Tom adalah nama seekor kucing. Sempena nama rancangan kanak-kanak, Tom Tom Bak. Tom adalah kucing yang ditinggalkan oleh jirah yang berpindah. Setelah ditinggalkan, kucing ini mencari makan di rumah jiran-jiran lain. Ia juga tinggal di sebuah rumah selang 5-6 rumah dari rumah kami. Ia baru melahirkan anak kira-kira dua bulan lepas.
Setiap hari Tom akan ke rumah kami. Pagi , petang dan malam. Setiap pagi bila pintu rumah dibuka ia akan berlari-lari ke rumah kami. Mengiau meminta makanan. Kami membeli makanan kucing di pasaraya sebagai makanan Tom dan kucing lain yang meminta makanan. Setiap kali kami pulang ke rumah , kucing ini seolah-olah kenal kereta kami dan akan meluru berlari sama ada untuk meminta makanan atau sekadar bermain-main.

Tom berposing semasa sihat.
Kini kami tidak dapat melihat Tom berlari lagi. Tom Kemalangan. Saya terlanggarnya dengan kereta pagi semalam. Terasa ralat, sedih dan sungguh kesal kerana terlanggar Tom. Tom suka duduk di rumah kami. Biasanya dia akan lari jika ada kereta yang datang. Tapi semalam dia tidak bergerak. Tayar kereta terlanggar Tom. Peha kanannya patah.
Kami membawa Tom ke Mesra Pet Shop di Saujana Impian untuk dapatkan rawatan. Petugas di kedai itu berkata " Doktor hanya datang pada pukul 1 tengah hari, sila tinggalkan kucing ini dan datang kemudian". Kami akur, kami tinggalkan Tom di kedai tersebut.
Pukul 1:30 kami ke sana lagi. Doktor sampai sejurus kami masuk ke kedai tersebut. Dua orang doktor membuat pemeriksaan dan merawat Tom. Mereka mengesahkan kaki Tom patah dan mengesyaki mungkin tulang pinggulnya turut patah. Mereka tidak boleh membuat rawatan kerana tiada mesin x-ray dan tiada peralatan bedah. Doktor hanya memberi suntikan penahan sakit. Mereka menulis surat dan rujuk kes ini ke Klinik Veterinar, UPM. Menurut mereka doktor pakar berada di sana.

Tom sedang dirawat di Mesra Pet Shop oleh dua orang doktor veterinar.
Jam 2.40 petang kami ke UPM. Tidak biasa dengan UPM, kami tersesat di dalam kampus. Kami hanya tiba jam 3.40 petang. Klinik ini dibuka dari pukul 8 pagi hinggan 4 petang dan ditutup pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang. Semasa membuat pendaftaran kami tengok ada beberapa ekor pesakit dan beberapa orang tuan pesakit sedang menunggu. Ada juga seorang artis. Kalau tak salah kami ahli kumpulan Lefthanded. Tempat menunggu dipisahkan kepada dua iaitu satu untuk anjing dan satu lagi untuk kucing dan lain-lain haiwan kesayangan. Ini kali pertama kami ke sini dan juga mana-mana klinik haiwan. Kami tidak pernah memiliki kucing.

Pandangan hadapan klinik.

Pintu masuk.
Setelah lebih kurang setengah jam menunggu, kami dipanggil untuk berjumpa doktor. Doktor membuat pemeriksaan awal dan membuat x-ray.

Tom dibawa untuk x-ray.

Tom disuntik antibiotik dan ubat tahan sakit.

Berdebar-debar menanti keputusan x-ray Tom.

Doktor mengesahkan tulang peha Tom patah. Tiada tulang lain yang patah.
Namun agak mengecewakan doktor seperti tidak mahu membuat rawatan lanjut kepada Tom. "Kami tidak boleh buat pembedahan, kami kena refer out..err appointment minggu ini sudah penuh" Doktor yang bertugas memberi alasan.
"Kami boleh tunggu untuk appointment" saya memberi cadangan.
"Tak boleh nanti tulangnya akan tumbuh dan pembedahan agak sukar" jawab doktor tersebut. Kami akur.
Semasa pulang kami singgah di klinik haiwan ini.

Mereka terkejut kerana UPM tidak mahu membuat rawatan. Semua doktor pakar haiwan dan kelengkapan canggih ada di sana. Setelah menilai x-ray, empat orang doktor yang juga pemilik klinik itu berbincang dan menyatakan ada beberapa pilihan yang boleh dibuat.
1. Membuat pembedahan dan memasukkan wayar dan clip di tempat patah tetapi kemungkinan besar akan berlaku komplikasi yang teruk. Akan ada risiko jangkitan yang tinggi dan kucing boleh mati kerana itu.
2. Potong kaki. Kata mereka kucing boleh hidup berkaki tiga. Sila rujuk internet kata mereka lagi.
Kami tidak sanggup membuat pembedahan yang berisiko tinggi yang akhirnya lebih membawa mudarat kepada Tom. Kami juga tidak sanggup memotong kaki Tom.
Kami akan selalu bacakan doa Patah Tulang dari Darul Syifa. Semoga Tom cepat sembuh dan boleh berlari kembali. Teringin juga membawa Tom ke bomoh patah tapi mereka kata tak pernah ada orang bawa kucing. Teringin juga kami bawa Tom ke Darul Syifa tapi setahu kami tiada haiwan dirawat di sana.
Kami bercadang untuk memelihara Tom ke akhir hayatnya atau ke akhir hayat kami jika kami pergi dahulu. Doakan Tom cepat sembuh..