Tuesday, August 25, 2009

Tazkirah Ramadhan 2 - Bulan Mulia

Dalam Al Quran ada diceritakan mengenai peristiwa Hijrah, tetapi tidak ada nama bulan Muharram dalam Al Quran.
Dalam Al Quran diceritakan kisah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tetapi tiada nama bulan Rabiul Awwal di dalamnya.
Di dalam Al Quran ada hukum hakam mengenai Haji dan umrah, tetapi tidak dinyatakan mengenai bulan Zulhijjah.
Ada kisah mengenai hari raya tetapi tiada nama bulan Syawal.
Ada kisah Israk dan Mikraj hingga ada satu Surah mengenainya tetapi tiada nama bulan Rejab.
Di dalam Al Quran ada kisah puasa dan hanya nama bulan Ramadhan dinyatakan di dalam Al Quran. Bulan yang paling mulia.
Sungguh mulia dan berkatnya bulan Ramadhan. Sama-samalah kita merebut keberkatan dan kemuliaan Ramadhan.

Sumber - CPNI 21 Ogos 2009

Tazkiran Ramadhan 1 - Kisah Nafsu

Apabila nafsu dicipta oleh Allah, maka Allah pun bertanya kepada nafsu.
"Siapa tuhan kamu?
Nafsu menjawab " Tidak tahu"
Maka nafsu pun dihumban ke neraka selama 70,000 tahun.
Selepas hukuman itu, nafsu dikeluarkan dari neraka dan ditanya.
"Siapa tuhan kamu"
Nafsu masih menjawab, tidak tahu.
Kemudian nafsu dihukum lagi selama 70,000 tahun di neraka.
Selepas selesai hukumannya, nafsu ditanya lagi.
"Siapa tuhan kamu?
Nafsu masih menjawab tidak tahu.
Kemudian Allah memerintahkan nafsu dihukum di neraka selama 70,000 tahun lagi dan tidak diberi makan.
Selepas 3 hari nafsu minta dikeluarkan dari neraka dan mengakui Allah adalah tuhannya.
Hebatnya puasa. Tidak makan boleh menundukkan nafsu. Ambilah kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk menundukkan nafsu kita.

Sumber - Tazkirah Ramadhan - CPNI - 24.08.2009

Thursday, August 20, 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Satu ramadhan hampir menjelang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa dan mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadat yang termampu sepanjang Ramadhan ini kepada seluruh pembaca blog ini. Saya juga ingin memohon ampun maaf jika ada sebarang kesalahan saya terhadap tuan-tuan dan puan puan sekalian.

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan berpuasa ke atas kamu seperti mana orang-orang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa" - ayat 183, surah Al-Baqarah.

Mudah-mudahan kita dapat mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk menjadi orang yang bertakwa. Amin.

