Monday, October 27, 2008

Arsenal

Saya adalah seorang peminat bolasepak. Saya meminati pasukan bolasepak Arsenal dalam Liga Inggeris (BPL). Arsenal adalah sebuah kelab yang telah diasaskan pada tahun 1903 di London oleh sekumpulan pekerja kilang. Lambang Arsenal ialah meriam atau juga dikenali sebagai "The Gunners".
Saya telah lama meminati pasukan ini. Saban minggu saya meluangkan masa lebih kurang 2 jam untuk menonton pasukan kesayangan saya beraksi dalam BPL pada hujung minggu. Pada hari bekerja pula saya sanggup bangun jam 3 pagi semata-mata untuk menonton pasukan ini beraksi dalam Champions League.
Peminat-peminat bolasepak nuetral juga sukakan Arsenal kerana corak passing dan menyerangnya yang pantas dan menghiburkan. Walaupun mempunyai bajet yang ketat dan terhad, pasukan ini berjaya bersaing dengan pasukan-pasukan lain di Eropah. Pasukan ini tidak pernah berbelanja besar untuk membeli pemain. Sebaliknya, hanya berbelanja untuk membeli pemain muda dan kemudiannya di asuh menjadi pemian bolasepak ternama.
Kejayaan terindah Arsenal ialah pada musim 2004 bila menjuarai BPL tanpa kalah sekalipun dalam 38 perlawanan liga. Pasukan itu digelar "The Invincibles".
Pemain yang terhebat Arsenal pernah beraksi bersama Arsenal ialah Thierry Henry. Beliau diundi sebagai pemain terbaik Arsenal sepanjang zaman. Beliau juga memegang rekod pemain yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah Arsenal dengan 214 gol.
Sekarang pemain Arsenal yang paling berpengaruh ialah Cesc Fabregas.Pemain berusia 21 tahun berasal dari Sepanyol. Beliau telah lima tahun bermain untuk pasukan ini sejak berusia 16 tahun.
Menonton bolasepak memang menghiburkan. Dan juga melalaikan. Bukanlah menjadi keutamaan seorang Islam untuk menonton bolasepak. Keutamaan seorang Islam adalah untuk beribadah kepada Allah. Saya sudah lama tahu yang sukan dan hiburan adalah sebahagian dari protokol Yahudi untuk melalaikan umat Islam tapi saya hanyut dalam arus kelalaian.
Mulai hari ini saya akan tinggalkan bolasepak. Selamat Tinggal Arsenal. Mungkin peminat Man United gembira bila seorang lawan ketat mereka telah tiada. Bolasepak dan hiburan bukan lagi keutamaan dalam hidup saya. Semoga Allah menetapkan pendirian saya ini. Masa yang selama ini dihabiskan untuk menonton bolasepak dan melayari lawan web berkenaan bolasepak akan digunakan untuk aktiviti yang lebih produktif seperti membaca Al-Quran dan membaca buku.Saya telah tamatkan saluran sukan Astro. Kalau ikutkan hati nak tamatkan semuanya tapi bila kenangkan saluran Astro Oasis saya kekalkan juga basic package kerana banyak yang boleh saya belajar melalui saluran Astro Oasis seperti rancangan Kalam Suci dan Jemputan Umrah.
Selamat Tinggal Gunners.

