Friday, November 28, 2008

Kursus

Saya baru balik dari Persidangan Akauntan Kebangsaan (NAC 2008) di Pusat konvensyen Kuala Lumpur. Di sinilah bersidangnya akauntan-akauntan Malaysia setiap tahun. Berjumpa kawan lama dan baru. Membina networking. Mendapat pendedahan isu-isu baru dalam bidang perakaunan. Belajar ilmu-ilmu baru.
Sedar tak sedar tahun 2008 sudah sampai penghujung. Tahun 2009 bakal menjelma. Organisasi tempat saya bekerja mewajibkan setiap pekerja untuk menghadiri sekurang-kurangnya 40 jam kursus setiap tahun. Manakala sebagai Chartered Accountant perlu mengumpulkan 40 CPE (Continous Professional Education) setiap tahun untuk memantapkan tahap professional ahli MIA.
Imbas kembali, banyak juga kursus yang saya hadiri sepanjang tahun 2008.
Antara kursus yang pertama dihadiri ialah kursus Umrah. Persiapan ringkas sebelum menghadiri umrah.
Kemudian saya hadiri kursus ISO 9001:2000 di Shah Alam. Belajar mengenai ISO kerana saya akan terlibat dalam pelaksanaan ISO tahun hadapan. Saya masih ingat penceramah tersebut bernama En. Suhaimi menyapa mengenai janggut saya dan beliau juga berhasrat untuk mengerjakan haji tidak lama lagi.
Kemudian saya hadiri kursus Coaching. Teknik terbaru untuk melatih staf dan juga boleh digunakan untuk melatih pasangan dan anak-anak. Teknik Coaching masih baru di Malaysia. Baru 2-3 tahun diperkenalkan di Malaysia. Tahun ini saya mengikuti dua sesi kursus coaching. Coach Aziz yang melatih saya telah berangkat mengerjakan haji 24 Nov lalu.
Minggu lepas saya berpeluang untuk menghadiri kursus penulisan KJ Method anjuran PTS. Sifu Ainon Mohd yang menjadi penceramah. Banyak ilmu-ilmu dan teknik penulisan saya belajar dari beliau. Dan yang paling hebat ianya ialah kursus percuma. Sayang saya tidak berpeluang untuk hadir kursus Bahasa Melayu Tinggi yang diajar oleh Prof. Abdullah Hasan. Mungkin saya dapat menghadirinya pada masa hadapan. InsyaAllah hujung minggu ini saya akan menghadiri kursus Teori Surah Yusuf. Satu lagi sesi kendalian Sifu Ainon.
Alhamdulillah organisasi tempat saya bekerja membenarkan kami menghadiri kursus (kuliah) mingguan untuk mengumpul CPE untuk akhirat. CPE akhirat lebih tinggi nilainya kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa seseorang yang menghadiri majlis ilmu itu adalah lebih baik daripada melakukan 1,000 rakaat solat sunat.
Untuk tahun 2009, saya sedang menunggu untuk belajar Bahasa Arab asas di Kolej Komuniti Kajang yang sedang dibina. Kursus ini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 dan diadakan selama 4 Sabtu.
Saya juga bercadang untuk mengikuti pengajian Talaqi pada tahun hadapan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai. Kursus ini adalah ilmu untuk mendalami Al-Quran. Mempunyai empat modul asas iaitu Sejarah Al-Quran, Tajwid, Qiraat dan Talaqi. Yurannya hanya RM500.00 untuk 13 minggu. Kelas pada hari Sabtu selama 4 jam. Satu jam setiap modul. Saya sudah terlepas sesi tahun ini.
Namun hanya ada satu kursus yang saya tunggu-tunggu untuk tahun 2009. Kursusnya ialah kursus haji bersiri. Kebiasaannya kursus bermula pada Feb atau Mac setiap tahun. Dan biasanya ada 13 siri. InsyaAllah saya dan isteri akan mendalami ilmu haji sebagai persiapan mengerjakan rukun Islam yang ke 5.

2 comments:

Anonymous said...

Tuan Akauntan,

Tak dapat lucky draw ke tahun ini. Tahun lepas, isteri tuan dapat tiket melancung tapi beliau pulang awal. Tapi hikmah di sebaliknya dapat pulak tiket untuk mengerjakan umrah. Rezeki tuan sekeluarga. Tahun depan mungkin dapat buat haji pulak kut.

Azemi Ali said...

Salam Tuan Akauntan Ijat,

Tahun ni memang tunggu lucky draw tapi tak ada rezeki.. Rezeki sebenarnya telah Allah tentukan.
Just DUIT - Doa, Usaha, Istiqamah, Tawakkal.

Related Posts with Thumbnails