pasar malam saja. Menunya sama sahaja walaupun harga tinggi. Bukankah itu rahmat.

Dulu pinjaman rumah kami di biayai oleh isteri kerana beliau bekerja di bank. Beliau dikenakan kadar keuntungan yang rendah. Setelah berhenti saya buat pinjaman semula atas nama saya. Dulu kami bayar beberapa ribu untuk takaful mortage dan kebakaran. Setelah pinjaman lama dilangsaikan, kami boleh menuntut balik sebahagian premium takaful yang dibayar dulu. Alhamdulillah, dapat lagi 10 % dana untuk pergi haji. Perancangan takaful ini belum diajar dalam mana-mana buku perancangan kewangan InsyaAllah sehingga saya menulis buku tersebut.

Ramai yang terkejut bila saya katakan saya menunggang motor untuk ke tempat kerja.

“Cik Mi, naik motor je..!? “ tanya seorang pegawai kepada saya.
“Naik motor best, cepat, pantas dan jimat” ujar saya ringkas dan padat.
“Awak ada kereta, tapi tak ada parking kan, awak gunalah parking saya” tambah saya lagi.
“Terima kasih cik Mi” jawab pegawai itu sambil tersenyum.

Dengan menunggang motor saya jimat RM500 – RM700.00 sebulan. Saya tidak perlu berbelanja besar walaupun harga minyak dan tol naik. Duit ini dapat disalurkan untuk kegunaan lain.

Alhamdulillah dalam masa enam bulan selepas daftar haji, target telah dicapai. Sekarang perlu hadir kursus haji dan membuat rayuan haji. Apakah agaknya alasan yang sesuai dikemukakan kepada TH dalam rayuan tersebut ?

DUIT.

Al Fatihah

Hari ini,14 Mac 2009.

Hari itu, 14 Mac 2001.

Hari itu, masih ku ingat hingga ini.

Hari itu, aku kehilangan insan tercinta.

Hari itu, ayahku pergi mengadap Ilahi.

Ayah pergi dengan terlalu cepat
Belum pun dapat ku menabur bakti

Setelah dimasukkan ke hospital, doktor memberitahu , ayah boleh hidup tiga minggu lagi. Selang tiga minggu dan tiga hari, ayah pun pergi.

"Ya Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, ampunkan dosa-dosa kedua ibu-bapa kami, kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami semasa kami masih kecil. Tempatkan mereka bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin".

Monday, March 9, 2009

Basikal Untuk Haji

Pagi semalam saya berbasikal. Dari rumah rakyat Kg. Paya, Port Dickson mengelilingi Sek. Teknik PD hingga ke Alam Megah Futsal ke Dataran Segar dan mengelilinginya. Di hadapan saya sepasang suami isteri cina tua berambut perang dan berbaju biru laut juga turut berbasikal. Uniknya mereka berbasikal untuk menjaga tahap kesihatan dan juga mengutip tin-tin kosong untuk dijual (kitar semula). Setelah mengikut pasangan ini lebih kurang 3km saya kemudian berpatah balik ke Sek Teknik PD dan Kg. Paya. Kemudian menyusuri laluan kecil di hadapan surau Kg. Paya ke arah Masjid Kg. Paya dan seterusnya menyusuri anak sungai , ke arah rumah-rumah banglo , berbasikal mengelilingi kampung, melalui projek ternakan kambing yang tiada kambingnya, melalui ladang getah dan rumah-rumah kampung. Semasa hendak kembali ke rumah rakyat kg. Paya saya bertembung kembali dengan pasangan cina tadi yang pulang dengan seguni penuh tin-tin kosong. Perjalanan berbasikal pagi ini jaraknya kurang-kurang pun 8km lebih.

Hari ini saya ke kedai basikal di Kajang untuk membeli basikal baru untuk Iman. Hasilnya saya juga beli basikal untuk isteri dan juga diri-sendiri. Sekarang kami sekeluarga boleh berbasikal bersama di hujung minggu sebagai aktiviti keluarga. Berbasikal baik untuk membina stamina dan menjaga tahap kesihatan.

