Sunday, May 10, 2009

Kerengga dan Rambutan


Ustaz Ismail Kamus pernah bercerita tentang manusia dan duit umpama kerengga dan rambutan. Kerengga tidak makan buah rambutan. Tetapi kerengga suka menjaganya. Ia mengerumuni buah rambutan. Mengawalnya setiap masa. Tidak membenarkan orang mengambil buah tersebut. Jika ada yang mengambil, maka tangan itu akan digigit.

Begitu juga dengan manusia. Sesetengah manusia yang banyak duit tidak suka membelanjakannya. Jauh sekali dari menderma atau bersedekah. Umpama kerengga juga. Mereka tidak guna pun duit atau harta itu. Tetapi jika ada orang meminta bantuan atau derma dari mereka, mereka tidak mahu memberi. Mereka marah. Macam-macam alasan diberi.

Harta yang sebenar yang dimiliki oleh seseorang sebenarnya ialah yang dibelanjakan di jalan Allah. Jika seseorang menyimpan harta tersebut, belum tentu dia mampu merasanya. Mungkin hanya akan menjadi milik orang lain. Mungkin menjadi milik anak-anak atau waris.

Seseorang yang bersedekah akan di beri pahala berlipat kali ganda.

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai : tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. Ayat 261, Surah Al-Baqarah.

Namun begitu orang yang berharta akan merasa sayang untuk bersedekah atau menderma kerana telah ditiup sifat was-was oleh syaitan. Ayat 268, Surah Al-Baqarah bermaksud " Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan keji (bersifat bakhil kedekut) : sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.

Mereka yang bersedekah dan berzakat akan dikembangkan hartanya. Hartanya menjadi berkat. Apa itu berkat? Berkat ialah sesuatu yang dapat dikongsi oleh ramai orang. Contohnya makanan yang sedikit dapat dikongsi oleh oleh ramai orang. Saya pernah mendengar kisah orang yang mendapat gaji RM20,000.00 sebulan tetapi mempunyai hutang keliling pinggang. Manakala saya juga pernah berjumpa seorang hamba Allah yang bergaji cuma RM220.00 tetapi dapat membiayai ibunya di kampung serta hidup tanpa hutang.

Firman Allah dalam ayat 276, Surah Al-Baqarah bermaksud " Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

5 comments:

BAGAK said...

saya bersetuju dengan pendapat tentang gaji itu

semuanya bergantung pada berkat, bukan kepada amaunnya

cikgu mas said...

Salam..

bagi saya kerengga bagai pengawal harta tu..yang berupa nafsu dan ketamakan,

kerengga sentiasa mengurungi harta tersebut dan gigit siapa yang menghampiri,

tapi jika kita tahan dgn gigitan kita boleh bersihkan semua kerengga dan menikmati rambutan yang manis..

maknanya buang semua sifat tamak,insyaallah kemanisan berharta lebih terasa...

Azemi Ali said...

Salam Tuan Bagak,
Terima kasih kerana baca blog saya.

Salam ukhwah

Azemi Ali said...

Salam cikgu Mas,

Terima kasih jadi pengunjung setia blog ini.

Isar said...

Salam,
saya suka dengan cerita nie, ada kebenaran

Related Posts with Thumbnails