Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah

Setiap saat berdetik menjadi minit. Minit bertukar menjadi jam. Dari jam menjadi hari. Hari membentuk minggu. Kemudian bulan menjelma. Saat demi saat. Minit demi minit. Jam demi jam. Hari-hari kian berlalu. Kita menghampiri tahun baru. Tahun baru hijrah datang lagi.

Waktu yang sudah berlalu tidak akan datang lagi. Umpama air sungai yang mengalir. Air itu pergi dan terus pergi.

Beberapa minggu lalu saya berkeempatan mendengar kuliah daripada Tuan Guru Nik Razi Nik Mat. Seorang guru agama yang terkenal. Beliau juga adalah adik kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pesan Tuan Guru Nik Razi, " Jika kita tidak mengambil kesempatan waktu ini untuk beribadat. Belajar dan mantapkan ilmu agama kita. Melakukan ibadat ibadat wajib. Kemudiannya menambah ibadat - ibadat sunat seperti solat Tahajud, Dhuha, membaca Al-Quran , bersedekah, puasa sunat dan lain-lain..

Jika kita tidak berbuat demikian, maka amat rugi sekali. Kerana masa itu akan berlalu begitu sahaja. Dari muda kita meningkat dewasa dan akhirnya menjadi tua dan mati. Itu jika kita mati semasa tua. Bagaimana pula bila mati ketika usia muda. "

"Ambillah kesempatan masa untuk mencari sebanyak-banyak bekal untuk dibawa ke alam akhirat."

Selamat Tahun Baru Hijrah. Semoga tahun ini membawa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.

Wednesday, December 16, 2009

Menyukat Solat Diri



Saya menyapa seorang lelaki berumur kurang lebih 70 tahun di satu majlis. Kami berborak-borak kecil sambil menunggu majlis bermula. Setelah beberapa ketika, pakcik iti berbisik " Sekarang pakcik sakit. Sakit Hernia. Terasa panas sekali seumpama ekzos. Kalau kita pegang ekzos yang sedang panas begitulah rasanya. Panas!"

"Pakcik dah lama tak solat. Hampir 45 tahun pakcik tak solat. Bila sudah begitu lama kita tinggalkan, kita pun lupa... Pak cik belajar semula cara solat. " Lelaki itu meneruskan ceritanya.

Aku agak kehairanan kenapa lelaki ini bercerita begitu. Walau baru pertama kali bertemu sudah bercerita perkara yang bagi sesetengah orang seperti membuka aib sendiri. Lalu baru teringat rupanya aku sedang mengelek buku ini. Mungkin sebab buku ini pakcik itu senang berbicara mengenai solat.

Lalu aku cepat-cepat berkata "Semua orang melakukan dosa. Para Nabi juga melakukan dosa. Cuma Nabi Muhammmad S.A.W yang maksum iaitu terpelihara dari melakukan dosa. Kehebatan orang Islam bukanlah atas melakukan dosa, tetapi kehebatan kita ialah atas taubatnya"

"Pernah ada suatu riwayat yang menceritakan mengenai seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang dan ingin bertaubat. Lalu dia pergi bertemu dengan seorang yang alim. Lelaki itu bertanya kepada orang alim, jika beliau bertaubat adakah diterima Allah? Orang alim itu menjawab, tidak. Lalu lelaki ini membunuh si alim tadi menjadikannya 100 pembunuhan. Kemudiannya dia ingin bertaubat dan mendengar ada seorang yang alim yang lain yang tinggal di luar negeri tempat tinggalnya. Lelaki ini bergegas ke sana untuk berjumpa dengan si alim dan ingin bertaubat. Namun dalam perjalanan lelaki ini jatuh, lalu mati"

"Akhirnya lelaki ini diterima taubatnya kerana tempat dia mati itu lebih hampir satu kaki dengan negeri si alim berbanding tempat tinggalnya. Saya tidak pasti adakah ini riwayat yang sahih atau kisah Israiliyat. Namun kita boleh mengambil pengajaran darinya."

"Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat hambanya selagi kita tidak menyekutukannya dan selagi nyawa tidak sampai ke halkum" Aku memberi motivasi panjang lebar kepada pakcik itu.

"Bila saya solat, sakit saya berkurang. Panas nya hilang. Saya rasa lega. tetapi kena selalu solat" Pakcik itu menyambung bicara.

"Allah nak tunjuk sesuatu kepada saya. Bila rumah saya dinaiki air, tempat saya solat tidak digenangi air wlaupun tempat lain ada air. Sungguh ajaib. Allah bagi tanda.." ujar pakcik itu lagi.

Hebatnya solat!

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa pakcik ini dan terus menerus memberi hidayah kepadanya. Amin.

azemiali.blogspot.com

Megah

"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu"

" sampai kamu masuk ke dalam kubur "

"sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)"

"Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui"

"Sekali-kali tidak! Sekiranya kamu mengetahui dengan pasti"

"Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim"

"Kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan mata kepala sendiri"

"Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang megah di dunia itu)"

Ayat 1-8, Surah At-Takasur

Tuesday, December 15, 2009

Astro dan Sedekah

Teringat tazkiran Ustaz Haryanto Rizal beberapa hari lepas. Nama ustaz ini Haryanto tetapi dia bukan orang seberang, dia cuma berasal dari Selangor. Keistimewaan utama Ustaz ini ialah suara, gayanya malah doa dan kata alu-aluan saling tak tumpah seperti Ustaz Ismail Kamus. Dia juga dipanggil sebagai klon Ustaz Ismail Kamus.

Sekadar mengambil sedikit isi kuliah beliau. Kata Ustaz hampir setiap dari hadirin ada melanggan Astro. Langganan minimum Astro ialah RM38.00 sebulan. Itu langganan minimum. Sangka baik, dengan tanggapan hadirin semua langgan Astro kerana mahu menonton Oasis sahaja. Senang berselawat, senang dengar ceramah agama, senang belajar Al-Quran dan Taranum serta yang baik-baik sahaja. Bukannya melanggan untuk hiburan. Mungkin sekali-sekala tersalah saluran.

Jika kita bayar Astro RM38.00 sebulan, berapa pula kita bayar untuk sedekah jariah ? Jangan bikin malu dengar sedekah kurang dari bayar Astro...

Tuan-tuan kira sendiri, berapa sedekah tuan setiap bulan. "Amacam, ada harapan (Nak Masuk Syurga) ..?" Ustaz Haryanto bertanya sambil berseloroh.

Sedekah

" Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda ". Ayat 39, Surah Ar-Rum.

Monday, December 14, 2009

Anak Perempuan Sebagai Perisai Api Neraka

Diriwayatkan dari Aisyah ra. : seorang ibu bersama dua orang anak perempuannya menemuiku untuk meminta (sedekah), namun ia tidak menemukan apa pun padaku kecuali sebuah kurma yang kuberikan kepadanya dan ia bagi dua untuk anak-anaknya, sedangkan ia sendiri tidak memakannya, setelah itu ia pun bangun dan pergi. Kemudian Nabi Muhammad Saw menemuiku dan kuberitahu kejadian itu kepadanya. Nabi Muhammad SAW bersabda, “siapa pun yang diuji dengan anak-anak perempuannya dan ia menyenangkan mereka dengan kebajikan maka anak-anak perempuannya akan menjadi perisai mereka dari api neraka”. Hadis Sahih Al- Bukhari.

Sunday, December 13, 2009

Kaya atau Miskin?

"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan) ; dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba -tiba mereka berputus asa".

" (Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi mereka yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu megandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasan Allah) bagi orang-orang yang beriman".

"Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Surah Ar-Rum, Ayat 36 - 38.

Doa

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas". Ayat 55 - Surah Al-A'raf (Tempat Tertinggi).

Saturday, December 12, 2009

Belum Sampai Masa Lagikah..?

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka) ? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak diantaranya orang-orang yang fasik - derhaka". Ayat 16, Surah Al-Hadid (Besi)