Pesan ustaz Meor, mutawif di Mekah. " Untuk menunaikan haji selain mengikuti kursus haji, bakal jemaah juga perlu bersenam seperti berjogging dan senaman lain". Pesanan itu masih dingati hingga kini. InsyaAllah kami sekeluarga akan mula mengikuti kursus haji pada 15 Mac 2009 ini di Masjid Jamek Kajang yang dibimbing oleh Ustaz Solehin dari Tabung Haji sebagai persiapan mengerjakan haji.

Persiapan stamina, kursus, analisa dan memperbaiki ibadah terutamanya solat dan persiapan kewangan adalah antara intipati utama dalam persiapan haji.

Semasa saya berhajat untuk menunaikan haji pada tahun lepas wang dalam simpanan di TH hanyalah RM400.00. "Macam mana nak pergi haji?, nak daftar haji pun tak cukup kerana perlukan minima RM1,300.00 dalam akaun TH" tanya saya pada diri sendiri mengenangkan duit yang terlalu sedikit pada pertengahan 2008 tu. Tiga bulan kemudian, kami berjaya mengumpulkan lebih RM2,600.00 untuk mendaftar haji bagi dua orang. Kami diberikan tahun giliran haji pada tahun 2022. "Lamanya.. 14 tahun lagi" saya mengira jumlah tahun. Masa tu dah umur 47 tahun, agak tua juga. Kami berazam untuk pergi haji lebih awal pada usia 30-an. Untuk mendapat tarbiah haji untuk kami jadikan panduan menghadapi hari-hari mendatang. Kawan kami yang baru sebulan mendaftar haji diberikan tahun giliran 2024. Sungguh ramai rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan haji. Walaupun hanya pendaftaran haji kami cuma berbeza beberapa bulan, giliran haji sudah melangkau dua tahun.

Tiga bulan selepas daftar haji, isteri saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. "Macam mana kau nak pergi haji cepat, kau sorang saja yang bekerja, mana cukup.." seorang kenalan berkata sinis. Saya hanya berdiam diri, kalau ikutkan pengiraan, memang ada benarnya kata-kata tersebut.

Tapi Allah itu Maha Berkuasa. DIA mampu melakukan apa yang dikehendakkiNya. Alhamdulillah lebih kurang enam bulan selepas daftar haji, persiapan kewangan sudah cukup untuk kami berdua. Itu pun harga muassasah tahun lepas. " Kalau harga haji naik, mungkin kami tak cukup wang lagi" ucap isteri saya kepada kenalannya. " "InsyaAllah, Allah akan cukupkan keperluan kau tu" kata kenalan itu yang juga memberi motivasi kepada kami.

"Cik Mi, ada duit jatuh dari langit ke?", tanya seorang pegawai seliaan saya kehairanan ketika saya bercerita mengenai perkara tersebut. " Tak ada pula, jawab saya sambil tersenyum. Ini adalah serba sedikit DUIT. Doa - saya berdoa supaya persiapan haji kami dipermudahkan Allah s.w.t. Usaha -Serba sedikit ilmu kewangan dipraktikkan. Saya membuat potongan gaji ke dalam TH, perancangan Takaful, simpanan-simpanan kecil, bonus, tambahkan potongan zakat, dan serba sedikit perancangan kewangan lain. Istiqamah - kami melakukan usaha ini dengan konsisten dan teratur. Tawakkal - Kami berdoa, berusaha dan istiqamah dengan doa dan usaha namun kami bertawakkal kepadaNya.

"Ya Allah permudahkan persiapan kami ini, Amin".

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Selamat Menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam. Semoga kita dipilih untuk mendapat syafaat dari Rasullullah Sallallahu 'alaihi Wassalam. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda dan kaum keluarganya.