Sunday, August 16, 2009

H1N1


Kebelakangan ini seluruh dunia termasuk Malaysia dikejutkan dengan satu wabak yang dahsyat. Wabak yang dimaksudkan ialah selesema babi atau juga dikenali sebagai Influenza A(H1N1). Selesema babi merebak dengan cepat, boleh menyebabkan kematian dalam masa yang singkat dan pada masa ini belum ada vaksin dihasilkan untuk merawat penyakit ini. Semasa artikel ini ditulis sudah ada lebih 60 kematian di Malaysia. Diseluruh dunia ribuan manusia telah menjadi korban wabak ini. Saya juga baru menerima berita yang salah seorang yang saya kenali sedang dirawat di ICU kerana wabak maut ini. Golongan yang berisiko tinggi ialah kanak-kanak, perempuan mengandung, pesakit kronik dan mereka yang mempunyai daya tahan melawan penyakit yang rendah.
Pada tahun 2004, seluruh dunia juga dikejutkan dengan wabak influenza. Pada masa itu ia dikenali sebagai selesema burung atau Influenza A(H5N1).Mengikut sejarah, pada tahun 1918 telah berlaku kurang lebih 20 juta kematian di seluruh dunia kerana jangkitan influenza. Semua ini adalah kerana wabak selesema ini berpunca dari babi. Fakta ini dinyatakan di dalam buku Quran Saintifik karya Dr. Danial Zainal Abidin.
Bila kita membuaang air, maka segala kotoran akan keluar dari badan kita. Alhamdulillah itulah nikmat yang Allah kurniakan kepada sebaik-baik makhluk. Babi pula bila ia membuang air, hanya 2 peratus kotoran iaitu asid uric keluar dari badannya, 98 peratus lagi kotoran tinggal dalam badan babi. Oleh itu haiwan ini sangat-sangat kotor. Ia menjadi perumah babi pelbagai penyakit.
Orang ramai amat takut jika dijangkiti oleh penyakit ini. Ini adalah kerana ia boleh membawa maut dalam masa yang singkat.
Mengikut kajian, manusia boleh mati jika tidak makan selama 7 hari. Manusia juga boleh mati jika tidak minum selama 3 hari. Tetapi yang paling cepat ialah manusia boleh mati jika tidak mendapat bekalan oksigen selama 3 minit. Begitula dekatnya kematian dengan manusia.
Saya pernah mendengar seorang ustaz menyatakan malaikat maut mengunjungi setiap insan sebanyak 30 kali setiap hari. Jadi secara puratanya malaikat maut mengunjugi kita setiap 48 minit. Bayangkan malaikat maut megunjungi kita sebanyak 30 kali sehari. Mungkin sebelumnya malaikat maut mengunjungi kita dan belum mengambil nyawa. Namun apabla sampai masa yang ditetapkan, maka malaikat maut itu akan menjalankan tugasnya iaitu mengambil nyawa kita. Begitu dekatnya kita dengan kematian.
Allah menurunkan penyakit ini sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia.
Allah berfirman dalam Surah Al-An’am, ayat 42 “ …maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat)”.
Sama-samalah kita berdoa agar dihindarkan dari wabak ini.
Antara usaha yang boleh dibuat ialah dengan membaca Al-Quran. Mengikut kajian, jika seorang Islam membaca Al-Quran dengan tartil, sel darah merahnya akan menjadi kuat dan dapat membunuh virus-virus yang menyerang.

Saturday, August 15, 2009

Mukjizat Al-Quran - Burung




Kisah yang ingin dipaparkan ini adalah untuk di ambil iktibar dan pengajaran bagi mereka yang ingin berbuat demikian. Bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau riya', ujub atau takabbur.

Pada pagi satu Ramadhan 1429 (1 Sep 2008) ketika saya sedang membaca Al-Quran. Terbang seekor burung masuk ke dalam rumah ipar saya (ketika itu berada di kampung isteri). Setelah masuk, burung itu gagal mencari jalan keluar. Terbang ke sana ke mari di dalam rumah dan melanggar siling dan dinding. Saya , anak dan anak saudara cuba menghalaunya keluar dengan membuka pintu dan tingkap namun burung ini gagal juga mencari jalan keluar. Fikir saya, jika dibiarkan burung ini akan mati kerana beberapa kali melanggar siling dan dinding. Setelah hampir 15 minit burung ini bertenggek di atas rel langsir.

Saya teringat sepotong ayat Al-Quran yang diajar oleh pegawai seliaan saya, Hajjah Rosnah kepada saya dan yang dipelajarinya daripada Ustazah Fatma Azzahra (Hos Ar Rayyan).

Ayat 18, Surah Al-Baqarah yang bermaksud " Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali"

Menurut Hajjah Rosnah, ayat ini digunakan sebagai pendinding jika menghadapi bahaya seperti binatang buas / liar atau orang yang jahat kerana bila dibacakan ayat ini kepada mereka maka dengan izin Allah mereka akan tuli, bisu dan buta.