Wednesday, December 9, 2009

Kisah Taubat Malik Bin Dinar

Ibnu Al-Jauzi meriwayatkan dalam Kitab At-Tawwabin(orang-orang yang bertaubat), daripada Malik Bin Dinar bahawa beliau ditanya mengenai sebab taubatnya, lalu beliau menjawab: “Dahulunya aku adalah seorang polis (di zamannya) dan aku pernah membeli seorang hamba wanita yang cantik. Dia amat sesuai bagiku. Lalu, dia melahirkan seorang anak untukku dan aku pun amat kasih padanya. Ketika mana dia mula berjalan, maka bertambahlah kasih sayangku buatnya dalam hatiku. Dia bermesra denganku dan aku pun bermesra dengannya. Setelah dia berumur 2 tahun, dia meninggal dunia dan kesedihannya itu pedih buatku.”
“Pada satu malam iaitu malam pertengahan bulan Syaaban, iaitu malam Jumaat. Aku terlihat di dalam mimpiku seolah-olah telah berlakunya hari kiamat. Sangkakala pun telah ditiup dan para penghuni kubur pun dibangkitkan. Lalu semua makhluk pun dihimpunkan dan aku juga bersama mereka. Maka aku pun terdengar satu pergerakan, aku memalingkan pandanganku. Tiba-tiba ianya adalah seekor ular besar berwarna hitam kebiruan. Ia telah pun membuka mulutnya dan mengejarku. Aku berlari-lari di hadapannya tergesa-gesa. Dalam perjalananku, aku berjumpa dengan seorang lelaki tua yang bersih pakaiannya serta berbau wangi. Maka aku pun memberi salam kepadanya. Dia menjawab salam kepadaku. Aku pun berkata: “Wahai lelaki tua, selamatkanlah aku dari ular ini dan semoga Allah menyelamatkanmu jua.” Lelaki itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah dan ianya (ular) pula lebih kuat dariku. Berlarilah dengan segera. Semoga Allah merupakan buatmu sesuatu yang menyelamatkanmu darinya.” Lalu, aku pantas berlalu terus ke hadapan. Lalu aku pun naik ke atas satu anjung daripada anajung-anjung hari kiamat itu. Lalu aku pun melalui di tepi beberapa tingkatan api neraka dan aku hampir-hampir terjatuh ke dalamnya disebabkan pergelutanku itu. Maka satu suara menjerit: “Berundurlah kamu! Kamu bukan daripada ahlinya.” Lalu aku berasa senang dengan kata-katanya itu dan aku pun berundur. Ular itu juga kembali mengejarku. Maka aku pun kembali semula kepada orang tua itu dan aku berkata: “Wahai orang tua! Aku sudah pun memintamu supaya menyelamatkanku dari ular itu, tapi kamu tidak melakukannya.” Lalu orang tua itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah. Tetapi, kamu berlarilah kepada bukit itu. Di sana terdapat tinggalan orang-orang Islam. Jikalau kamu ada tinggalan di sana, ianya dapat membantumu.” Aku pun melihat ke arah sebuah bukit yang dikelilingi oleh perak. Padanya terdapat lubang dindingnya yang menembusi di belakangnya, terdapat dua daun pintu diperbuat dari emas merah, diselangi dengan batu delima dan diliputi oleh permata. Pada setiap daun pintu terdapat tirai dari sutera. Setelah mana aku melihat ke arah bukit itu, aku pun berlari-lari ke arahnya dan ular itu masih di belakangku.
Sehinggalah aku mendekatinya, beberapa malaikat A.S menjerit: “Angkatlah tirai, bukalah daun pintu dan perhatikanlah!, moga-moga terdapat simpanan buat orang putus asa ini dalam kalanganmu semua yang dapat menyelamatkannya dari musuhnya itu.” Setelah mana dibuka daun-daun pintu itu dan mereka memerhatikanku, aku dapati ramai kanak-kanak seumpama bulan-bulan. Ular itu pun mendekatiku dan aku tercengang. Beberapa orang dari kanak-kanak itu menjerit: “Dengarlah kamu semua! Kesemua kamu perhatikannya! Musuhnya telah pun menghampirinya.” Mereka itu pun datang memerhatikan sekumpulan demi sekumpulan. Tiba-tiba anak perempuanku memerhatikan aku, menangis dan berkata: “Demi Allah ini adalah ayahku!” Lalu dia pun melompat kepadaku dalam satu bekas diperbuat dari cahaya jalan seperti anak panah sehinggalah dia berada di sisiku. Dia pun menghulurkan tangan kirinya ke arah tangan kiriku. Maka aku pun berpaut kepadanya. Dia juga menghulurkan tangan kanannya ke arah ular itu sehinggalah ia melarikan diri. Kemudiannya, anakku itu meletakkan aku dan dia duduk dalam pangkuanku. Dia meletakkan tangan kanannya ke atas janggutku sambil berkata: Wahai ayahku!
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah?”(Surah Al-Hadid: 16).
Lalu aku pun menangis dan berkata: “Wahai anakku! Kamu semua tahu tentang Al-Quran?” Maka dia pun berkata: “Wahai ayahku! Kami semua lebih mengetahui tentangnya berbanding kamu semua.” Aku berkata: “Beritahulah kepadaku tentang si ular yang hendak membinasakanku itu.” Si anak itu menjawab: “Itulah amalan burukmu yang telah engkau menguatkannya. Ianya hendak menghumbankanmu ke dalam neraka Jahannam.” Aku bertanya: “Lelaki tua yang aku berjumpa dengannya itu?” Dia menjawab: “Itulah amalan solehmu yang engkau telah melemahkannya sehingga ianya tidak lagi mampu mengalahkan amalanmu yang buruk itu.” Maka aku pun berkata: “Wahai anakku, apakah yang kamu semua lakukan di bukit ini?” Dia menjawab: “Kanak-kanak orang Islam telah tinggal di dalamnya sehinggalah ke hari kiamat. Kami pula menantikan kamu semua datang kepada kami, maka kami dapat membantu kamu semua.” Malik bin Dinar pun berkata: “Maka aku pun terjaga dalam keadaan takut dan gementar. Maka aku pun memecahkan kesemua alat-alat yang digunakan dalam menentang Allah. Aku juga telah meninggalkan kesemua itu. Aku jua telah mengikatkan taubatku dengan Allah Taala, iaitu Taubat Nasuha. Maka Allah pun menerima taubatku itu.”

azemiali.blogspot.com

dipetik daripada razzyy.com

Tuesday, December 1, 2009

Tom Dalam kenangan



Kami mengenali Tom kurang lebih setahun yang lalu. Waktu itu seorang jiran telah berpindah dan meninggalkan Tom. Waktu itu Tom hanya seekor kucing biasa. Tiada nama. Namanya hanya diberi setelah sekian lama kami mengenalinya. Dari rumah ke rumah ia  merayau meminta makanan. Waktu itu ada beberapa rumah yang kerap dikunjunginya kerana mungkin senang mendapat makanan termasuklah rumah kami.

Waktu itu jika ke rumah kami, Tom akan disajikan dengan sisa-sisa makanan kami. Ada kalanya tiada makanan yang sesuai untuk diberi. Lalu kami membeli makanan kucing di kedai runcit dan kemudiannya di pasaraya sebagai makanan jika Tom datang berkunjung. Hubungan kami dan Tom semakin hari semakin mesra. Jika kami keluar dan pulang ke rumah, Tom akan berlari-lari sekuat hati jika ternampak kereta kami. Seronok melihat Tom berlari-lari mengejar kereta kami. Setelah pintu pagar di buka, Tom akan berbaring di porch dengan manja. Keadaan ini berterusan hingga beberapa bulan. Kami dan Tom Semakin mesra.


Hinggalah ke suatu hari pada awal Julai 2009. Tom kemalangan. Saya terlanggar Tom dengan kereta. Waktu itu kaki saya patah. Agak sukar untuk mengendalikan kereta dengan keadaan sedemikian. Bila melihat kereta Tom akan berbaring di hadapan (di porch). Entah kenapa hari itu Tom tidak lari dari Porch seeprti hari hari lain. Baca kisah selanjutnya di sini  http://azemiali.blogspot.com/2009/07/tom.html



 
 

Tom dan anak-anaknya sudah mati. Mereka pergi dengan mengejut. Tommy mati pada 24 Nov 2009.Tom pada pagi 25 Nov 2009. Kedua-duanya bersemadi di Kajang. Timmy dan Tikki pula kami sempat bawa berjumpa doktor dan membawa pulang ke Terengganu. Namun Tikki bersemadi di perhentian Gambang pada petang 25 Nov 2009. Timmy pula yang terakhir mati pada pagi 26 Nov 2009.

Terfikir pula, adakah kucing-kucing ini diracuni. Lebih lebih lagi ada dua lagi ekor kucing mati di dua rumah jiran. Jiran-jiran juga mengatakan kemungkinan mereka diracuni. Misteri ini terjawab apabila Doktor Fethri memaklumkan ada virus yang menyerang dan menyebabkan kematian kucing secara tiba-tiba dalam waktu yang singkat. Doktor itu menyatakan tiada vaksin untuk virus ini.

Pertemuan singkat dengan Tom dan anak-anaknya banyak mengajar kami. Teringat Tom yang mengejutkan kami jam 4.30 pagi ketika ia sakit. Mengiau dengan perlahan namun cukup untuk mengejutkan kami. Mungkin mengejutkan kami agar bangun untuk Tahajud. Istimewanya kucing ini. Makhluk ciptaan Ilahi.

Bila matinya seekor kucing, maka episod hidupnya telah tamat. Berbeza dengan kematian seorang anak Adam. Perjalanan selepas kematian itu masih jauh....




Gambar bawah Timmy, Tommy dan Tikki.


Gadis kecil ini mengidap asma dan hobinya setiap hari ialah mendukung Tom dan anak-anaknya. Jika di google kaitan kucing dan asma, maka kucing akan dipersalahkan. Kucing kan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Kenapa takut? Pasti ada kelebihan si kucing. Kaitan yang mengatakan kucing penyebab asma mungkin datang dari ilmu Yahudi. Ingin menjauhkan kucing dari umat Islam.

Alhamdulillah keadaan asma si kecil ini bertambah baik dengan kehadiran Tom.


Monday, November 16, 2009

Hujan


Gambar Masjidil Haram ketika hujan. Oktober 2009. Gambar diambil daripada  blog saudara Azli.

Ketika posting ini ditulis, hujan turun mencurah-curah. Hujan adalah rahmat dari Allah SWT. Allah menurunkan rezeki melalui hujan. Selepas hujan suasana amat nyaman. Hujan turun membersihkan alam.

Di dalam buku Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin menulis mengenai seorang saintis membuat kajian mengenai jumlah hujan yang turun di seluruh dunia.  Saintis ini mendapati jumlah hujan yang turun adalah konsisten setiap tahun. Ini adalah selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 11.

"Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dengan sukatan tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itu pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur "
Cuma yang berbeza ialah tempat diturunkan hujan itu. Sesebuah tempat ada yang diturunkan banyak hujan dan ada juga yang sedikit.

 "Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakkiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, mereka serta merta bergembira" Surah ar-Rum ayat 48.

Menerusi blog seorang sahabat iaitu saudar Azli yang bekerja di kota suci Mekah saya mendapati sudah 3 kali hujan turun pada musim haji tahun ini. Hujan amat jarang turun di Mekah. Di sana tiada longkang kerana ianya tidak perlu sebab hujan amat jarang turun. Jika hujan lebat turun banjir boleh berlaku di Mekah kerana tiada longkang yang mengalirkan air.

Tahun ini kita dikejutkan dengan wabak H1N1. Saya ada terbaca di akhbar yang haji tahun ini akan dibatalkan kerana wabak H1N1. Mungkin yang menulis itu bukan seorang Islam. Suasana di Mekah juga sedikit berhabuk kerana kerja-kerja pembinaan hotel-hotel baru giat dijalankan. Kerja hanya berhenti bila musim haji bermula.

Para jemaah haji adalah tetamu Allah SWT. Allah SWT akan menyambut para tetamunya dengan cara yang terbaik.  Hujan adalah rahmat dari Allah SWT. Allah menurunkan rezeki melalui hujan. Selepas hujan suasana amat nyaman. Hujan turun membersihkan alam. Saya terfikir, Allah SWT menurunkan hujan di Mekah untuk membersihkan habuk-habuk pembinaan dan juga menghapuskan virus H1N1 di sana agar para tetamuNya dapat beribadah dan ditarbiah sebaik mungkin.

Mungkin ada yang berfikir tidak logik hujan boleh menghapuskan H1N1. Namun saya amat yakin Allah Maha Berkuasa.

Saturday, November 14, 2009

Bagaimana saya berjanggut ?

Sudah beberapa ketika blog ini tidak dikemaskini. Ada beberapa idea dan maklumat yang ingin dikongsi tetapi keutamaan dan masa ditumpukan kepada perkara yang lebih penting. Ada yang lebih penting dari blogging.

Catatan dibawah adalah siaran ulangan bagi posting -posting terdahulu blog ini. Mungkin belum dibaca oleh kawan-kawan di Facebook.