Sunday, October 26, 2008

Menulis

Saya menulis satu emel kepada pengerusi sebuah syarikat penerbitan menyatakan hasrat untuk menulis novel dan buku mengenai kerjaya sebagai seorang akauntan. Emel itu tidak dibalas tetapi diletakkan di dalam blog syarikat itu. Seluruh kandungannya diletakkan dalam blog itu termasuk latar belakang saya dan address blog ini. Saya rasa agak malu kerana emel itu dibaca oleh ramai pengunjung blog itu. Saya kira paling kurang beratus orang juga. Tapi tak apalah kerana mungkin itu publisiti percuma, sejak hari itu blog saya dikunjungi ramai orang yang tak dikenali.
"Jika hendak menulis buku, tulislah blog dulu. Jika blog yang percuma pun tak dibaca orang apatah lagi buku yang perlu dibeli dengan wang ringgit". Fikir saya.
Setelah lebih sepuluh hari barulah saya dapat balasan emel itu, pasti mereka semuanya sibuk-sibuk belaka.Menurut kata editor yang membalas emel itu, buku yang saya akan tulis tak akan diterbitkan sehingga mungkin tahun 2010. Buku atau novel seperti itu katanya agak lembab dan tidak laris di pasaran. Tidak laku, tiada orang nak membacanya. Sekarang ni zaman gawat , buku seperti ini tiada tempat dalam pasaran. Dinyatakan juga nama penulis lain yang memang saya kenal sangat sebagai contoh.
Jadi sekarang saya ada beberapa pilihan:
1. Berhenti menulis. Tidak jadi menulis.
2. Cari syarikat-syarikat penerbitan lain yang sudi menerbitkannya. Ambil iktibar kisah Sly Rambo Stallone.
3. Tumpukan kepada keutamaan semasa iaitu mencari rezeki di siang hari dan weekdays. Dan sebelah malamnya dan weekend memberi keutamaan kepada isteri dan anak-anak. Anak saya sudah berusia 7 tahun dan sekarang melatih tubi beliau untuk solat dan mengajar Al-Quran kepada mereka. Menulis juga bila ada kesempatan.
Saya pilih yang ketiga. Mungkin ini ada hikmahnya. Allah mengingatkan saya agar lebih menumpukan kepada perkara yang lebih utama iaitu mendidik keluarga sendiri terlebih dahulu sebelum menyertai perjuangan memandaikan bangsa.

Anak

Saya membelek-belek Al-Quran dan terjumpa dua ayat yang cukup relevan kepada saya sekeluarga.
Ayat 49-50, Surah Ash-Shura (Musyawarah)
" Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi: Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya. Ia mengurniakan anak-anak perempuan bagi yang dikehendakiNya. Dan mengurniakan anak-anak lelaki bagi yang dikehendakiNya.
Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya-anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya : mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”.
Saya mempunyai tiga orang puteri, seperti mana tajuk blog ini iaitu Hidayah, Iman dan Amal. Saya tidak (belum) dikurniakan putera. Setelah saya membaca ayat-ayat ini, saya semakin redha bahawa ia semua dalah ketentuan Allah kepada hambanya. Milik Allah semua yang ada di langit dan di bumi. Allah Maha Mengetahui dan Maha berkuasa.

Golf

Kawan-kawan sepejabat sering mengajak saya untuk bermain golf bersama mereka. Saban minggu mereka meluangkan masa untuk bermain permainan ini. Saban minggu juga mereka mengajak saya. Mereka bermain golf dengan boss-boss. Mereka bermain golf dengan orang-orang ternama. Networking dan senang naik pangkat kata mereka.
Saban minggu mereka mengajak saya. Namun saya tolak juga. Saya kata belum tiba masa. Sebenarnya di sudut hati saya tak suka. Ini bukan keutamaan saya. Weekdays untuk cari rezeki dan weekend pula untuk bersama keluarga. InsyaAllah saya tidak akan main golf sampai bila-bila. Tak ruginya. Kalau main golf dan solat entah kemana, apa gunanya?

Saturday, October 25, 2008

Tunai Tak Diterima

Hari ini saya amat terkejut kerana duit tunai tidak diterima oleh pam minyak ketika ingin saya ingin membeli minyak kereta di Presint 8, Putrajaya.
Pekerja di stesen minyak itu berkata "system offline dan tunai tidak diterima, hanya kad kredit tidak diterima".
Terpaksalah saya guna kad kredit walau sudah lama tidak menggunakannya dan berazam untuk menggunakanya ketika kecemasan sahaja. Tunai tidak diterima? Biasanya yang berlaku kad kredit tak diterima, tapi kali ini sebaliknya pula. Ini boleh dikira sebagai kecemasan lah ya.

Bas

Terkenang perbualan saya dengan tukang sapu Bangladesh di Madinah mengenai bas di sana.
"Itu Malaysia punya bas banyak bagus" puji mat Bangla itu.
"Apa yang bagus?" tanya saya.
"Malaysia punya bas ah,ada aircond, sejuuk.. Bangla bas ada kipas saja..tarak sejuk.."jelas Mat Bangla itu.
"Malaysia punya bas laju.. 5-6 jam sudah sampai Mekah dari madinah, Bangla punya bas..tarak laju..7-8 jam juga baru sampai.
"Malaysia punya bas ha banyak baru, Bangla punya bas ha sudah lama...
"Malaysia orang punya gaji banyaakkk, Bangla orang sikiiiiiiitttt".Mat Bangla membuat perbandingan bertalu-talu.