Saya bacakan ayat ini kepada burung tersebut (Dengan niat untuk menolongnya) sebanyak 3 kali dan saya naik tangga menuju ke arah burung tersebut dan dengan izin Allah saya berjaya menangkap burung ini dengan tangan sahaja. SubhanAllah!, jika difikirkan logik akal adalah mustahil bagi saya menangkap burung ini menggunakan tangan kosong. Ketika dibacakan ayat ini burung tersebut seolah-olah tidak mendengar dan tidak dapat melihat buat seketika sehingga saya menangkapnya. Setelah dilepaskan burung itu meluncur dengan laju ke udara. Tidak sampai 5 saat, burung ini sudah tidak kelihatan lagi.

Itulah mukjizat Al-Quran. Dengan izin Allah kita berupaya melakukan sesuatu dengan kalimah-kalimah Allah di dalam Al-Quran. Sama-samalah kita mengambil kesempatan di bulan ramadhan yang mulia ini untuk membaca, mendalami dan mengkaji Al-Quran.


Entri ini pertama kali diterbitkan pada 7 Sept 2008.

azemiali.blogspot.com

Monday, August 3, 2009

Warren Buffett



Warrren Buffett ialah manusia terkaya di dunia. Beliau adalah seorang pelabur yang paling berjaya. Beliau tidak mewarisi kekayaan tetapi memperolehinya dengan pelaburan.
Ada beberapa fakta menarik tentang Warren. Beliau masih tinggal di rumah pertamanya yang dibeli pada tahun 1960-an dan rumah tersebut hanya mempunyai 3 bilik. Gajinya hanya uSD100,000.00 setahun atau USD8,333 sebulan. Gaji yang diperolehi oleh beliau ialah gaji eksekutif yang paling rendah dalam syarikat Forbes 200. Beliau memandu kereta terpakai ke tempat kerja. Beliau juga memakai baju hingga lusuh.
Ketika usianya 6 tahun beliau tinggal dengan datuknya. Datuknya mempunyai sebuah kedai runcit. Warren membeli dari datuknya Coca-Cola 6 tin satu pek dari kedai datuknya dengan harga 25 sen. Kemudian beliau menjual setiap tin kepada kawan-kawannya dengan harga 5 sen. Beliau membuat untung pertama sebanyak 5 sen.
Dalam satu permainan golf, kawan-kawan Warren membuat pertaruhan. Mereka akan memberi USD20,000 duit mereka jika Warren berjaya melakukan hole in one. Manakala jika Warren gagal, mereka akan dapat USD10 beliau. Warren tidak mengendahkan pertaruhan itu kerana golf bukanlah bidang kepakaran beliau dan lebih suka menyimpan USD10 itu dari USD20,000.00 yang tidak pasti.
Ibu bapanya mengasuh beliau dengan berkata “ Jika awak tidak ada sesuatu yang baik untuk diperkatakan mengenai seseorang, lebih baik awak diam”. Warren mempercayai kata-kata tersebut dan mengamalkannya dalam hidup beliau.
Jika manusia yang terkaya di dunia hanya hidup dengan sederhana mungkin kita juga perlu lebih sederhana dalam kehidupan kita. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada Warren Buffet.