Moga ada manfaat.

................................

"Mi, kau nampak lainlah.." ujar kawan saya..
"lain sikit saja" balas saya

"Wah, janggut makin panjanglah.." usik kawan yang lain
"Ada kelebihannya" jawab saya dengan ringkas

"Adik aku ni dah jadi macam orang dakwahlah" ucap kakak saya ketika bertemu di Kajang tempoh hari.
Saya cuma tersenyum.

Semua perbualan di atas adalah kerana saya baru berjanggut. Baru menyimpan janggut. Kurang lebih 3 bulan.

Bagaimana akhirnya saya berjanggut? Simpan janggut - satu Sunnah.

Pulang dari tanah suci Jun lepas, saya terlintas untuk mencukur misai yang agak tebal (lebih belasan tahun disimpan dan ditrim) dan menyimpan janggut. Lalu saya berbuat demikian.

Alhamdulillah, Allah telah temukan saya satu kelebihan menyimpan janggut. Saya mengidap "mild sinusitis" - belum resdung lagi. Setiap pagi biasanya terbersin beberapa kali dan hidung selalu tersumbat. Dan disebelah malam hidung merasa sesak, tersumbat dan lebih-lebih lagi ketika cuaca sejuk terasa agak sukar untuk bernafas dengan nyaman.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Setelah menyimpan janggut dan mencukur misai, masalah "sinusitis" saya telah hilang sama sekali. Kini tiada lagi bersin di sebelah pagi dan hidung tersumbat. Boleh bernafas dengan nyaman.

Mungkin itu salah satu dari banyak kebaikan berjanggut atau melakukan perkara sunat yang lain. Selain mendapat pahala ia juga satu rahmat kepada umat Islam.

Saya terbaca sepotong hadis yang disebutkan oleh Ibnu Umar R.A., Rasulullah S.A.W bersabda,
"Janganlah kalian menyamai orang-orang musyrik. Panjangkan janggut dan cukurlah misai." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya yakin setiap apa yang diwajibkan, disunatkan, diharuskan mahupun diharamkan dalam Islam itu ada kelebihannya untuk umat Islam.

Sama-samalah kita mencari...  mencari keredhaanNya.

Wednesday, October 28, 2009

Ustaz Ismail Kamus

Ketika Zuhur tadi di pejabat saya sempat mendengar kuliah yang di sampaikan oleh Ustaz Dato' Ismail Kamus. Sudah setahun lebih tidak mendengar kuliah beliau. Kali terakhir menemui beliau ialah di sebuah surau di Kajang.Peluang untuk menemui ustaz-ustaz yang ternama dan tinggi ilmunya agak terbatas. Kami tidak akan mensia-siakan peluang untuk mengikuti kulaih beliau. Saya ada membuat sedikit catatan mengenai kuliah ini. Sebelum saya terlupa mengenai apa yang disampaikan, saya rasa adalah lebih baik saya mencatatkannya di sini.

Antara perkara yang sempat dikupas oleh Ustaz Ismail kamus ialah pada waktu dahulu Khalifah Umar bin Abdul Aziz menangis berhari-hari kerana dilantik menjadi khalifah. Khalifah Umar bimbang sekiranya tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Secara berseloroh ustaz menayatkan orang sekarang menangis berhari-hari pula kerana tidak dilantik menjadi pemimpin.

Ustaz juga menyentuh tentang kenapa Acheh dan Padang yang terdapat ramai ulamak diturunkan bala oleh Allah SWT. Menurut ustaz, ulamak di sana banyak menyeru ke arah kebaikan tetapi kurang mencegah kemungkaran. Di sesetengah tempat pula maksiat berleluasa. Arak dijual merata-rata hingga di warung di tepi jalan oleh orang Islam. Di sesetengah tempat pula jika berlaku kematian dan tiada kenderaan dan atau susah mayat hendak diusung, mayat akan dipuja agar berjalan sendiri ke kubur. Mayat tidak bercakap, cuma berjalan ke kubur dan masuk ke kubur sendiri. Fakta ini amat memeranjatkan saya.

Kemudian Ustaz  menerangkan empat perkara yang mesti dilakukan oleh orang yang berakal.

1. Bermunajat kepada Allah SWT iaitu ibadah, berbisik, merintih untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kita seharusnya mengurangkn tidur dan banyak ibadah. Tidur itu ialah mati sementara manakala kematian pula ialah tidur untuk selamanya. Sebagai contoh jika seseorang itu hidup selama 60 tahun dan beliau tidur selama 8 jam sehari, ini bermakna orang itu tidur selama 20 tahun di sepanajng hayatnya. Tidur sepatutnya di kurangkan kepada hanay 4-5 sejam sehari. Banyak ibadah terutamanya yang sunat seperti solat Tahajud.

2. Muhasabah diri iaitu merenung dan menganalisis apa yang telah dilakukan sepanjang kehidupan. Jika sebelum ini kita banyak meninggalkan solat ataupun puasa hendaklah diqadha. Al Quran hendaklah di baca setiap hari. Dan bagi mereka yang mahir hendaklah membaca sekurang-kurangnya 100 ayat sehari. Jika tidak berbuat demikian ia adalah menzalimi diri sendiri. Jangan tunggu masa lapang tetapi kita lah ayang melapangkan masa tersebut.

3. Merenung ciptaan Allah SWT. Perhatikan  kepada ciptaan Allah. Ia akan dapat menambahkan iman kita. Perhatikan kepada kejadians emu contohnya. Makhluk kecil yang hebat di cipta oleh Allah. Perhatikan, walaupun kecil semut itu amat luarbiasa, kuat bekerja dan tidak menggangu semut yang lain. Jika diperhatikan kepada penyu yang baru menetas, anak penyu ini akan bergerak ke laut dan bukannya ke daratan. Bagaimana anak-anak penyu ini tahu walaupun tidak menggunakan GPS? Itulah kekuasaan Allah. Lihat juga bagaimana Allah mencipta manusia. Jiak diperhalusi dan dikaji, ia akan dapat menambah iman kita.

4. Mencari Nafkah yang halal. Adalah menjadi tanggungjawab setiap lelaki bagi mencari nafkah yang halal bagi keluarganya. Sedekah yang paling afdal ialah memberi makan kepada keluarga sendiri. Ianya diberi 900 kali ganda pahala manakala sedekah kepada orang lain hanya diberi 700 kali ganda pahala.

Pesan orang yang berilmu. Hadirilah majlis ilmu kerana ilmu akan menambahkan iman.

Monday, October 26, 2009

Haji 2009 vs Umrah 2008


Jemaah Umrah dari Terengganu 2008

Jemaah Haji Malaysia mula membanjiri Madinah Munawwarah dan dijangka akan tiba ke Mekah Mukarramah pada 29 Okt 2009 nanti.


Masjid Nabawi


Masjid Quba


Bukit Uhud. Pemandangan dari Bukit Rummah (Pemanah)



Orang kampung, Pak Su Him yang ditemui di Miqat Ja'ranah .



Mentari pagi di Mekah.



Hasrat kami untuk menunaikan haji pada tahun ini tidak tercapai. InsyaAllah ianya akan tercapai pada masa akan datang.

Thursday, October 22, 2009

Gunners Dalam Kenangan




Saya adalah seorang peminat bolasepak. Saya meminati pasukan bolasepak Arsenal dalam Liga Inggeris (BPL). Arsenal adalah sebuah kelab yang telah diasaskan pada tahun 1903 di London oleh sekumpulan pekerja kilang. Lambang Arsenal ialah meriam atau juga dikenali sebagai "The Gunners".
Saya telah lama meminati pasukan ini. Saban minggu saya meluangkan masa lebih kurang 2 jam untuk menonton pasukan kesayangan saya beraksi dalam BPL pada hujung minggu. Pada hari bekerja pula saya sanggup bangun jam 3 pagi semata-mata untuk menonton pasukan ini beraksi dalam Champions League.
Peminat-peminat bolasepak nuetral juga sukakan Arsenal kerana corak passing dan menyerangnya yang pantas dan menghiburkan. Walaupun mempunyai bajet yang ketat dan terhad, pasukan ini berjaya bersaing dengan pasukan-pasukan lain di Eropah. Pasukan ini tidak pernah berbelanja besar untuk membeli pemain. Sebaliknya, hanya berbelanja untuk membeli pemain muda dan kemudiannya di asuh menjadi pemian bolasepak ternama.
Kejayaan terindah Arsenal ialah pada musim 2004 bila menjuarai BPL tanpa kalah sekalipun dalam 38 perlawanan liga. Pasukan itu digelar "The Invincibles".
Pemain yang terhebat Arsenal pernah beraksi bersama Arsenal ialah Thierry Henry. Beliau diundi sebagai pemain terbaik Arsenal sepanjang zaman. Beliau juga memegang rekod pemain yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah Arsenal dengan 214 gol.
Sekarang pemain Arsenal yang paling berpengaruh ialah Cesc Fabregas.Pemain berusia 21 tahun berasal dari Sepanyol. Beliau telah lima tahun bermain untuk pasukan ini sejak berusia 16 tahun.
Menonton bolasepak memang menghiburkan. Dan juga melalaikan. Bukanlah menjadi keutamaan seorang Islam untuk menonton bolasepak. Keutamaan seorang Islam adalah untuk beribadah kepada Allah. Saya sudah lama tahu yang sukan dan hiburan adalah sebahagian dari protokol Yahudi untuk melalaikan umat Islam tapi saya hanyut dalam arus kelalaian.
Mulai hari ini saya akan tinggalkan bolasepak. Selamat Tinggal Arsenal. Mungkin peminat Man United gembira bila seorang lawan ketat mereka telah tiada. Bolasepak dan hiburan bukan lagi keutamaan dalam hidup saya. Semoga Allah menetapkan pendirian saya ini. Masa yang selama ini dihabiskan untuk menonton bolasepak dan melayari lawan web berkenaan bolasepak akan digunakan untuk aktiviti yang lebih produktif seperti membaca Al-Quran dan membaca buku.Saya telah tamatkan saluran sukan Astro. Kalau ikutkan hati nak tamatkan semuanya tapi bila kenangkan saluran Astro Oasis saya kekalkan juga basic package kerana banyak yang boleh saya belajar melalui saluran Astro Oasis seperti rancangan Kalam Suci dan Jemputan Umrah.
Selamat Tinggal Gunners.