Monday, March 2, 2009

Sumpahan

Pada awal karier kurang lebih sepuluh tahun yang lalu saya ada berkata kepada seorang penyelia stesen minyak. " Behati-hatilah, sekarang ni banyak stesen minyak kena rompak".
Selang 2 hari stesen minyak itu kena rompak.
Jika saya ke stesen minyak itu lagi, pekerja-pekerja di situ menasihatkan saya agar tidak bercakap sembarangan. " Mulut tu kau tu masin, jangan cakap bukan-bukan".
Itu sumpahan ke?

Teringat ketika makan di kedai makan MW. Masa itu baru balik dari pejabat lebih kurang pukul 10.30 malam. Dan belum makan malam. Ketika itu berdua bersama isteri. Setelah setengah jam order 2 set makanan untuk 2 orang. Pelayan menghantar hanya satu set makanan sahaja. Saya tanya " Mana satu lagi?. Dengan selamba pelayan itu menjawab " "Tadikan order satu je....". Darah menyirap. Hati pun berdetik " Kalau macam ni punya layanan, 3 bulan lagi tutuplah kedai ini.
Selang 3 bulan kemudian kedai tu pun tutup.
Itu sumpahan ke?

Teringat pula masa ambil pakaian dekat kedai dobi. "Ok ni duitnya saya bayar, baki 2ringgit ya.." ucap saya. Pekerja Indonesia di kedai itu mengambil duit tetapi tidak dapat memulangkan baki kerana tidak cekap menggunakan sistem yang serba canggih di kedai itu. "Saya belum dapat wang baki" saya ulang permintaan sekali lagi.
Pekerja itu masih gagal memulangkan duit baki. Selepas lebih 10 minit baru dapat duit baki. Hati pun berkata " Kalau nak bayar pun susah, 3 bulan lagi tutuplah kedai ni.
Selang 3 bulan kemudian kedai dobi itu pun tutup terus tak buka-buka lagi.
Itu sumpahan ke?

Teringat pula kedai yang menipu pelanggannya kerana memaparkan harga yang berbeza di menu dan mengenakan bayaran yang lebih. Sama jugak, bila hati berdetik. Kedai pun bangkrap juga.
Itu sumpahan juga ke?

Tadi hati berdetik lagi. Kali ini sebuah bank pula. Tidak mustahil 3-6 bulan lagi bank ni pun kena beli dengan bank lain. Siapa yang susah ? Pekerja bank jugak. Jaga ler pelanggan sebelum terlambat.
Sesumpah lagi?

Ini semua bukan sumpahan. Ini semua bab tak jaga pelanggan. Kalau pelanggan tak di jaga tak usahlah berniaga. Buang masa saja. Bukannya sumpahan tetapi tak dapat tanggung kos seperti sewa kedai, pekerja, dan overhead lain. Pelanggan tak datang kedai pun lingkup. Bukan sumpahan tetapi analisis kewangan sahaja.

Bab rompakan tu pula, masa tu musim tahun baru cina. Berdasarkan statistik memang banyak rompakan. Kebetulan analisis dan kebarangkalian mengena. Bukan mulut masin, kalau masin dah lama kena darah tinggi.

Sekarang ni ramai orang tak ada gaji. Kadar jenayah makin meningkat. Hati-Hati.

Sunday, March 1, 2009

Restoran Makanan Segera

Khabarnya satu outlet makanan segera terkemuka akan dibuka di kawasan kejiranan kami. Kurang lebih 300 meter sahaja daripada rumah. Kalau dah buka nanti mesti ia akan menjadi satu cabaran kepada ibu bapa untuk meneruskan boikot mereka. Cuma yang kuat sahaja boleh bertahan.

Teringat satu dialog antara anak dan bapa yang pernah didengar.

Bapa " Ayah laparlah, jom kita makan dekat restoran makanan segera tu."

Anak " Ayah ni tak tahu ke restoran tu orang Israel punya, diorang tu orang jahat!.diaorang tembak orang Palestin. Ayah nak makan kat situ ? ayah tak takut ke? Nanti diorang letak racun baru padan muka ayah".

Kadang-kadang si anak lebih mengerti..
Related Posts with Thumbnails