Saturday, March 14, 2009

Perancangan Kewangan Haji

Ketika saya berhasrat untuk menunaikan haji, simpanan dalam TH hanyalah sebanyak RM400.00.

Kos untuk menunaikan haji Muassasah tahun 2008 ialah lebih kurang RM9,500.00 seorang. Maka kos untuk saya dan isteri ialah sebanyak RM19,000.00. Selain itu dana tambahan hendaklah diperuntukan untuk perbelanjaan di tanah suci dan keluarga yang ditinggalkan. Mengikut kiraan saya RM2,500.00 adalah memadai untuk ditinggalkan bagi penjaga anak-anak kami nanti untuk tempoh 45 hari. Manakala bagi perbelanjaan kami pula termasuk dana dam dan belanja lain ,RM3,500.00 adalah memadai.

Jadi, jumlah yang berpatutan untuk mengerjakan haji pakej Muassasah adalah RM25,000.00 untuk 2 orang. Jumlah ini bolehlah dianggap target simpanan.

Bagaimana mengumpulkan RM25,000.00 ?

Langkah pertama yang saya buat sebelum berhasrat untuk menunaikan haji lagi ialah membuat potongan gaji bulanan ke dalam akaun TH. Ketika itu potongan gaji dibuat untuk menabung semata-mata. Saya membuat potongan sebanyak lebih kurang 10% daripada gaji saya sebulan. Dalam masa setahun setahun sebanyak 20% daripada target telah berjaya dikumpulkan.

Langkah seterusnya ialah menambahkan potongan zakat. Membuat potongan zakat yang cukup adalah amat penting kerana ia akan menyuburkan lagi rezeki yang ada.
Dan jangan lupa berbakti kepada ibubapa jika mereka masih ada. Sedikit sebanyak wang hendaklah dihulurkan untuk keperluan mereka.

Alhamdulillah, saya ada mencarum sejumlah wang setiap bulan untuk perlindungan Takaful. Kelebihan syarikat takaful ini ialah pencarum dapat mengeluarkan sebahagian wang yang terkumpul setelah beberapa tahun. Jadi saya telah mengeluarkan sebahagian wang daripada takaful ini. Pengeluaran ini juga banyak menyumbang untuk mencapai target.

Simpanan-simpanan kecil juga memainkan peranan besar untuk menyimpan. Saya peruntukkan sebanyak RM3-RM5 sehari untuk dimasukkan ke dalam tabung. Dalam masa sebulan sebanyak RM90 – RM150 dapat dikumpulkan. Dalam setahun sebanyak RM1,080 – RM1,800 dapat dikumpulkan.

Untuk mengumpul dana secukupnya saya sanggup berhenti dari membeli akhbar harian. Sejak 10 tahun yang lalu sudah menjadi kebiasaan untuk membaca akhbar The Star setiap hari. Jika satu hari tidak membaca The Star seperti ada satu perkara yang tidak kena dalam hidup. Tidak membaca akhbar tidak bermakna kita tidak peka dengan isu semasa kerana sumber di internet lebih besar dan terkini lagi. Dengan berhenti membeli dan membaca akhbar saya telah jimat RM1.20 sehari atau RM9.00 seminggu (Weekend Star = RM1.50) atau RM468 setahun. Jumlah ini boleh menampung untuk korban di Mekah nanti. InsyaAllah.

Apabila isteri saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, pendapatan keluarga kami berkurangan sebanyak 50%. Namun ianya adalah rahmat. Walaupun pendapatan berkurangan perbelanjaan seperti belanja taska, perbelanjaan makan dan minum, pengangkutan, juga menyusut. Walaupun pendapatan kurang, namun hidup kami makin mewah terutama dalam bab makan. Setiap hari dapat merasa masakan isteri yang pelbagai. Hari ini makan tomyam susu seafood, esok ikan kukus asam boi, lusa makaroni bakar, tulat entah apa lagi menu akan dihidangkan. Setiap hari dapat makan menu berbeza dengan belanja yang minimum. Kalau dulu walaupun pendapatan banyak, tapi cuma makan di kedai dan pasar malam saja. Menunya sama sahaja walaupun harga tinggi. Bukankah itu rahmat.