Pertama kali diterbitkan pada 27 Okt 2008

Wednesday, October 21, 2009

Bonus




Musim bonus tiba kembali.Kerajaan telah mengumumkan bonus begitu juga syarikat swasta. Terkenang kisah isteri saya mengenai bonus tahun lepas.
Ketika itu di tempat kerja isteri saya, bossnya telah berjanji akan memberi bonus besar. Beliau begitu percaya dengan janji itu. Bonus besar menjadi impian.
Bila tiba hari bonus, beliau amat kecewa kerana janji hanya tinggal janji. Bonus besar tidak diberi.Sudahlah janji tidak ditepati, bonus beliau terima juga paling rendah dalam history. Pegawai lain dapat bonus besar seperti dijanji.Beliau amat kecewa, sedih, tertekan, bersangka buruk, menyalahkan nasib dan fikiran bercelaru. Hari menjadi kelam, rasa kecewa dan marah menyelubungi keadaan.Kalau ikutkan pengiraan bonusnya kurang RM8,000.00.

Hari itu beliau sempat juga ke kuliah zohor. Seorang Ustaz mengajarkan sepotong doa yang diamalkan oleh Ummu Salamah ketika kematian suaminya, yang bermaksud :
"Ya Allah Ya Tuhanku, Kurniakanlah kepadaku ketabahan di atas musibah yang menimpa ke atas diriku dan gantikanlah yang terbaik bagiku selepas ini".
Beliau membaca doa itu saban hari dan waktu untuk menenangkan fikiran. Namun rasa kecewa dan marah masih menguasai diri. Hampir sebulan perasaan kecewa dan marah ini menghuni sanubari. Saban waktu di rumah dan pejabat topik bonus menjadi rungutan.
Hingga suatu hari di satu kuliah zohor yang lain, seorang Ustaz bercerita mengenai kisah semut dan Nabi Sulaiman A.S. Semut pun tidak percayakan janji manusia kerana semut yakin rezeki bukan ditentukan manusia tetapi ditentukan Allah.
Isteri saya tersedar. Rezeki bukan boss yang tentukan tetapi semuanya ditentukan Allah.Kini dia redha dengan ketentuanNya.

Masa berlalu. Lebih kurang tujuh bulan kemudian, isteri saya menerima satu emel dari syarikat. Satu kejutan. Tak disangka-sangka. Beliau mendapat kad jemputan menjadi tetamu Allah (umrah)bernilai RM8,000.00. Beliau memenangi satu kempen promosi.Hasil usaha beliau mempromosi produk syarikat tahun lalu. Kalau ikutkan logik akal agak sukar untuk menang kempen ini kerana saingan yang amat sengit.Namun rezeki ditentukan Allah.

Rupa-rupanya rezekinya memang ada. Cuma Allah simpan seketika. Jikalau RM8,000.00 itu diterima 7 bulan sebelumnya pasti LCD TV dan Home Theatre menjadi sasaran.Itulah yang diangan-angankannya apabila boss membuat janji. Namun Allah itu Maha Pengasih lagi maha Penyayang, RM8,000.00 itu menjadi perantaraan untuk pengajaran yang tak terperi di bumi Ilahi. Hasil perjalanan Umrah itu masih terasa hingga kini. Kami dijemput menjadi tetamu Allah walaupun wang simpanan dan ilmu memang tidak mencukupi.

Kini musim bonus datang lagi, kali ini beliau redha. Tidak mengharapkan janji manusia, kerana manusia memang suka berjanji dan suka pula memungkiri. Rezeki kecil atau besar semuanya Allah yang tentukan.

Pertama kali diterbitkan pada 19 Sep 2008.

Monday, October 19, 2009

Panggilan Haji




Panggilan Haji telah tiba lagi. Jemaah Malaysia akan mula berangkat menunaikan haji  mulai esok, 20 Okt 2009. Kebiasaannya rakyat Malaysia menunaikan haji pada usia yang lanjut. Salah satu faktor mengapa ianya menjadi demikian ialah faktor kewangan. Jika orang miskin menunaikan haji pada usia tua ia adalah lumrah kemudian. Namun orang kaya juga lambat menunaikan haji. Ia sesuatu yang membimbangkan.

Kenapa mahu pergi menunaikan haji pada usia muda? Haji adalah tarbiah. Haji adalah pendidikan daripada Allah SWT. Muslim yang mendapat tarbiah haji akan menggunakan didikan itu agar dapat digunakan sepanjang hidupnya. Itulah falsafah haji.

Saya ingin menunaikan haji pada usia muda. Saya membuat pendaftaran haji pada tahun 2008. Tahun giliran ialah 2022. Jika menunaikan haji pada masa itu, tidak muda lagi.  Saya dan isteri membuat rayuan namun agak sukar mendapat tempat kerana tiada merit. Keutamaan diberikan kepada warga emas iaiatu golongan 70 tahun ke atas. Sepasang suami isteri kawan sebaya kami mendapat jemputan daripada Allah SWT untuk haji tahun ini. Mereka membuat pendaftaran pada tahun 1999.

Sebelum ini, saya tidak langsung menghiraukan mengenai haji. Hidayah untuk menunaikan haji hanya dirasakan setelah pulang dari mengerjakan umrah pada Mei 2008. Sebelum itu niat untuk mengerjakan umrah juga tiada. Jika begitu bagaimana kami ke sana?

Ianya bermula apabaila isteri saya meminta saya menolongnya memasarkan kad kredit bank Islam. Pada ketika itu beliau bertugas di sebuah bank. Ianya satu program promosi. Sepuluh pegawai bank yang memasarkan kredit kad terbanyak dengan syarat terdapat sekurang-kurangnya satu kad Platinum akan memenangi pakej umrah. Setiap kelulusan kad juga diberikan ganjaran mengikut kategori sama ada kad klasik, emas atau platinum.

Berbekalkan pengalaman pemasaran dalam MLM saya memulakan kempen pemasaran secara tersusun. Isteri saya juga berbuat demikian. Kami dapat memasarkan banyak kad.

Setelah beberapa bulan, isteri sya memberitahu yang beliau memenangi pakej umrah bernilai RM8,000.00. Reaksi pertama saya ialah " Kita jual sahajalah pakej umrah ini, jka dapat RM4,000 pun banyak juga" saya memberi cadangan kepada isteri. Beliau juga kelihatan belum bersedia untuk ke tanah suci.

Kemudian saya bercerita mengenai pakej ini kepada pegawai atasan saya. Saya menyatakan yang belum bersedia untuk ke sana. Beliau pula bercerita yang beliau ingin benar ke tanah suci cuma belum berpeluang ke sana. Dengan izin Allah saya terbuka hati untuk mengerjakan umrah. Akhirnya dengan persiapan yang serba ringkas, kami berlepas ke Tanah Suci.

Alhamdulillah di dalam kumpulan kami ada ramai orang-orang yang alim yang membantu kami mengerjakan ubadat umrah. Antaranya Tuan Haji Ramlandan Tuan Haji Halim. Mereka banyak membantu kami. Ibadah umrah memberi tarbiah kepada kami. Bumi Mekah dan Madinah begitu ajaib. Allah memperkenankan doa hambanya di sana. Hidayah datang mencurah-curah.

Pengalaman umrah ini begitu hebat. Ia sebati di dalam hati kami. Ia umpama latihan. Ianya lebih dari latihan kerana ia adalah tarbiah dari Allah SWT. Jika kita menghadiri / mendengar sesi motivasi contohnya Dr. Fadzilah Kamsah kita akan rasa teruja dan bersemangat untuk berubah ke arah yang lebih baik . Begitu juga umrah, tetapi semangat  dan keterujaannya adalah lebih hebat lagi kerana ia adalah didikan dari Allah SWT.

Setelah mengalami pengalaman umrah yang hebat, kami fikir pengalaman haji pasti lebih hebat. Baca sahaja kisah Travelog Haji oleh prof. MKI dan Haji Muda oleh Dr. Ridzwan Bakar. hebat tarbiah haji yang mereka alami. Membaca pengalama mereka sudah hebat, merasainya "first hand" pasti lebih hebat. Setelah pulang dari umrah kami mendaftar untuk menunaikan haji di Tabung Haji. Kami juga berjaya memujuk ramai kawan agar mereka membuat pendafatran haji. Sudahkah anda mendaftar?

Tarbiah haji inilah yang kami dambakan untuk menjadi panduan menyusuri saki baki hidup kami. Agar hidup dan mati kami mendapat keredhaan Allah SWT.


"Ya Allah permudahkanlah segala persiapan kami untuk menunaikan haji. Jemputlah kami sebagai tetamu istimewa Mu. Amin. "

Tom dan Hidayah


Entri kali ini bermula mengenai kucing lagi. Tom si kucing. Tom sudah selamat melahirkan 3 anak kucing yang comel pada 10.10.2009. Tommy, Timmy dan Tikki anaknya diberi nama oleh anak-anak saya. Keesokkan harinya, saya agak terkejut kerana ada  lima ekor kucing. Bagaimana boleh jadi begitu? Adakah kucing boleh melahirkan anak dalam selang masa ?

Kemudiannya saya mendapat tahu yang 2 ekor anak kucing tambahan itu ialah kepunyaan jiran. Dinamakan Ana dan Ani. Jiran meminta tolong Tom menyusukan kedua-anak kucing tadi. Saya tidak pasti adakah jiran itu meminta izin dari Tom atau tuan Tom. Itu tidak penting. Yang pentingnya Ana dan Ani sudah dibuang oleh tuan ibunya. Kucing tidak akan membuang anak tetapi manusia bertindak demikian.  Ana dan Ani perlukan susu. Jadi Tom menjadi ibu susuan kepada mereka. Boleh kah?




Saya pernah membaca mengenai sirah Nabi. Baginda ada ibu susuan iaitu Halimah binti Abu Zuaib as-Sa'diah atau lebih dikenali sebagai Halimatul Sa'diah. Orang Arab pada masa itu menghantar anak-anak mereka ke padang pasir sejak lahir hingga beberapa tahun agar anak mereka membesar menjadi orang yang kuat dan cergas seperti Arab Badwi.

Berbalik kepada Tom. SubhanAllah! Maha Suci Allah. Tom menyusukan anak susuannya. Itulah kelebihan haiwan. Tom tahu Ana dan Ani bukanlah anaknya tetapi Tom dikurniakan naluri kehaiwanan oleh Allah. Tom mendapat Hidayah. Hidayah Tabii.



Hidayah boleh dibahagikan kepada 5 kategori iaitu Hidayah Tabii, Hidayah Hawasi, Hidayah Akal, Hidayah Agama (Islam) dan Hidayah Taufik.