Wednesday, July 29, 2009

Durian, Manggis dan Rambutan





Hari jumaat lepas saya sekeluarga sempat pulang ke kampung di Ajil, Terengganu. Kami pulang untuk menziarahi emak dan juga menikmati musim buah-buahan. Sempatlah makan buah durian, rambutan, manggis dan dokong dari dusun sendiri.
Sampai sahaja di sana lebih kurang pukul 9 malam. Beberapa biji buah durian kelihatan di atas beranda. Kami menikmati buah durian yang baru gugur sebagai pembuka selera makan malam. Biasanya cuaca pada waktu malam di sana sangat sejuk dan berkabus. Kipas tidak perlu dipasang. Kedinginan malam beserta bunyi unggas membuatkan fikiran begitu tenang sekali.
“Panaslah malam ini, tidak seperti selalu” saya memberitahu isteri.
“Saya rasa sejuk macam selalulah, bang” isteri saya memberi jawapan.
Rupa-rupanya saya terlebih makan durian dan terlupa meminum air dari pangsanya. Sebab itu dirasakan badan panas sedikit.
Keesokan harinya seawal jam 7.00 pagi, anak-anak telah bangun. Mereka begitu teruja untuk memungut buah durian yang baru gugur berhampiran rumah. Pengalaman begini tidak dirasai oleh warga kota. Begitu seronok melihat anak-anak memungut durian walaupun hanya beberapa biji. Teringat kembali nostalgia semasa saya masih di sekolah rendah di sekitar tahun 1980-an. Bila tiba musim durian, saya begitu teruja untuk memungut durian yang gugur setiap pagi. Kadang kala saya bersama arwah ayah akan pergi memungut durian pada sebelah malam sekitar 11-12 malam. Jika dibiarkan hingga pagi ada orang lain yang memungutnya.Itulah pencuri musim buah yang aktif ketika buah durian gugur. Arwah ayah pernah juga membina ran iaitu rumah atas pokok untuk menjaga durian dari dicuri oleh manusia atau dimakan binatang. Biasanya ran dibina di atas pokok rambutan yang berhampiran dengan pokok durian.
“ Di sana ada sebiji, di sana ada 3 biji, di dalam semak itu ada dua biji lagi, “ Saya kan membilang berapa durian yang dapat dipungut pada setiap hari. Kadang kala kami perlu membelek rumput yang panjang untuk mencari durian, ada masanya durian gugur dan masuk ke tempat berlopak. Biasanya setiap hari kami dapat memungut durian sebanyak 30-40 biji. Penuh sebuah kereta tolak . Saya lebih teruja untuk menjualnya. Harganya pada masa itu paling mahal tiga biji sepuluh ringgit. Harga sekarang jika musim kurang buah boleh mencecah tiga puluh ringgit sebiji. Hasil jualan durian ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan kami sekeluarga. Musim durian tidak lama. Waktu paling banyak buah gugur hanya 3-4 minggu sahaja. Tetapi ada orang kampung kami mengatakan musim durian ialah 40 hari sahaja dari buah pertama gugur hingga buah yang terakhir.
Pada masa itu ada beberapa batang pokok durian klon setaraf dengan D24. Isinya kuning dan tebal, rasanya sungguh sedap. Kini pokok –pokok durian itu tidak berbuah lagi. Usianya sudah lebih 50 tahun. Sudah mencapai usia pencen. Sudah bersara wajib. Sekarang ada pokok durian baru yang sudah berbuah. Ada beberapa batang, tetapi isinya tidak dapat menandingi durian klon.
Selepas memungut durian dan mengumpulkan di beranda, kami anak beranak pergi memetik rambutan pula. Ada beberapa dahan yang rendah boleh dicapai dengan tangan. Rambutan spesis anak sekolah dan jarum emas. Rambutan anak sekolah memang terkenal. Biasanya di lembah kelang jenis rambutan ini yang paling banyak terjual. Di tahun 80-an dulu rambutan dijual dengan dikira kuantitinya. Seratus biji rambutan baru berharga RM1. Pada masa itu ada lebih 50 pokok rambutan. Semasa musim rambutan saya sungguh seronok memetik dan mengira buah rambutan. Setiap seratus biji rambutan yang dikira akan ditanda dengan sebiji buah rambutan. Ia dinamakan gundar. Semasa musim banyak buah, peraih akan datang dengan lori kecil dan membeli buah dari penduduk kampung. Biasanya kami dapat memungut hingga 5,000 hingga 10,000 biji rambutan sehari. Pada pertengahan tahun 80-an, sistem timbangan metrik diperkenalkan iaitu kilo menggantikan kati. Sekilo rambutan adalah sekitar 30 biji sahaja. Tetapi penduduk kampong masih selesa menjual rambutan dengan mengira biji.
