Sunday, February 22, 2009

Jundub bin Janadah

Jundub bin Janadah? siapa tu?
Tak siapa yang kenal nama ini kerana mendengar namanya sudah pelik? Beliau berasal dari suku Ghifar. Suku Ghifar? Ya, suku Ghifar adalah suku perompak dan penyamun paling ganas lebih kurang 1400 tahun dahulu.Ghifar adalah satu kabilah atau suku yang sangat kuat merentas padang pasir yang luas. Orang yang tersesat dan jatuh ke dalam kaum Ghifar ini akan menjadi mangsa mereka.
Pada suatu hari Jundub bin Janadah telah mendengar mengenai Agama Islam. Beliau pun bertolak seorang diri daripada perkampungan Ghifar ke Mekah untuk berjumpa Rasulullah. Beliau pergi ke Mekah, berjumpa Rasullullah dan memeluk Islam. Beliau adalah orang yang ke lima atau keenam memeluk Islam dan termasuk golongan Al-Sabiqun Al-Awwalun iaitu golongan yang mula-mula memeluk Islam.
Bertemu dengan Abu Zar, Nabi bersabda " Sungguh Allah telah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya".
Pada masa itu Nabi Muhamad menyebarkan Islam secara rahsia dan berbisik-bisik kerana ancaman dari kaum Quraish. Jundub bin Janadah tidak suka cara ini kerana beliau adalah seorang yang suka berterus terang dan mempunyai jiwa revolusi. Pernah satu hari beliau mengucapkan kalimah syahadah dengan kuat di dalam Masjidil Haram di depan kaum Quraish. Akibatnya beliau dibelasah dengan teruk oleh kaum Quraish. Akhirnya berita ini diketahui oleh bapa saudara Nabi iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. Bapa saudara Nabi dengan halus berkata" Wahai kaum Quraish, kamu semua adalah pedagang yang mahu tidak mahu terpaksa melalui perkampungan Ghifar. Orang yang kamu pukul ini adalah salah seorang daripada mereka. Tidakkah kamu takut rombongan dagangan kamu dirompak oleh mereka." Kata-kata itu telah melahirkan rasa gerun kaum Quraish terhadap Jundub bin Janadah atau lebih dikenali sebagai Abu Zar Al-Ghifari Radiyallahuanhu.
Banyak kali juga Abu Zar dibelasah kerana menyebarkan Islam secara terang-terangan di Mekah. Nabi mengetahui watak dan jiwa murid barunya ini yang mempunyai keberanian yang menakjubkan dalam menentang kebatilan, cuma masanya belum tiba. Akhir Nabi menasihati Abu Zar supaya pulang ke kampungnya sehingga dia mendengar Islam telah lahir secara terang-terangan. Pada masa itu beliau boleh turut serta dalam perjuangan mengembangkan Islam.
Abu Zar kembali kepada kaumnya dan membimbing seluruh kaumnya untuk memeluk Islam dan berakhlak mulia. Bukan sahaja seluruh kaum Ghifar memeluk Islam bahkan kaum Aslam yang berjiran juga memeluk Islam. Kumpulan perompak dan penyamun terbesar ini telah berubah menjadi kumpulan yang berakhlak mulia dan pejuang kebenaran.
Setelah Abu Zar mendengar Nabi telah berhijrah ke Madinah, Abu Zar membawa kaum Ghifar dan Aslam ke Madinah untuk menyertai perjuangan Nabi.
Bertemu dengan rombongan Abu Zar, Nabi bersabda " Sungguh Allah telah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya".
Nabi memandang wajah-wajah berseri kaum Ghifar dan bersabda " Suku Ghifar telah dighafar (diampunkan) oleh Allah"
Kemudian nabi memandang kaum Aslam dan bersabda " Suku Aslam telah disalam (diterima dengan damai) oleh Allah"

Allah memberi kelebihan dan pertolongan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Namun kita perlu DUIT. Iatu kita perlu Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal dalam setiap perkara yang dilakukan.

2 comments:

ridzwan said...

Salam,
Insyaallah dgn DUIT Allah akan permudahkan setiap usaha dan pengorbanan. Teruskan menulis dan berkongsi pengalaman.

Azemi Ali said...

Salam Dr. Ridzwan,

Terima kasih kerana sudi membaca.

Related Posts with Thumbnails