Hidayah Tabii diberi secara semulajadi kepada makhluk. Tanpa diajar bayi pandai menghisap susu daripada ibu. begitu juga anak haiwan. Penyu pula setelah menetas akan berenang ke laut dan ke daratan. Macam mana anak penyu itu tahu? Itulah Hidayah Tabii yang dikurniakan oleh Allah.

Hidayah hawasi pula ialah pancaindera yang ada pada manusia. Contohnya mata boleh melihat. Namun ianya adalah terbatas. Mata hanaya dapat melihat apa yang nyata sahaja. Manusia dan haiwan boleh melihat.

Untuk menjawab apa yang tidak boleh dilihat oleh mata, Hidayah Akal memainkan peranan. Apa yang tidak dilihat oleh mata dapat dijangkau oleh pemikiran. Hanya manusia yang diberikan akal.

Pemikiran tanpa panduan akan membawa kepada kesesatan. Oleh itu hidayah agama Islam amat penting untuk membimbing umat manusia. Pada peringkat ini hanya manusia yang terpilih sahaja diberikan Hidayah Islam.

Bersyukurlah kerana kita diberikan hidayah sebagai seorang Islam. Hidayah Islam semata-mata belum  menjamin keselamatan dan kejayaan duania akhirat. Islam dirosakkan oleh orang Islam sendiri. Orang Islam yang tidak solat meruntuhkan agama Islam. Masuklah Islam secara sepenuhnya Hidayah Islam sahaja belum menjamin kejayaan dunia dan akhirat. Orang Islam yang berjaya ialah yang bertakwa. Untuk bertakwa manusia perlukan Hidayah Taufik.

Seseorang itu telah mendapat taufik dan hidayah apabila hidupnya selaras dengan  kehendak Allah SWT. Dengan hidayah ini barulah Islam dapat diamalkan secara menyeluruh dalam hidup seseorang Muslim. Muslim yang dapat hidayah taufik mampu memahami ilmu, melakukan ketaatan, membenci dosa, menikmati kemanisan beramal dan mendapat pertolongan dan bantuan Allah SWT.

Di tahap manakah tahap hidayah kita?

Wednesday, October 14, 2009

Tom Dah Bersalin

Ingin tahu kisah Tom sila klik di sinihttp://azemiali.blogspot.com/2009/07/tom.html dan juga di sinihttp://azemiali.blogspot.com/2009/07/tom-tom-bak.html Sekarang Tom sudah menjadi ibu kepada tiga anak yang comel.


Gambar ekslusif anak-anak Tom yang belum diberi nama. Tarikh lahir 10.10.2009.

Tuesday, October 13, 2009

NAC 2009


Alhamdulillah, hari ini saya selesai menghadiri Persidangan Akauntan Kebangsaan 2009 atau NAC 2009 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Persidangan agak bersambung sehari lagi esok. Persidangan tahun ini agak kecil berbanding tahun lepas. Secara kasar mungkin para delegasi telah berkurang. Tahun lepas 6,000 akauntan menghadirinya di tempat yang sama. Mungkin tahun ini sekitar 4,000 sahaja yang hadir. Mungkin ini adalah akibat langsung dari kemelesatan ekonomi.


Tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya, acara perasmian dan sesi plenary diadakan di Plenary Hall atau Auditorium kali ini ia hanya diadakan di Conference Hall. Suasananya agak kurang "feel" kerana tempat duduk yang sama rata berbanding auditorium. Sebelum hadir conference, saya bercadang untuk mengambil gambar dari auditorium tetapi hasrat itu tidak tercapai.


 Gambar bangunan sebelah.



Gambar yang paling menarik. tempat wuduk portable yang disediakan oleh penganjur MIA/KLCC. Tahun lepas delegates terpaksa ambil wuduk di surau yang sempit. Tahun ini pengajur patut dipuji kerana usaha ini.


Ruang solat tambahan yang selesa.


Antara delegates yang hadir. Akauntan juga berjanggut panjang dan berkopiah. Kenalan baru dari Shah Alam. Seorang yang hebat. Bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D.



Sunday, October 4, 2009

4 Open Houses and a Funeral

Hari ini kami mendapat beberapa jemputan rumah terbuka aidilfitri. Sudah menjadi adat moden bagi warga kota membuat rumah terbuka. Konsep rumah terbuka ini amat baik sekali untuk merapatkan ukhwah di kalangan saudara mara, sahabat handai dan jiran-jiran. Pada waktu inilah dapat berjumpa dan bersua muka dengan sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Cuma kerana faktor lokasi, masa dan kesesakan lalu lintas kadang kala agak memeningkan kepala bagi memilih rumah terbuka mana yang perlu dihadiri. Kami sekeluarga mendapat beberapa jemputan untuk hadir rumah terbuka hari ini. Ada juga perkahwinan anak tokoh agama yang terkenal. Atas beberapa faktor kami dapat hadir 4 buah rumah terbuka sahaja.

Pada sebelah pagi kami berada di rumah. Selepas zuhur kami pergi hadir rumah jiran yang rapat. Berlainan blok tetapi hubungan kami semakin erat kerana kami selalu ada aktiviti bersama seperti futsal bagi lelaki dan aktiviti menjahit dan memasak bagi wanita. Kami berada di rumahitu sehingga waktu Asar. Pada waktu Asar saya sempat ke Surau Jenaris dan agak terkejut melihat ramai orang di surau. Walaupun jemaah di surau ini selalunya ramai tetapi tidaklah seramai ini. Rombongan dari mana ini agaknya, fikir saya. Kelihatan ramai pelajar sekolah memakai baju batik. Ketika itu

Bila masuk ke ruang solat kelihatan sekujur jenazah terbaring di saf belakang. Rupa-rupanya ada kematian. Selepas solat Asar, solat jenazah diadakan. Kemudian saya mendapat tahu si mati ialah salah seorang jemaah surau. Usianya baru 48 tahun. Meninggalkan 5 anak kandung dan seorang anak angkat. Anak sulung beliau berusia 12 tahun. Isteri beliau seorang guru. Beliau diserang strok dan meninggal dunia selepas 2 hari koma. Beliau seoarng yang baik. Saya sering melihat beliau di surau.

Saya mengambil kesempatan untuk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dan berada di sana hingga selesai pengebumian.  Melihat jenazah dikebumi dan mendengar talkin sebagi iktibar untuk orang yang masih hidup. Selepas pulang ke rumah hampir pukul 6 petang. Badan terasa amat letih. Melihat pengebumian di bawah sinaran cahaya mentari petang sudah meletihkan badan. Bagaimana pula degan si penggali kubur dan mereka yang menguruskan. Dan bagaimana pula dengan jenazah. Mati itu datang tiba-tiba. Sudahkan sempurna persiapan yang dibuat untuk menghadapi mati. Mati adalah sesuatu yang pasti berlaku.

Sebelum Maghrib kami bertandang ke rumah jiran sebelah. Selepas Maghrib kami ke rumah abang di Taman Bukit Baru dan sempat solat Isya' berjemaah di Surau Al-Hidayah. Surau yang indah dan didirikan solat Jumaat. Namanya sama dengan putri sulung kami. Pulang dari sana kami berkunjng ke rumah jiran yang baru pindah. Satu blok dengan rumah kami.

Musim raya kita banyak bergembira. Banyak menikmati makanan yang lazat-lazat. Namun, ingatlah juga kepada kematian. Kematian itu memutuskan kelazatan hidup. Mengingati mati itu amalan orang yang bijaksana.

Saturday, October 3, 2009

Solat

Blog ini agak kurang terurus kebelakangan ini. Kurang artikel-artikel menarik. Posting juga tidak berapa banyak dan pendek-pendek. Masa dan keutamaan lain adalah faktor utama keadaan ini berlaku. Walaupun idea datang mencurah-curah untuk menulis namun ianya tidak diterbitkan di blog ini. Sebahagian di tulis di tempat lain manakala sebahagiannya pula di catat sebagai idea yang akan dikembangkan kemudian.

Semalam saya bertemu seorang rakan sekerja yang lama tidak ditemui kerana beliau bercuti sakit. Beliau bercuti sakit kerana masalah mata. Kami bersembang dan beliau menerangkan dengan panjang lebar keadaan matanya lengkap dengan penerangan dan lukisan rajah mata. Beliau sudah membuat 3 pembedahan mata dan perlu membuat 2 kali lagi pembedahan. Mendengar cerita dan penerangan beliau sahaja, saya sudah dapat merasa keperitan yang beliau alami. Beliau kelihatan tenang dan redha dengan ketentuan Allah terhadapnya. Saya doakan agar beliau terus tabah menghadapi jian Allah dan semoga sembuh seperti sedia kala. Amin.

Rakan saya ini menerangkan yang beliau perlu berehat setiap 45 minit dan membetulkan postur matanya. Masa selama 15 minit diperlukan untuk membetulkan postur mata agar cecair (minyak) yang ada di dalam matanya boleh beralih tempat di dalam retinanya. kedudukan postur itu seperti orang sedang sujud.  Saya belajar satu ilmu baru hari itu. Saya pernah membaca yang postur sujud baik untuk wanita kerana ia membetulkan kedudukan organ dalaman wanita seperti rahim. Saya pernah membaca yang postur sujud juga menyalurkan darah ke sebahagian otak yang hanya boleh dipenuhi darah ketika sujud. SubhanAllah! Maha Suci Allah! Hari ini saya belajar yang kedudukan sujud membetulkan kedudukan mata. Saya mencadangkan agar beliau solat sunat setiap kali positioning ini perlu dilakukan.

Allah yang mencipta manusia. Allah Maha Mengetahui tentang ciptaanNya itu. Allah telah mencipta satu sistem penyelengaraan untuk manusia. Pembuat kereta contohnya akan membuat satu manual untuk penyelengaraan kereta mengikut jadual-jadual tertentu. Misalnya minyak hitam perlu ditukar setiap 5000km perjalanan, minyak gear setiap 20,000km manakala palam pencucuh setiap 30,000km. Jika jadual selengaraan ini tidak diikuti, kereta akan mudah rosak. Begitu juga dengan manusia, Allah telah menyediakan satu sistem lengkap untuk kehidupan manusia iaitu Al-Quran, setiap keperluan manusia ada di dalam Al Quran.