Bagi saya rambutan yang paling sedap ialah rambutan gula batu. Sayangnya pokok rambutan gula batu berhampiran rumah kami sudah mati. Agaknya rambutan jenis ini sudah pupus di Terengganu. Rasanya rambutan gula batu sesuai dengan namanya, memang manis macam gula dan lekang. Warna kulitnya kuning tetapi tidak sekuning rambutan gading. Rambutan yang tidak dipandang orang pula ialah rambutan rakyat. Isinya tidak lekang dan masam. Ianya Cuma digemari oleh wanita hamil. Rambutan Perak juga tidak digemari, walaupun lekang dan besar dan tebal isinya tetapi rasanya agak tawar.
Selepas makan rambutan, kami beralih pula ke pokok manggis. Ada beberapa batang pokok manggis di kawasan rumah. Pokok yang paling besar terletak betul-betul ditepi rumah. Daunnya rendang, usianya sudah lebih 50 tahun tetapi masih berbuah tetapi tidak selebat dua puluh tahun lalu. Semasa kecil saya sering memanjat poko manggis ini. Sekarang agak sukar memanjatnya kerana banyak dahan yang patah dan juga usia saya sendiri yang telah meningkat. Dah tua rupanya diri ini.
Cara terbaik memetik manggis adalah dengan memanjat. Jika dijolok dan jatuh ia akan pecah atau isinya menjadi keras. Satu cara lagi ialah dengan menjolok dan menadah kain dibawah supaya tidak jatuh ke tanah. Pada masa saya kecil hanya ada sebatang pokok manggis. Seingat saya manggis jarang dijual. Ia untuk dimakan sendiri dan diberi kepada saudara mara dan jiran-jiran.
Semasa ke kebun yang jauh sedikit dari rumah, saya terserempak dengan seorang jiran. Beliau dikenali oleh orang kampong dengan nama Mak Long. Suaminya Pak Long. Mak Long bukanlah saudara saya tetapi jiran sekampung. Umur Mak Long dan Pak Long sudah lanjut, saya rasa sudah lebih 80 tahun.
“Mie, bila balik?” Tanya Mak Long.
“Baru tiba malam tadi” jawab saya. “Mak Long apa khabar?” Tanya saya pula.
“Mak long sihat, jawab beliau. “ Di rumah ada beberapa biji durian, singgahlah bila nak balik nanti” tabah beliau lagi.
Selepas pulang dari kebun, saya singgah di rumah Mak Long. Beliau memberi beberapa biji durian yang baru gugur. Beliau ada memelihara angsa. Semasa saya kecil, beliau sudah memelihara angsa. Anak-anak saya teruja melihat angsa. Angsa sangat efektif untuk menjaga rumah kerana ia akan mengejar orang yang tidak dikenali. Angsa-angsa Mak Long sudah tua. Hanya tinggal dua ekor sahaja. Ia tidak bertelur lagi.
“Entahlah bila boleh berjumpa lagi, Mak Long dan Pak Long sudah tua. Tidak berapa kuat lagi” ujar Mak Long. Matanya agak sayu.
“InsyaAllah kami akan pulang hari raya nanti. InsyaAllah boleh jumpa lagi”, jawab saya dengan doa supaya Mak Long dan Pak Long dipanjangkan usia.
Pada hari ahad kami pulang ke Kajang. Kami pulang dengan dua guni rambutan anak sekolah, seguni manggis dan juga 60 biji durian. Ianya untuk diagihkan kepada abang, anak saudara, guru, ipar, kawan dan jiran-jiran.
Nostalgia tahun 1980-an saya tinggalkan. Terasa baru semalam saya ianya berlaku. Masa begitu cepat berlalu. Ramai jiran-jiran emak sudah tiada. Kami perlu lebih kerap pulang ke kampung untuk menghabiskan masa berharga bersama beliau. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang sempurna.
Related Posts with Thumbnails