Tuesday, February 17, 2009

Kucing Ajaib

Kisah ini diceritakan oleh isteri saya sebentar tadi. Isteri saya ialah seorang bekas akauntan dan sekarang menjadi seorang guru tadika. Sebagai seorang guru tadika, tiap-tiap hari beliau pulang awal. Maklumlah bekerja hanya 3 jam sehari.
Tengahari tadi beliau mendengar seekor anak kucing mengiau dengan kuat dari belakang rumah. Seolah-olah anak kucing itu dalam bahaya. Mungkin terjatuh longkang. Selang beberapa minit ngiauan anak kucing itu semakin kuat.
Isteri saya ke belakang rumah untuk melihat anak kucing tersebut. Namun, beliau ternampak seorang pakcik sedang terbaring di hempap motornya. Pakcik ini lemah sebelah tangannya. Pakcik tersebut ialah bapa mertua seorang usahawan yang sedang meningkat naik. Gambar usahawan ini hampir setiap hari terpampang di muka depan Harian Metro. Isteri saya menghampiri pakcik tersebut dan mengangkat sedikit motor tersebut dan pakcik itu pun boleh bangun.
Kemudian isteri saya mencari-cari kucing tadi. Kucing itu memang terjatuh longkang, tetapi longkang itu hanya beberapa inci dalamnya. Ia tidak mengiau lagi. Ngiauan itu seolah-olah meminta tolong untuk pakcik tersebut. Mungkin Allah telah mengerakkan anak kucing itu meminta tolong untuk pakcik itu. Jika kucing itu tidak mengiau, mungkin pakcik itu terbaring di atas tar hingga ke petang. Kucing itu tidak mengiau meminta tolong lagi kerana ia tahu ada orang telah menolong pakcik itu. Pakcik itu adalah seorang yang alim dan saya tidak pernah nampak beliau tanpa kopiahnya. Mungkin kerana amalannya, sehingga kucing pun menolong beliau. Kucing yang ajaib atau pakcik yang ajaib? Hanya Allah yang tahu..

2 comments:

benludin said...

-kuasa Allah...
-jangan citer kat Mastika..hehe

razzyy said...

Subhanallah...Allah sentiasa akan membantu hambaNya yang terpilih..semoga kita semua tergolong dalam hamba Allah yg terpilih...Amin

Related Posts with Thumbnails