Setiap hari tempohnya ada 24 jam. Dalam 24 jam orang yang beriman dengan Al-Quran iaitu umat Islam diwajibkan untuk solat 5 kali. Menunaikan solat fardhu adalah wajib bagi umat Islam. Dan solat itu membawa kebaikan yang amat banyak . Waktu-waktu solat ini ditetapkan untuk kebaikan manusia. Pelbagai penemuan sains tentang kehebatan solat telah dibentangkan oleh para saintis Islam mahupun saintis bukan Islam .

Setiap minggu pula ada 7 hari. Setiap minggu para Muslimin di wajibkan solat Jumaat. Minggu -minggu ini membentuk bulan. Setiap bulan Hijrah ada peranannya yang tersendiri untuk kebaikan umat Islam. Dari Muharram hingga Zulhijjah, sistem bulan Islam lengkap untuk kebaikan umat Islam.

Islam itu syumul. Lengkap dan sempurna.

Thursday, October 1, 2009

Kelebihan Sedekah

Sedekah ada 4 Kelebihan utama:

1. Menambahkan rezeki
2. Menangguhkan bala
3. Sembuhkan sakit
4. Panjangkan umur

Semua dengan izin Allah SWT.

Saturday, September 26, 2009

15454


Baru baru ini Cut-Out Fuse (sebelah meter) di rumah saya rosak dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Jiran saya cadangkan saya telefon 15454 untuk minta bantuan TNB Careline. Selepas setengah jam dibuat aduan, tim TNB Careline datang melaksanakan tugas. Setengah jam kemudian masalah selesai. Memang hebat respon tim ini. Syabas TNB Careline. No. Telefon ini ada di bil bulanan TNB. Ini adalah perkhidmatan percuma. Cuma perlu ucapkan terima kasih sahaja.

Monday, September 21, 2009

Kad raya



Kad Raya terbaik tahun ini daripada Hidayah, Iman dan Amal.

Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri

Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya dan bakal melabuhkan tirai. Terasa begitu cepat ianya berlalu dan akan meninggalkan kita. Pejam celik, pejam celik, sudah 28 Ramadhan. Tinggal lagi 2 hari untuk bersama tetamu istimewa ini. Semoga ibadah kita di sepanjang Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT.

Tak lama lagi kita akan merayakan hari kemenangan. Hari kemenangan melawan hawa nafsu. Semoga Aidil Fitri kali ini merupakan sebenar-benarnya hari Kemenangan untuk kita. Syawal bermaksud meningkat atau peningkatan.  Ini bermakna ibadah di bulan Syawal hendaklah lebih meningkat dari bulan Ramadhan. Jika kita ke surau pada Ramadhan untuk solat berjemaah dan membaca Al quaran atau ibadah lain, sepatutnya pada bulan Syawal ibadah kita ini akan lebih meningkat lagi. Itulah kemenangan yang sepatutnya. Pesanan untuk diri ku yang sentiasa lalai.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Merayakan Hari Kemenangan kita bersama keluarga dan sahabat handai. Semoga kita telah terdidik sepanjang Ramadhan ini dan  mudah-mudahan kita bertakwa.

Maafkan segala kesalahan saya yang disengajakan atau tidak.

Salam Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

Berhati-hati di sepanjang perjalanan.

Friday, September 11, 2009

Baliklah Wok!



Siarang ulangang - Praktis Bahasa Ganu.

BALIKLAH  WOK   (PULANGLAH  WAHAI  ANAK KESAYANGAN )

Oleh: Ibrahim Mohd Taib (Ajil, Hulu Terengganu)

Sayup mengelor anok dok balik
Menyembah sujud pada Mung Tuhan
Seakang zaman
doktong sudah sapok
Seakan zaman
gelekek habih doh

Mung duk jauh Mok panggil dekat
Mung duk dekat Mok panggil rapat
Mung duk rapatt Mok sendal Kaki
Takmboh bui
gogeh

Renungan si Ibu
terandeng jauh
Seakang
mengelor anok manih
Yang hatinya
gelebek sumbing
Ingat air mata yang luroh
berjelabok berlembang di lambor

Seakang noknya anok
tembor berdecung dari Kuala Lumpor
Biar
cokkoh depang mata
Biarlah mung dulu
suka mengakah
Sedor sedor le ni
senyap tuppah

Sampai gitu mbas (Sepagi tumbah)
menengung
Mok tunggu mu balik raya
kappong
Mok tunggu mu jadi bejuruh jangan jadi cakduh
Mok doa' biar jadi
manih netting
dok jadi
kelat sebbat

Mok doa' lagi hari raya,
biar tenang sokmo jangan gok kelecat barat
Rok jelibung mok tebah buat jalang Takut mung kena pakoh pinggat
dan mu lari
meletang kalang litang pukang
Nok tengoknya ke mung,
Memang dok dang dang

Nok ramah jari mung anok ku, anok kesayangan
Hari Raya andainya
buleh aku kelor mung
Takut
nak jeruwoh takut mung belohok
Bukang mok nak
kereta tolok, bukang mok mitok mah setokol

Mok tahu mung
makang burger, hotdog
Dulu mu berahi
jering, gemo kuih badok
Mok cuba kelor lagi neh
Baliklah Wok, baliklah

Hari raya
dok baik bekok
Mok terima mung sayang
Salahnya cuma
silap belaga buah getoh
Silap sikitnya
rebus ubi kayu dok rebus ubi torok

Adik Adik mu tu nye je
mung jadi bekok
Hari raya ning baliklah Wok
Mok sorang
berlagu pilu sedih
Ayoh mu
gi dok royat nok mati
Rasa nok
gelekek tadok tepat geli
Raya sama mung
dok tau tepat nok gi

Baliklah Wok

Anak anak ku
Kalau mu kenang
duana mung tubek
Kalau mu kenang
sapa beso ke mung
Kalau mu kenang
sapa dia jaga mung jok kecik
Kalau mu kenang
macang mana mung boleh baca nulih

Pagi raya ning
mung ada cokoh dirumah
Pagi raya ning
mung buat air dappor
Pagi raya ning
ciung tangang orang tua
Pagi raya ning
mitok maaf dengan mok
Pagi raya ning
mok dok pernoh berniat nok kehel mung

Hari raya, hari berkeluarga,

cenderhati termahal Hadiah paling comel,
hamper paling beso Hari raya,

mung semualah …paling beso skali

baktu lah…baliklah  wok, kite raya kat kapung

Monday, September 7, 2009

Komen

Berikut adalah salah satu komen yang ditulis di blog saya mengenai post yang bertajuk Direct Selling bertarikh 22 Jun 2009.



"Anonymous said...
Salam,

Tuan, bicaralah apa juga bersama dengan ILMU penuh di dada, kalau tuan setakat masuk 1 MLM atau 10 MLM kemudian memberi penerangan yang salah, apakah dengan memberi penerangan yang SALAH, kita akan dapat lebih PAHALA??? Atau lebih kepada membantutkan usaha umat ISLAM lebih berjaya dalam perniagaan, pikir2lah kesan pendapat yang saudara telah RACUNI umat Islam yang lain, akhirat yang akan saudara tanggung.

Ada MLM yang hanya memperuntukkan maksimum 12 jam sahaja seminggu, berkonsepkan perniagaan PENDIDIKAN, tiada yuran pendaftaran yang dikenakan dan mematuhi syarat Syariah.

Jika anda halusi saranan Ustaz Zaharuddin.net, bukan semua MLM sebegitu..begitu juga pendapat ulamak dari negara Arab kerana mereka masih jauh ketinggalan dalam konsep MLM ini.

Carilah..kerana belum tentu rezeki "makan gaji" anda HALAL sepenuhnya jika pada waktu officenya:
a)anda bergayut telefon berbicara soal bola dan bukan business related;
b) fikiran dan perbuatan anda; berborak dengan office mate yang BUKAN berkenaan dengan urusan kerja
c)masuk dan keluar office bukan pada masa yang tepat dan anda tidak menggantikan masa yang terBUANG itu
d)ada membaca komen ini pada masa pejabat..kerana ini bukan waktunya..

fikir2kanlah.."

Komen ini saya baca hanya beberapa hari lepas. Agak menghairankan kenapa Tuan Anonymous ini membuat kenyataan sedemikian. Saya hanya menulis mengenai pengalaman saya dalam direct selling.
Saya tidak perlu memberi komen yang panjang lebar. Saya hanya perlu berkata "Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa." Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada saya dan Tuan Anonymous.

Adakah tulisan saya di blog meracuni umat Islam?

Sunday, August 30, 2009

Catatan Hari Ini

Jangan baca blog ini. Bacalah Al Quran. Rebutlah sebanyak mungkin peluang untuk beribadat sepanjang Ramadhan ini. Juga selepas Ramadhan hingga Ramadhan akan datang.

Saturday, August 29, 2009

PUKAU

Ini adalah emel mengenai seorang kawan saya yang kehilangan wang kerana pukau / ditipu. Sila baca dan ambil langkah berhati-hati.

To All friends and Colleagues,

Just to share my bad experienced of the above incident. Happened to me yesterday evening (27 Aug 09), around 6pm at Maybank Sentul. As usual, I just walked in to ATM machine (since there are few terminals available), I chose the 2nd last of ATM machine. Beside me there was a guy (arabs/middle east man) whose trying to insert his ATM card as well (but not using Maybank's card. I assumed he trying to use his credit cardc to get some cash). And I just proceed to key in my pin number and select for withdrawal. While waiting for the card and money, one lady(arabs/middle east) asked someting to me and told me (in her language) to collect a few ringgit from the floor. I then quickly bend down and took the money which I thought its dropped from my pocket. ( 4 rinngit ONLY). Then I'm realised that my ATM card and money still in the machines. I woke up and quickly grab the ATM card from the machines and took the cash. Before I left, another guy walked nearby me and keep asking me about the money from the floor. Since worried of that group, I'm quickly walked out from the ATM's room and kept the card and cash into wallet wihout looking/check the ATM card. (since the color its the same, and I thought the card is mine). In my mind, I assumed that group is a syndicate whose trying to steal a money and I'm a bit lucky because they dont take my money.