"Tuan mesti sudah banyak kali pergi haji bukan?.. Tanya Mat Bangla itu kepada saya
"Saya belum pernah pergi haji, Umrah pun ini yang pertama."jelas saya.

Mat Bangla memandang saya kehairanan. Agaknya dia berfikir kenapa rakyat Malaysia yang mewah susah nak pergi haji masa muda.
Saya juga kehairanan kenapa Mat Bangla yang bergaji kecil senang nak pergi haji?

Sunday, October 19, 2008

Cerita Haji dan Hajah Muda

Saya dan isteri ada beberapa orang kawan yang pergi haji semasa muda.
Hj. Ramlan pergi haji semasa berusia 25 tahun ketika masih bujang. Semasa beliau berkahwin beliau berbulan madu umrah di tanah suci. Tahun ini beliau menunggu panggilan dari TH untuk pergi haji lagi. Beliau akan membawa isteri yang belum menunaikan haji. Saya doakan beliau dijemput oleh Allah untuk menunaikan haji pada tahun ini.
Hj. Hidayatul Ikram menunaikan haji semasa berumur 27 tahun juga ketika bujang. Beliau menceritakan pengalaman yang unik iaitu bagaimana beliau hanya berjalan kaki dari Mekah ke Arafah, Mina, Mudzalifah dan kembali ke Mekah. Perjalanannya lebih cepat sampai dari sesetengah bas.Saya teruja mendengar cerita beliau. Kini beliau menetap di Jeddah sebagai seorang Akauntan di sana. Hampir setiap minggu beliau menunaikan umrah.
Hajah Aziza menunaikan haji ketika berusia 32 tahun. Beliau adalah seorang ibu tunggal dengan dua orang anak. Gaji beliau ketika itu tidak sampai pun RM1,000.00. Saya begitu kagum dengan usaha beliau untuk menunaikan haji semasa muda. Berkat layanan yang baik kepada kedua ibubapanya beliau mampu menunaikan haji walaupun dengan pendapatan yang rendah.
Saya perhatikan ketiga-tiga kawan kami ini mempunyai sifat-sifat yang baik iaitu orang-orang yang beriman dan mempunyai akhlak yang tinggi. Sungguh seronok berkawan dengan mereka. Mereka telah mendapat tarbiyah dan pengajaran daripada proses haji. Saya dan isteri berdoa semoga suatu waktu nanti kami juga akan mendapat tarbiyah dan pengajaran haji semasa msih muda bagi bekal kami menghadapi cabaran-cabaran hidup.

Saturday, October 18, 2008

Kurus

Semasa bulan Rejab tahun ini berat saya 72kg, sekarang di bulan Syawal hanya 60kg. Turun lebih 12 kilo. Bila bertemu kawan-kawan hampir semua berkata, "Kurusnya kau Mi"
Kenapa saya kurus? Sebab utamanya ialah berpuasa. Kalau ikutkan BMI (Body Mas Index) saya dah turun dari slightly overweight ke underweight. Bila difikir-fikirkan runsing juga. Sakit ke aku ni?
Kurus tak semestinya tak sihat. Kurus mungkin lebih sihat dari berat ideal. Lagipun ada ke BMI dalam Islam? Orang yang sihat dan mempunyai fitness tinggi macam pemain bolasepak profesional pun meninggal dunia juga bila tiba masanya. Teringat kisah Marc Vivien Foe bekas pemain Manchester City dan Cameroon yang meninggal ketika berusia 28 tahun semasa perlawanan bolasepak antarabangsa beberapa tahun dulu.
Bila terbaca kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi kurus selepas hanya seminggu menjadi khalifah dalam buku Sakratul Maut karya Dr. Aidh Al-Qarni saya menjadi lega. Khalifah Umar menjadi kurus kerana terlalu runsingkan tanggungjawab dan beban yang dipikulnya sebagai seorang khalifah. Beliau tidak lena tidur malam. Tak berselera makan kerana beban tanggungjawab yang dipikulnya.
Saya jadi kurus kerana berpuasa. "Jika sebab puasa tak perlulah risau kerana puasa memberi kekuatan dalaman kepada kita. Puasa membersihkan jiwa." bisik saya kepada diri sendiri untuk melegakan hati.