Dulu pinjaman rumah kami di biayai oleh isteri kerana beliau bekerja di bank. Beliau dikenakan kadar keuntungan yang rendah. Setelah berhenti saya buat pinjaman semula atas nama saya. Dulu kami bayar beberapa ribu untuk takaful mortage dan kebakaran. Setelah pinjaman lama dilangsaikan, kami boleh menuntut balik sebahagian premium takaful yang dibayar dulu. Alhamdulillah, dapat lagi 10 % dana untuk pergi haji. Perancangan takaful ini belum diajar dalam mana-mana buku perancangan kewangan InsyaAllah sehingga saya menulis buku tersebut.

Ramai yang terkejut bila saya katakan saya menunggang motor untuk ke tempat kerja.

“Cik Mi, naik motor je..!? “ tanya seorang pegawai kepada saya.
“Naik motor best, cepat, pantas dan jimat” ujar saya ringkas dan padat.
“Awak ada kereta, tapi tak ada parking kan, awak gunalah parking saya” tambah saya lagi.
“Terima kasih cik Mi” jawab pegawai itu sambil tersenyum.

Dengan menunggang motor saya jimat RM500 – RM700.00 sebulan. Saya tidak perlu berbelanja besar walaupun harga minyak dan tol naik. Duit ini dapat disalurkan untuk kegunaan lain.

Alhamdulillah dalam masa enam bulan selepas daftar haji, target telah dicapai. Sekarang perlu hadir kursus haji dan membuat rayuan haji. Apakah agaknya alasan yang sesuai dikemukakan kepada TH dalam rayuan tersebut ?

DUIT.

6 comments:

Anonymous said...

Saya merasa seronok membaca Perancangan Kewangan Haji tuan azemi. Macam tak percaya dalam masa 6 bulan target telah dicapai. Akauntan lah katakan. Saya pun rasa berminat untuk mencontohi tuan azemi. tapi tidaklah sampai suruh isteri berhenti kerja kerana pendapatan isteri saya lebih tinggi dari saya.

Anonymous said...

Apabila membaca perancangan tuan untuk mengerjakan haji, saya terasa saya telah banyak membazir wang saya untuk benda2 yang tidak berfaedah.

Anonymous said...

Emmmm...tuan azemi tahu ke siapa saya?

Azemi Ali said...

Tuan Ipin,

Saya tidak menyuruh isteri saya berhenti kerja. Itu adalah idaman dan harapan beliau. Beliau sudah penat bekerja sejak hampir 10 tahun yang lalu. Dulu pun dia minta untuk berhenti tetapi saya tidak yakin dapat menampung hidup keluarga seorang diri. Alhamdulillah selepas pulang daripada menunaikan umrah saya yakin bertambah bahawa rezeki itu ditentukan Allah. Jadi saya setuju beliau berhenti kerja. Apabila kita merasai sendiri pengalaman itu, ia akan meningkatkan keyakinan dan keimanan kita. Dengan menunaikan umrah, sedikit sebanyak saya telah berubah dan bertambah sedikit iman. Oleh itu saya berazam untuk menunaikan haji kerana saya percaya iman akan lebih bertambah dengan pengalaman haji itu.

Anonymous said...

Saya perhatikan ramai teman sekerja saya dipejabat yang telah mengerjakan haji berazam untuk pergi lagi menunaikan umrah pula. Dan selepas pulang dari umrah mereka akan pergi lagi pada tahun berikutnye. Mesti ada sesuatu yang menyebabkan mereka2 ini termasuk tuan azemi yang bersemangat untuk kembali semula ketanah suci. Saya percaya perasaan itu sukar digambarkan dengan kata2 kecuali kalau kita sendiri yang mengalaminye.

Anonymous said...

Banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah sekiranye Tuan Azemi berhajat untuk mengerjakan Haji pada tahun ini. Dalam surat rayuan kepada TH katakan sahaja simpanan telah mencukupi dan Tuan dan isteri telah pun menghadiri kursus haji pada tahun ini. Selepas berdoa kepada Allah tuan bertawakkal sahaja kepadaNya, InsyaAllah niat suci tuan akan dimakbulkan.

Related Posts with Thumbnails