Later, I went back home for Iftar and told to my wife and others. They also happy since nothing happen to me and not asking any question whether to check the ATM card or not until I checked it after Solat Terawikh (around 10.30pm). As advised by friend of mine, I should checked the card and I found , the card which kept in my wallet is belong to someone else (chinese name). Straight away called Maybank Customer Service to cancel the card , and the funny thing was Maybank Customer Service not able to check details / balance of accounts and transactions history. Not sure whether they cant release the info or because of the system limitations. The other option for me is to check from Maybank2u and once clicked on the Account Details, my balance has reduced about RM5500.00. The transact histories showed cash being withdrew twice which were RM15001, and RM10001 respectively (they used MEPS). And there were about 30 times transaction of RM100.00 which categorised under Acct.Payment (need to check details from Maybank branch - top up prepaid hp). Called again Maybank Customer service and they advised me to do a police report and bring the report to Cyberjaya Branch for next action and checked details of transaction history (card previously issued from Cyberjaya Branch). Later, I went to Balai Polis Sri Kembangan to report the incidents and according to them, most of this kind of incidents/activities are done by Middle East/African people. And they maybe used sort of 'PUKAU' or magic to either swap the ATM card or asked you to give all the money/wallet/pin number/etc. I think most of us have read the same story/incidents from emails and it also shown in TV3 (360's) which could be happended to anyone.

So guys, please be an extra carefull and this incident can be happened anytime and anywhere

Thursday, August 27, 2009

Tazkirah Ramadhan 4 - Musuh

Musuh manusia yang nyata ialah :
1. Syaitan
2. Dunia
3. Makhluk
4. Hawa dan Nafsu

Cara mengatasi syaitan ialah dengan berpuasa. Dengan berpuasa saluran darah akan sempit. Syaitan menghasut manusia supaya membuat kejahatan melalui saluran darah. Apabila saluran darah sempit, syaitan tidak dapat masuk melaluinya untuk menghasut manusia. Istimewanya puasa.

Wednesday, August 26, 2009

Tazkirah Ramadhan 3 - Zikir

Antara zikir yang diutamakan pada bulan Ramadhan ialah :

1. Membaca Syahadah
2. Istighfar
3. Berdoa dimasukkan ke dalam Syurga
4. Berdoa agar dibebaskan dari api Neraka

Sumber - Tazkirah Terawih - 24.08.2009 - Ustaz Mohd Radzi Asror

Tuesday, August 25, 2009

Tazkirah Ramadhan 2 - Bulan Mulia

Dalam Al Quran ada diceritakan mengenai peristiwa Hijrah, tetapi tidak ada nama bulan Muharram dalam Al Quran.
Dalam Al Quran diceritakan kisah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tetapi tiada nama bulan Rabiul Awwal di dalamnya.
Di dalam Al Quran ada hukum hakam mengenai Haji dan umrah, tetapi tidak dinyatakan mengenai bulan Zulhijjah.
Ada kisah mengenai hari raya tetapi tiada nama bulan Syawal.
Ada kisah Israk dan Mikraj hingga ada satu Surah mengenainya tetapi tiada nama bulan Rejab.
Di dalam Al Quran ada kisah puasa dan hanya nama bulan Ramadhan dinyatakan di dalam Al Quran. Bulan yang paling mulia.
Sungguh mulia dan berkatnya bulan Ramadhan. Sama-samalah kita merebut keberkatan dan kemuliaan Ramadhan.

Sumber - CPNI 21 Ogos 2009

Tazkiran Ramadhan 1 - Kisah Nafsu

Apabila nafsu dicipta oleh Allah, maka Allah pun bertanya kepada nafsu.
"Siapa tuhan kamu?
Nafsu menjawab " Tidak tahu"
Maka nafsu pun dihumban ke neraka selama 70,000 tahun.
Selepas hukuman itu, nafsu dikeluarkan dari neraka dan ditanya.
"Siapa tuhan kamu"
Nafsu masih menjawab, tidak tahu.
Kemudian nafsu dihukum lagi selama 70,000 tahun di neraka.
Selepas selesai hukumannya, nafsu ditanya lagi.
"Siapa tuhan kamu?
Nafsu masih menjawab tidak tahu.
Kemudian Allah memerintahkan nafsu dihukum di neraka selama 70,000 tahun lagi dan tidak diberi makan.
Selepas 3 hari nafsu minta dikeluarkan dari neraka dan mengakui Allah adalah tuhannya.
Hebatnya puasa. Tidak makan boleh menundukkan nafsu. Ambilah kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk menundukkan nafsu kita.

Sumber - Tazkirah Ramadhan - CPNI - 24.08.2009

Thursday, August 20, 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Satu ramadhan hampir menjelang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa dan mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadat yang termampu sepanjang Ramadhan ini kepada seluruh pembaca blog ini. Saya juga ingin memohon ampun maaf jika ada sebarang kesalahan saya terhadap tuan-tuan dan puan puan sekalian.

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan berpuasa ke atas kamu seperti mana orang-orang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa" - ayat 183, surah Al-Baqarah.

Mudah-mudahan kita dapat mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk menjadi orang yang bertakwa. Amin.

Sunday, August 16, 2009

H1N1


Kebelakangan ini seluruh dunia termasuk Malaysia dikejutkan dengan satu wabak yang dahsyat. Wabak yang dimaksudkan ialah selesema babi atau juga dikenali sebagai Influenza A(H1N1). Selesema babi merebak dengan cepat, boleh menyebabkan kematian dalam masa yang singkat dan pada masa ini belum ada vaksin dihasilkan untuk merawat penyakit ini. Semasa artikel ini ditulis sudah ada lebih 60 kematian di Malaysia. Diseluruh dunia ribuan manusia telah menjadi korban wabak ini. Saya juga baru menerima berita yang salah seorang yang saya kenali sedang dirawat di ICU kerana wabak maut ini. Golongan yang berisiko tinggi ialah kanak-kanak, perempuan mengandung, pesakit kronik dan mereka yang mempunyai daya tahan melawan penyakit yang rendah.
Pada tahun 2004, seluruh dunia juga dikejutkan dengan wabak influenza. Pada masa itu ia dikenali sebagai selesema burung atau Influenza A(H5N1).Mengikut sejarah, pada tahun 1918 telah berlaku kurang lebih 20 juta kematian di seluruh dunia kerana jangkitan influenza. Semua ini adalah kerana wabak selesema ini berpunca dari babi. Fakta ini dinyatakan di dalam buku Quran Saintifik karya Dr. Danial Zainal Abidin.
Bila kita membuaang air, maka segala kotoran akan keluar dari badan kita. Alhamdulillah itulah nikmat yang Allah kurniakan kepada sebaik-baik makhluk. Babi pula bila ia membuang air, hanya 2 peratus kotoran iaitu asid uric keluar dari badannya, 98 peratus lagi kotoran tinggal dalam badan babi. Oleh itu haiwan ini sangat-sangat kotor. Ia menjadi perumah babi pelbagai penyakit.
Orang ramai amat takut jika dijangkiti oleh penyakit ini. Ini adalah kerana ia boleh membawa maut dalam masa yang singkat.
Mengikut kajian, manusia boleh mati jika tidak makan selama 7 hari. Manusia juga boleh mati jika tidak minum selama 3 hari. Tetapi yang paling cepat ialah manusia boleh mati jika tidak mendapat bekalan oksigen selama 3 minit. Begitula dekatnya kematian dengan manusia.
Saya pernah mendengar seorang ustaz menyatakan malaikat maut mengunjungi setiap insan sebanyak 30 kali setiap hari. Jadi secara puratanya malaikat maut mengunjugi kita setiap 48 minit. Bayangkan malaikat maut megunjungi kita sebanyak 30 kali sehari. Mungkin sebelumnya malaikat maut mengunjungi kita dan belum mengambil nyawa. Namun apabla sampai masa yang ditetapkan, maka malaikat maut itu akan menjalankan tugasnya iaitu mengambil nyawa kita. Begitu dekatnya kita dengan kematian.
Allah menurunkan penyakit ini sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia.
Allah berfirman dalam Surah Al-An’am, ayat 42 “ …maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat)”.
Sama-samalah kita berdoa agar dihindarkan dari wabak ini.
Antara usaha yang boleh dibuat ialah dengan membaca Al-Quran. Mengikut kajian, jika seorang Islam membaca Al-Quran dengan tartil, sel darah merahnya akan menjadi kuat dan dapat membunuh virus-virus yang menyerang.

Saturday, August 15, 2009

Mukjizat Al-Quran - Burung




Kisah yang ingin dipaparkan ini adalah untuk di ambil iktibar dan pengajaran bagi mereka yang ingin berbuat demikian. Bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau riya', ujub atau takabbur.

Pada pagi satu Ramadhan 1429 (1 Sep 2008) ketika saya sedang membaca Al-Quran. Terbang seekor burung masuk ke dalam rumah ipar saya (ketika itu berada di kampung isteri). Setelah masuk, burung itu gagal mencari jalan keluar. Terbang ke sana ke mari di dalam rumah dan melanggar siling dan dinding. Saya , anak dan anak saudara cuba menghalaunya keluar dengan membuka pintu dan tingkap namun burung ini gagal juga mencari jalan keluar. Fikir saya, jika dibiarkan burung ini akan mati kerana beberapa kali melanggar siling dan dinding. Setelah hampir 15 minit burung ini bertenggek di atas rel langsir.

Saya teringat sepotong ayat Al-Quran yang diajar oleh pegawai seliaan saya, Hajjah Rosnah kepada saya dan yang dipelajarinya daripada Ustazah Fatma Azzahra (Hos Ar Rayyan).

Ayat 18, Surah Al-Baqarah yang bermaksud " Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali"

Menurut Hajjah Rosnah, ayat ini digunakan sebagai pendinding jika menghadapi bahaya seperti binatang buas / liar atau orang yang jahat kerana bila dibacakan ayat ini kepada mereka maka dengan izin Allah mereka akan tuli, bisu dan buta.

Saya bacakan ayat ini kepada burung tersebut (Dengan niat untuk menolongnya) sebanyak 3 kali dan saya naik tangga menuju ke arah burung tersebut dan dengan izin Allah saya berjaya menangkap burung ini dengan tangan sahaja. SubhanAllah!, jika difikirkan logik akal adalah mustahil bagi saya menangkap burung ini menggunakan tangan kosong. Ketika dibacakan ayat ini burung tersebut seolah-olah tidak mendengar dan tidak dapat melihat buat seketika sehingga saya menangkapnya. Setelah dilepaskan burung itu meluncur dengan laju ke udara. Tidak sampai 5 saat, burung ini sudah tidak kelihatan lagi.

Itulah mukjizat Al-Quran. Dengan izin Allah kita berupaya melakukan sesuatu dengan kalimah-kalimah Allah di dalam Al-Quran. Sama-samalah kita mengambil kesempatan di bulan ramadhan yang mulia ini untuk membaca, mendalami dan mengkaji Al-Quran.