Hadiah Yang Mengembirakan Orang Mati

Maksud hadis :
Nabi Muhammad (S.A.W.) bersabda"Umatku, umat yang sentiasa mendapat rahmat, masuk ke dalam kuburnya dengan dosa-dosa seumpama gunung-ganang, dan kelak keluar daripada kubur dalam keadaan telah diampunkan untuknya dengan beristighfar orang yang hidup untuk orang-orang yang telah mati dan sedekah-sedekah yang dikeluarkan oleh orang yang hidup kepada orang yang mati dan doa dan bacaan Al-Quran hadiah kepada orang mati".

Hadiah untuk orang mati daripada orang yang masih hidup
1. Istighfar
2. Sedekah-sedekah
3. Doa
4. Bacaan Al-Quran

Dipetik daripada kuliah CPNI oleh Ustaz Sobri Arshad.

Ingat Mati

Faktor-faktor yang boleh membantu untuk mengingati bahawa satu masa nanti kita pasti mati.
1. Sentiasa menziarahi kubur.
2. Membaca Al-Quran dengan kusyuk dan memahami maksud ayat-ayat Al Quran.
3. Berkawan dengan orang-orang yang Soleh.

Dipetik dari buku - Sakratul Maut, karya Dr. Aidh Al Qarni.

Sunday, October 12, 2008

Bagaimana Akhirnya Saya Berjanggut II

"Wah cantik janggut Mi, dah jadi ustaz sekarang" tegur seorang kawan dengan nada bergurau.
"Saya bukan ustaz, cuma seorang akauntan, akauntan Islam" jawab saya.
"InsyaAllah!" balas beliau.
Sejak saya berjanggut saya perhatikan ada juga orang disekeliling saya yang baru berjanggut. Fikir saya dalam hati, baguslah semakin ramai yang melaksanakan sunnah.
Dan ramai juga yang menyapa saya berkenaan janggut ini. Biarkan mereka menyapa. Biarkan janggut ini menjadi pencetus untuk menegakkan syiar Islam seumpama memberi salam. Memberi salam ialah satu-satunya perkara sunat yang lebih baik dari perkara wajib. Memberi salam itu sunat tetapi menjawab salam adalah wajib. Namun kita digalakkan untuk memberi salam terlebih dahulu.
Rasulullah akan memberi syafaat di akhirat kepada umatnya. "Bagaimana nak mendapat syafaat itu jika perkara sunat seperti berjanggut pun kita tak buat?" soal saya kepada diri sendiri.

Suri rumah Profesional

Isteri saya telah memberi notis 3 bulan kepada majikannya. Dia berhasrat untuk menjadi suri rumah sejak kami baru kahwin lagi. Kini baru berpeluang. Suri rumah profesional. Beliau adalah seorang Akauntan Bertauliah (Chartered Accountant) dengan pengalaman selama 10 tahun sebagai juruadit, pengurus kewangan , akauntan cukai dan perbankan.
"Lepas ni nak kerja mana?" tanya seorang kawan beliau.
"Tak kerja, tumpu masa kepada anak-anak" balas isteri saya.
"Sayangnya, nanti duit cukup ke?" tanya kawan itu lagi dengan hairan.
"Suami saya bekerja dan rezeki itu datang dari Allah" jawab isteri saya
Nampaknya masyarakat kini masih beranggapan jika berhenti kerja adalah sesuatu yang merugikan. Bagi mereka hanya dengan bekerja sahaja dapat rezeki. Mereka seolah-olah tidak yakin bahawa rezeki itu datang dari Allah. Allah yang menentukan rezeki, jodoh, hidup dan mati seseorang itu.
Saya pernah ditemukan dengan kisah orang yang bergaji RM20,000.00 sebulan dan seorang lagi yang hanya bergaji RM220.00 sebulan, dengan izin Allah orang yang kedua itu lebih kaya. Allah Al-Rozaq. Allah pemberi rezeki.
Bukankah menjadi suri rumah itu lebih baik. Dapat mendidik anak-anak supaya menjadi anak yang soleh. Kerana bila matinya seseorang anak adam maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu anak yang soleh yang mendoakannya, sedekah jariah dan ilmu berguna yang diajarkan kepada orang lain. Bukankah menjadi suri rumah itu pelaburan untuk akhirat.

Haji Ketika Usia Muda

Saya berhajat untuk menunaikan haji sebelum usia 35 tahun. Sekarang usia saya 33 tahun.
Kenapa pergi haji masa muda?
Jawapan:
1. Setelah pulang dari Umrah tempoh hari, bilangan uban saya makin bertambah. Ini petanda maut semakin hampir.
2. Umrah adalah tarbiyah. Haji adalah tarbiyah. Saya ingin memtarbiyah diri ke arah takwa dengan Haji. Setelah balik dari Umrah, saya mendapat sedikit tarbiyah ini. Dengan mengerjakan Haji selain melaksanakan kewajipan rukun Islam tetapi InsyaAllah dengan izinNya saya dapat mentarbiyah diri sebagai bekal untuk meneruskan hidup dan membimbing isteri dan anak-anak ke arah takwa.
3. Haji memerlukan tenaga dan fizikal. Pergilah haji semasa muda ketika badan masih sihat. Mutawif semasa umrah juga menasihatkan kami, selain pergi kursus haji hendaklah juga berjogging dan bersenam untuk memantapkan fizikal kerana haji itu tough dari segi fizikal.
4. Pergilah haji jika mampu. Apa maksud mampu? Saya pernah terbaca, sekiranya seseorang itu mempunyai dua rumah dan beliau masih belum pergi haji maka adalah wajib baginya menjual rumah tersebut dan menggunakan duit tersebut untuk pergi haji.
5. Haji itu penghapus dosa. Haji itu proses pembersihan diri.
6. Dan banyak lagi sebab lain.

Saya baru sedar untuk pergi haji setelah pulang dari umrah. Sebelum itu kami lalai dengan dunia. Kami baru mendaftar. Mengikut Tabung Haji giliran kami untuk mengerjakan haji ialah pada tahun 2022. 14 tahun lagi. Tapi kami berhasrat untuk pergi dalam masa dua tahun lagi . Kami akan DUIT. Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal ke arah itu. "Ya Allah , jemputlah kami (saya dan isteri) sebagai tetamu Mu untuk mengerjakan haji. Ya Allah perkenankan doa kami. Amin".

Bukit Uhud dan Makam Syuhada




Gambar di atas sekali ialah sebahagian dari Bukit Uhud. Gambar ini diambil dari atas Bukit Rummah (Bukit Pemanah).
Gambar kedua ialah Makam Syuhada Uhud (Makam para Sahabat yang Syahid semasa Perang Uhud).Diriwayatkan 70 orang Sahabat syahid di sini.

"Anas bin An-Nadhar Radiyallahu'anhu (Syuhada Uhud) maju dalam medan perang. Dia membantai musuh dengan keberanian yang amat luar biasa. Tatkala dia terkena sebatang pedang musuh dan sudah berada dalam keadaan sakratul maut, dia berkata kepada Sa'd bin Mu'adz Radiyallahu'anhu yang datang menghampirinya :
"Menjauhlah dariku, wahai Sa'd. Demi Allah,sesungguhnya aku telah mencium bau syurga dari sebalik bukit Uhud ini ". (Al Bukhari dan Muslim) "- Dipetik dari buku Sakratul Maut, Bersediakah Anda Menghadapinya? karya Dr. Aidh Bin Abdullah Al Qarni.

Maukah kita pahala sebesar bukit Uhud?
"Sesiapa yang bersembahyang dan menghantar jenazah, dia mendapat pahala satu qirath. Jika dia berdiri hingga jenazah dikuburkan, dia mendapat dua qirath. Satu qirath seperti besarnya Bukit Uhud "- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim - dipetik dari buku Haji Muda karya Ridzwan Bakar.