Entri ini pertama kali diterbitkan pada 7 Sept 2008.

azemiali.blogspot.com

Monday, August 3, 2009

Warren Buffett



Warrren Buffett ialah manusia terkaya di dunia. Beliau adalah seorang pelabur yang paling berjaya. Beliau tidak mewarisi kekayaan tetapi memperolehinya dengan pelaburan.
Ada beberapa fakta menarik tentang Warren. Beliau masih tinggal di rumah pertamanya yang dibeli pada tahun 1960-an dan rumah tersebut hanya mempunyai 3 bilik. Gajinya hanya uSD100,000.00 setahun atau USD8,333 sebulan. Gaji yang diperolehi oleh beliau ialah gaji eksekutif yang paling rendah dalam syarikat Forbes 200. Beliau memandu kereta terpakai ke tempat kerja. Beliau juga memakai baju hingga lusuh.
Ketika usianya 6 tahun beliau tinggal dengan datuknya. Datuknya mempunyai sebuah kedai runcit. Warren membeli dari datuknya Coca-Cola 6 tin satu pek dari kedai datuknya dengan harga 25 sen. Kemudian beliau menjual setiap tin kepada kawan-kawannya dengan harga 5 sen. Beliau membuat untung pertama sebanyak 5 sen.
Dalam satu permainan golf, kawan-kawan Warren membuat pertaruhan. Mereka akan memberi USD20,000 duit mereka jika Warren berjaya melakukan hole in one. Manakala jika Warren gagal, mereka akan dapat USD10 beliau. Warren tidak mengendahkan pertaruhan itu kerana golf bukanlah bidang kepakaran beliau dan lebih suka menyimpan USD10 itu dari USD20,000.00 yang tidak pasti.
Ibu bapanya mengasuh beliau dengan berkata “ Jika awak tidak ada sesuatu yang baik untuk diperkatakan mengenai seseorang, lebih baik awak diam”. Warren mempercayai kata-kata tersebut dan mengamalkannya dalam hidup beliau.
Jika manusia yang terkaya di dunia hanya hidup dengan sederhana mungkin kita juga perlu lebih sederhana dalam kehidupan kita. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada Warren Buffet.

Wednesday, July 29, 2009

Durian, Manggis dan Rambutan





Hari jumaat lepas saya sekeluarga sempat pulang ke kampung di Ajil, Terengganu. Kami pulang untuk menziarahi emak dan juga menikmati musim buah-buahan. Sempatlah makan buah durian, rambutan, manggis dan dokong dari dusun sendiri.
Sampai sahaja di sana lebih kurang pukul 9 malam. Beberapa biji buah durian kelihatan di atas beranda. Kami menikmati buah durian yang baru gugur sebagai pembuka selera makan malam. Biasanya cuaca pada waktu malam di sana sangat sejuk dan berkabus. Kipas tidak perlu dipasang. Kedinginan malam beserta bunyi unggas membuatkan fikiran begitu tenang sekali.
“Panaslah malam ini, tidak seperti selalu” saya memberitahu isteri.
“Saya rasa sejuk macam selalulah, bang” isteri saya memberi jawapan.
Rupa-rupanya saya terlebih makan durian dan terlupa meminum air dari pangsanya. Sebab itu dirasakan badan panas sedikit.
Keesokan harinya seawal jam 7.00 pagi, anak-anak telah bangun. Mereka begitu teruja untuk memungut buah durian yang baru gugur berhampiran rumah. Pengalaman begini tidak dirasai oleh warga kota. Begitu seronok melihat anak-anak memungut durian walaupun hanya beberapa biji. Teringat kembali nostalgia semasa saya masih di sekolah rendah di sekitar tahun 1980-an. Bila tiba musim durian, saya begitu teruja untuk memungut durian yang gugur setiap pagi. Kadang kala saya bersama arwah ayah akan pergi memungut durian pada sebelah malam sekitar 11-12 malam. Jika dibiarkan hingga pagi ada orang lain yang memungutnya.Itulah pencuri musim buah yang aktif ketika buah durian gugur. Arwah ayah pernah juga membina ran iaitu rumah atas pokok untuk menjaga durian dari dicuri oleh manusia atau dimakan binatang. Biasanya ran dibina di atas pokok rambutan yang berhampiran dengan pokok durian.
“ Di sana ada sebiji, di sana ada 3 biji, di dalam semak itu ada dua biji lagi, “ Saya kan membilang berapa durian yang dapat dipungut pada setiap hari. Kadang kala kami perlu membelek rumput yang panjang untuk mencari durian, ada masanya durian gugur dan masuk ke tempat berlopak. Biasanya setiap hari kami dapat memungut durian sebanyak 30-40 biji. Penuh sebuah kereta tolak . Saya lebih teruja untuk menjualnya. Harganya pada masa itu paling mahal tiga biji sepuluh ringgit. Harga sekarang jika musim kurang buah boleh mencecah tiga puluh ringgit sebiji. Hasil jualan durian ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan kami sekeluarga. Musim durian tidak lama. Waktu paling banyak buah gugur hanya 3-4 minggu sahaja. Tetapi ada orang kampung kami mengatakan musim durian ialah 40 hari sahaja dari buah pertama gugur hingga buah yang terakhir.
Pada masa itu ada beberapa batang pokok durian klon setaraf dengan D24. Isinya kuning dan tebal, rasanya sungguh sedap. Kini pokok –pokok durian itu tidak berbuah lagi. Usianya sudah lebih 50 tahun. Sudah mencapai usia pencen. Sudah bersara wajib. Sekarang ada pokok durian baru yang sudah berbuah. Ada beberapa batang, tetapi isinya tidak dapat menandingi durian klon.
Selepas memungut durian dan mengumpulkan di beranda, kami anak beranak pergi memetik rambutan pula. Ada beberapa dahan yang rendah boleh dicapai dengan tangan. Rambutan spesis anak sekolah dan jarum emas. Rambutan anak sekolah memang terkenal. Biasanya di lembah kelang jenis rambutan ini yang paling banyak terjual. Di tahun 80-an dulu rambutan dijual dengan dikira kuantitinya. Seratus biji rambutan baru berharga RM1. Pada masa itu ada lebih 50 pokok rambutan. Semasa musim rambutan saya sungguh seronok memetik dan mengira buah rambutan. Setiap seratus biji rambutan yang dikira akan ditanda dengan sebiji buah rambutan. Ia dinamakan gundar. Semasa musim banyak buah, peraih akan datang dengan lori kecil dan membeli buah dari penduduk kampung. Biasanya kami dapat memungut hingga 5,000 hingga 10,000 biji rambutan sehari. Pada pertengahan tahun 80-an, sistem timbangan metrik diperkenalkan iaitu kilo menggantikan kati. Sekilo rambutan adalah sekitar 30 biji sahaja. Tetapi penduduk kampong masih selesa menjual rambutan dengan mengira biji.
Bagi saya rambutan yang paling sedap ialah rambutan gula batu. Sayangnya pokok rambutan gula batu berhampiran rumah kami sudah mati. Agaknya rambutan jenis ini sudah pupus di Terengganu. Rasanya rambutan gula batu sesuai dengan namanya, memang manis macam gula dan lekang. Warna kulitnya kuning tetapi tidak sekuning rambutan gading. Rambutan yang tidak dipandang orang pula ialah rambutan rakyat. Isinya tidak lekang dan masam. Ianya Cuma digemari oleh wanita hamil. Rambutan Perak juga tidak digemari, walaupun lekang dan besar dan tebal isinya tetapi rasanya agak tawar.
Selepas makan rambutan, kami beralih pula ke pokok manggis. Ada beberapa batang pokok manggis di kawasan rumah. Pokok yang paling besar terletak betul-betul ditepi rumah. Daunnya rendang, usianya sudah lebih 50 tahun tetapi masih berbuah tetapi tidak selebat dua puluh tahun lalu. Semasa kecil saya sering memanjat poko manggis ini. Sekarang agak sukar memanjatnya kerana banyak dahan yang patah dan juga usia saya sendiri yang telah meningkat. Dah tua rupanya diri ini.
Cara terbaik memetik manggis adalah dengan memanjat. Jika dijolok dan jatuh ia akan pecah atau isinya menjadi keras. Satu cara lagi ialah dengan menjolok dan menadah kain dibawah supaya tidak jatuh ke tanah. Pada masa saya kecil hanya ada sebatang pokok manggis. Seingat saya manggis jarang dijual. Ia untuk dimakan sendiri dan diberi kepada saudara mara dan jiran-jiran.
Semasa ke kebun yang jauh sedikit dari rumah, saya terserempak dengan seorang jiran. Beliau dikenali oleh orang kampong dengan nama Mak Long. Suaminya Pak Long. Mak Long bukanlah saudara saya tetapi jiran sekampung. Umur Mak Long dan Pak Long sudah lanjut, saya rasa sudah lebih 80 tahun.
“Mie, bila balik?” Tanya Mak Long.
“Baru tiba malam tadi” jawab saya. “Mak Long apa khabar?” Tanya saya pula.
“Mak long sihat, jawab beliau. “ Di rumah ada beberapa biji durian, singgahlah bila nak balik nanti” tabah beliau lagi.
Selepas pulang dari kebun, saya singgah di rumah Mak Long. Beliau memberi beberapa biji durian yang baru gugur. Beliau ada memelihara angsa. Semasa saya kecil, beliau sudah memelihara angsa. Anak-anak saya teruja melihat angsa. Angsa sangat efektif untuk menjaga rumah kerana ia akan mengejar orang yang tidak dikenali. Angsa-angsa Mak Long sudah tua. Hanya tinggal dua ekor sahaja. Ia tidak bertelur lagi.
“Entahlah bila boleh berjumpa lagi, Mak Long dan Pak Long sudah tua. Tidak berapa kuat lagi” ujar Mak Long. Matanya agak sayu.
“InsyaAllah kami akan pulang hari raya nanti. InsyaAllah boleh jumpa lagi”, jawab saya dengan doa supaya Mak Long dan Pak Long dipanjangkan usia.
Pada hari ahad kami pulang ke Kajang. Kami pulang dengan dua guni rambutan anak sekolah, seguni manggis dan juga 60 biji durian. Ianya untuk diagihkan kepada abang, anak saudara, guru, ipar, kawan dan jiran-jiran.
Nostalgia tahun 1980-an saya tinggalkan. Terasa baru semalam saya ianya berlaku. Masa begitu cepat berlalu. Ramai jiran-jiran emak sudah tiada. Kami perlu lebih kerap pulang ke kampung untuk menghabiskan masa berharga bersama beliau. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang sempurna.
Related Posts with Thumbnails