Saya pernah mendengar cerita, ada jemaah haji dan umrah yang melawat makam Syuhada ini dapat mencium bau yang wangi (bau kasturi) terutama di kalangan kanak-kanak. Sekiranya berpeluang ke sana berdoalah kepada Allah agar dapat mencium bau kasturi ini. Saya juga ada mendengar cerita yang dahulu kawasan ini tidak berpagar dan ada jemaah yang menguis tanah makam ini dan masih terdapat darah mengalir. Kemudian kawasan ini dipagar untuk mengelakkan pencerobohan.

Friday, October 10, 2008

Hidayah Menabung Untuk Umrah

Saya biasanya memberi anak sulung kami, Nurul Hidayah (7 tahun)sebanyak RM2.50 sehari untuk membeli makanan di sekolah kebangsaan pada sebelah pagi dan KAFA pada sebelah petang. Beliau makan tengahari di rumah transit.
Sepanjang minggu ini beliau membawa bekal kek dan air dan membawa balik RM2.00 setiap hari dan dimasukkan ke dalam tabung.
"Ayah, Hidayah nak simpan duit ini untuk pergi umrah" jelas beliau.
"Alhamdulillah, moga Allah permudahkan niat Hidayah itu dan kita boleh pergi umrah sekeluarga" doa saya dalam teruja.
"Ya, nanti kita pegi umrah bila Iman dah pandai solat dan Amal dan besar sikit" jelas Hidayah lagi.

"Ya Allah permudahkanlah hajat kami ini. Amin."

Monday, October 6, 2008

Meremang Bulu Roma

Teringat kisah di Madinah pada hari kedua di sana. Sesudah Asar saya bergerak keluar Masjid dan singgah minum air zam-zam. Ketika minum seorang Arab menegur dalam bahasa Inggeris. Mukanya bersih dan sentiasa tersenyum.
"Tuan dari mana?" Tanya orang Arab itu.
"Saya dari Malaysia" Jawab saya.
"Malaysia!, saya pun tinggal di Malaysia, saya berasal dari Palestin tetapi sekarang mengajar di UIA dan tinggal di Gombak" Terang Pak Arab ini dengan nada yang ceria.
"Saya tinggal di Kajang, tuan tinggal di Gombak, jaraknya tak sampai 40km tapi kita tak pernah berjumpa, kita berjumpa di sini, di Masjid Nabawi, 8,000km jauhnya dari tempat tinggal kita. Setiap sesuatu itu ada hikmahnya, Apakah hikmahnya pertemuan kita ini? ujar saya.
"Tengok lenggan saya ni, bulu roma saya meremang" kata Pak Arab itu.
"Tengok lenggan saya pula, pun sama" kata saya.
Inilah pertama kali bulu roma saya meremang serentak dengan seorang asing yang tidak dikenali. Di hotel saya bertanyakan seorang kawan, Hj. Ramlan mengenai perkara ini dan beliau menyatakan pada masa itu Allah telah menyatukan hati kamu berdua, sebab itu berlaku perkara sebegitu. Fikir saya mungkin pada masa itu frekuensi otak saya dan pak arab itu berada pada hertz yang sama.
Lelaki arab itu ialah Dr. Radwan Jamal seorang pensyarah di UIA yang pengkhususannya ialah Tafsir di Jabatan Quran dan Sunnah. Mungkin suatu hari nanti saya boleh berguru dengannya. Mungkin sebab itulah berjumpa dengan beliau.

Cerita Iman

Hidayah dibelikan kasut baru tetapi Iman yang begitu suka membuat koleksi kasut tidak dibelikan kerana kasutnya terlalu banyak. Tapi kali ini dia tidak merenggek seperti selalu. Dia bercerita:
"Wah cantiknya kasut kakak ni, inilah kasut paling cantik dalam dunia" Iman memulakan celoteh.
"Jangan letak kasut ni dekat luar rumah nanti takut emm dah tak ada" Iman pandai memilih kata.
"Kalau ada budak datang dengan mak dia, mesti budak tu cakap, eh cantiknya kasut tu, saya pun nak, cantiknya-cantiknya, nak jugaklah kasut tu." Iman meneruskan dialog.
"Mesti mak dia pun berkata, ni rumah ke kedai kasut sebab kasutnya cantik sangat."celoteh Iman lagi yang baru berusai 4 tahun.
Iman mungkin sudah menukar strategi, dia cuba bercerita agar ayah dan ibu kasihan dan membelikannya kasut.

Suri rumah

Ibu saya seorang suri rumah. Kakak saya pun begitu. Kakak-kakak ipar pun ramai yang suri rumah. Isteri kawan-kawan rapat seperti Shamsuddin kadir, KAZA, Azuan, Azmi dan Sidi juga suri rumah.
"Cukup ke pendapatan kalau seorang sahaja yang bekerja" tanya seorang kawan.
"Rezeki datangnya dari Allah. Setiap anak yang lahir telah ditetapkan rezekinya, berusahalah. Yakin dengan Allah." jawab seorang kawan lain.
InsyaAllah tidak lama lagi isteri saya juga akan menjadi suri rumah. Menjadi pengurus rumahtangga dan coach anak-anak.Hidup bukan hanya untuk mengumpul wang tetapi ambilah sedikit sekadar keperluan. Jikalau mengejar wang sampai bila pun tak cukup.Lagipun tugas mencari rezeki ialah tanggungjawab suami.
Saya terbaca sepotong hadis yang bermaksud : Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W. bersabda:"Binasalah hamba kepada dinar dan dirham, dan hamba kepada kain tebal yang berbulu dan kain bercorak (ghairah dengan kemewahan dan kesenangan);sekiranya diberikan kepadanya ia meredhai, sekiranya tidak diberikan ia tidak meredhai."

Sunday, October 5, 2008

Hidayah Iman Amal

"Nama anak-anak kau ni tak ada konsep langsung, kau tengok nama anak kawan kita tu semua bermula dengan huruf A, baru ada konsep" kritik seorang kawan.
"Nama-nama anak kami ada kisah tersendiri, dengarlah kisahnya dulu" ujar saya.

Kisahnya seperti berikut.
Pada suatu hari seorang hamba Allah berdoa memohon kepadaNya supaya dilimpahkan petunjuk dan Hidayah dari Allah. Setelah mendapat Hidayah, beliau menamakan anaknya Nurul Hidayah yang bermaksud Cahaya Petunjuk Allah dengan harapan sempena dengan kelahiran anak sulungnya ini Allah terus melimpahkan petunjuk dan Hidayahnya.
Setelah mendapat Hidayah, beliau berusaha untuk meningkatkan imannya, kerana apalah Hidayah tanpa Iman. Setelah dikurniakan anak kedua beliau menamakan anaknya Iman Sofiyah, Iman bermaksud keyakinan atau iman sementara Sofiyah ialah suci bersih. Dengan kehadiran Iman ini diharapkan Imannya semakin bertambah.
Kemudian beliau dikurniakan anak ketiga dan beliau menamakannya Amal Nadhirah. Amal ialah perbuatan dan Nadhirah berseri-seri. Semoga dengan kehadiran Amal, amal ibadatnya bertambah. Semoga Amal kami menjadi amalan soleh.
Semoga kehadiran Hidayah, Iman dan Amal membawa kami ke arah takwa.Semoga mereka menjadi anak-anak yang solehah.

Analisa Ramadhan

Ramadhan telah berlalu pergi. Pergi menghilangkan diri. Sebelas bulan lagi InsyaAllah akan kembali.Alangkah baiknya jika semua bulan itu bagaikan Ramadhan.
Mari kita analisa apa yang kita harungi sebulan Ramadhan adakah membawa kita ke arah takwa seperti mana Ayat 183 surah Al-Baqarah.
Menurut Datuk Ismail Kamus pada kuliah Dhuha pada 14 Ramadhan yang lalu, antara puasa Ramadhan telah diterima Allah ialah seseorang itu mudah untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.Ganjaran berpuasa setahun bagi mereka yang berpuasa Ramadhan dan 6 hari di bulan Syawal.
Mari sama-sama kita teruskan bacaan Al-Quran sebagaimana bulan Ramadhan dan membina budaya Al-Quran, mengkaji Al-Quran dan mengharapkan syafaatnya.
Mari kita teruskan solat berjemaah sebagaimana bulan Ramadhan. Orang kafir tidak akan gerun dengan umat Islam sehinggalah jemaah solat Subuh sama ramainya sengan solat Jumaat. Mari kita sama-sama meneruskan semangat Ramadhan.
Related Posts with Thumbnails